Penalti Atau Ganti Rugi Menurut Pandangan Syarak

Penalti Atau Ganti Rugi Menurut Pandangan Syarak

Dipetik dari : MANHAL PMRAM



PENGENALAN
Persetujuan antara dua pihak atau lebih di atas kadar ganti rugi (pampasan) yang berhak ke atas salah satu pihak apabila pihak yang lain tidak melaksanakan keseluruhan perjanjian (kontrak) atau tidak melaksanakan sebahagiannya atau terlewat menyiapkan tuntutan perjanjian (projek) yang telah disepakati pada tempoh yang ditetapkan. Persetujuan ini kebiasaannya berlaku semasa akad atau sebagai perjanjian tambahan dengan syarat sebelum terjadinya sesuatu kerosakan.
CONTOH
Persetujuan antara syarikat pengangkutan untuk menghantar sejumlah bahan binaan kepada syarikat pembinaan pada tarikh tertentu dan dengan kadar tertentu. Apabila syarikat pengangkutan lewat untuk menghantar bahan binaan tersebut ataupun berlaku kecuaian daripada pihak syarikat pengangkutan seperti berlaku kerosakan pada bahan binaan contohnya kebocoran pada sejumlah simen, maka syarikat pengangkutan tersebut hendaklah membayar gantirugi ataupun penalti kepada syarikat pembinaan berdasarkan kadar yang telah dipersetujui bersama diawal perjanjian.


SYARAT DIKENAKAN PENALTI
1)KECUAIAN ATAU KESILAPAN
Di syaratkan untuk dikenakan penalti ialah apabila berlakunya kesilapan dari sebelah pihak, kesilapan ini mungkin terjadi akibat tidak menyempurnakan projek yang diberikan seperti yang dikehendaki, contohnya bangunan yang dikehendaki adalah 10 tingkat tetapi yang disiapkan hanya tujuh tingkat, ataupun lambat menyiapkan projek dari tarikh yang dipersetujui ataupun binaan yang dibuat mempunyai kecacatan seperti keretakan dinding.
Tetapi, kecuaian ini hanya dikira sekiranya projek yang dipersetujui itu didalam kemampuan untuk dilaksanakan. sekiranya tidak mampu untuk dilaksanakan, maka pihak tersebut tidak dikira melakukan kecuaian. Contohnya barang yang dikehendaki untuk dihantar kepada syarikat tertentu adalah barang yang perlu diimport dari luar Negara, tetapi kerajaan tidak benarkan proses import ini berlaku kerana faktor peperangan yang berlaku ,dalam hal ini pihak yang melaksanakan tanggungjawab ini tidak dikira cuai kerana masalah ini diluar bidang kuasanya.

2) KERUGIAN
Syarat yang kedua ialah berlakunya kerugian akibat daripada kecuaian yang berlaku. Tetapi sekiraya kerugian itu bukan hasil dari kecuaian maka penalti tidak akan dikenakan.

3) ADA HUBUNGAN ANTARA KECUAIAN DAN KERUGIAN
Syarat yang ketiga, mestilah kerugian yang ditanggung berpunca dari kecuaian pihak pelaksana kontrak. Sekiranya tiada hubungan antara kecuaian dan kerugian maka tiada penalti dikenakan . Contohnya, barang yang ditempah tidak sampai kerana berlaku kemusnahan ketika dalam perjalanan berpunca dari sebab luaran seperti treler terkena panahan kilat atau dibom ataupun berlaku banjir.

4) NOTIS AMARAN
Tidak akan dikenakan penalti melainkan notis amaran untuk menyiapkan projek seperti dalam perjanjian telah diberikan kepada pihak pelaksana projek. Maka penalti tidak akan dikenakan sekiranya notis amaran tidak dikeluarkan kepada pihak pelaksana projek.


PERBINCANGAN
Para fuqaha’ telah membincangkan mengenai keharusan pampasan ini. Ada yang mengharuskan dan ada yang tidak mengharuskan. Perbezaan pandangan ini berlaku kerana persetujuan pampasan ini dikira sebagai syarat yang terkandung di dalam kontrak. Sedangkan Nabi SAW melarang melakukan satu kontrak yang terkandung dalamnya syarat yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, “saya nak membeli kain ini dengan syarat anda menjahitnya” atau “saya nak beli gandum ini dengan syarat anda mengkisarnya” ataupun “saya akan jual kereta ini kepada kamu dengan syarat kamu sewakannya kepada saya sebulan secara percuma”. Syarat ini tidak dibolehkan kerana berlakunya “jahalah” dan “gharar” (tidak jelas) pada harga tersebut.
Maka, para fuqaha’ membahaskan pula adakah larangan ini secara mutlak iaitu semua jenis syarat tidak dibolehkan untuk diletakkan dalam akad ataupun larangan ini hanya dikhususkan kepada syarat yang batil sahaja, adapun syarat yang sahih dibolehkan. Disini tidak diletakkan pandangan mazhab-mazhab serta perbandingan antara mazhab dalam masalah meletakkan syarat dalam akad kerana perbahasannya terlalu panjang , memadailah untuk diletakkan hasil perbincangan mazhab iaitu hukum penalti ataupun pampasan ganti rugi.

HUKUM PENALTI @ PAMPASAN DALAM FIQH ISLAMI

Fuqahak telah berselisih pandangan dalam menentukan keharusan pampasan ini kepada dua pendapat:

1) Pendapat Pertama: Jumhur fuqahak yang terdiri daripada Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan dan sebahagian fuqahak muhaddisin berpendapat akan keharusan penalti ini.

Ini kerana bentuk penalti ini iaitu syarat yang terkandung dalam akad diharuskan oleh syarak dan ianya sahih mengikut bentuk yang umum, mempunyai maslahah untuk akad, tidak menafikan tuntutan akad dan ianya telah berlaku secara adatnya.

Mengikut Mazhab Hanafi, syarat ini dibolehkan kerana diiktibar oleh syarak dan ianya tidak mengandungi syarat yang ditegah oleh syarak dan tidak membawa berlakunya riba dan tidak pula menyalahi nas daripada Al-quran atau pun As-Sunnah ataupun Ijma’.

Mengikut Mazhab Maliki pula ianya sahih kerana termasuk dalam ciri-ciri syarat yang sahih . Mereka berkata syarat ini sahih apabila tidak bertentangan dengan tuntutan akad seperti “tidak jelas (gharar)” ataupun “ tidak tahu (jahalah)”.

Bagi pendapat Mazhab Syafie pula ianya sahih kerana syarat tersebut ada maslahah bagi akad kerana termasuk dalam ciri-ciri syarat yang sahih iaitu syarat yang bersesuaian dengan maslahah akad. Ini selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan tidak datang nas yang mengharamkannya.

Bagi pendapat Mazhab Hanbali, mereka tidak mengharamkan syarat melainkan syarat itu diharamkan oleh nas ataupun bertentangan dengan tuntutan akad. Maka pampasan atau penalti termasuk dalam makna syarat yang sahih disisi mereka dan wajib untuk dilaksanakan.

Berkata Imam Ibnu Qayyim, asal-asal dalam ibadat adalah batal sehingga datang dalil yang mengharuskannya manakala asal-asal di dalam akad dan muamalah adalah harus sehinggalah datang dalil yang mengharamkannya. Dan berkata Imam Ibnu Taimiyyah, bahawa akad dan syarat sebahagian daripada perbuatan adat, dan asal-asal bagi perbuatan adat tidak di haramkan sehingga ada dalil yang mengharamkannya.


2) Pendapat Kedua : Mazhab Zahiriah dan sebahagian fuqahak muhaddissin berpendapat bahawa pampasan ini tidak diharuskan oleh syarak.


DALIL-DALIL PENDAPAT PERTAMA YANG MENGHARUSKAN PENALTI

1)Al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman penuhilah janji-janji kamu.(Al-Maidah:1)

2)Sunnah:

a) Diriwayatkan dari abi Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW berkata: Perjanjian itu hukumnya harus diantara orang islam melainkan perjanjian yang menghalalkan yang haram dan perjanjian yang mengharamkan yang halal, dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat mereka.(Sunan Abi Daud)

b) Riwayat yang lain pula: Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat mereka melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan yang menghalalkan yang haram.(Sunan Tirmizi)

Bentuk Pembuktian: Hadis ini menunjukkan sahnya semua jenis syarat yang dipersetujui ketika berakad melainkan syarat yang menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Penalti ini tidak termasuk dalam pengecualian ini, maka kekal ia dengan hukum yang asal iaitu harus.

3) IJMAK:
Telah sepakat ulamak mazhab fiqhiyyah akan keharusan syarat yang berbentuk maslahah akad dan penguat kepada pelaksanaan akad. Maka bentuk syarat seperti kifalah(jaminan), rahn(pajakan), shahadah(penyaksian) diharuskan kerana ada maslahah untuk akad. Maka wajib untuk melaksanakan syarat ini.

4) MASALIHUL MURSALAH:
Penalti ini tidak mempunyai satu nas yang khusus sama ada nas yang mengharuskannya atau melarangnya. Tetapi pendapat ini mengharuskan penalti kerana mengikut kaedah Masalihul Mursalah dengan menyandarkan hukum ini kepada “menarik manfaat dan menolak kerosakan” . Maka keharusan ini membawa kepada faedah yang khusus kepada orang yang berakad dan keistimewaan yang umum kepada masyarakat seperti:

a) Meletakkan kadar yang sesuai bagi kerosakan yang berlaku antara kedua-dua pihak.
b) Memberi jaminan untuk penyempurnaan perjanjian dan mengelak untuk memungkirinya kerana takut denda yang bakal dikenakan.
c) menjaga hak perjanjian daripada disia-siakan.

DALIL-DALIL PENDAPAT KEDUA YANG MENGHARAMKAN PENALTI

1)Al-Quran: : Wahai orang-orang yang beriman penuhilah janji-janji kamu.(Al-Maidah:1)
Bentuk pembuktian: Sesungguhnya Allah menyuruh supaya memenuhi janji yang berbentuk umum, sekiranya semua janji ini perlu dipenenuhi, maka akan termasuk juga janji yang diharamkan dan ini(janji yang diharamkan) tidak dibolehkan dalam semua keadaan.
2)Sunnah:
a) telah berkata nabi SAW: Barang siapa yang beramal dengan amalan yang tiiada atasnya urusan kami, maka ia tertolak.(diriwat oleh Muslim)
b) telah berkata nabi SAW: mana-mana syarat yang bukan datang dari Al-Quran ianya adalah batal.
Berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis tersebut, pendapat ini tidak mengharuskan penalti kerana syarat yang terkandung dalam akad tidak terdapat dalam al-Quran dan sunnah ataupun ijmak. Maka syarat ini dikira batal dan membatalkan akad yang bersamanya.
TARJIH
Selepas dibentangkan pandangan diatas, kami merajihkan pandangan jumhur fuqahak iaitu, harusnya penalti kerana dalil yang diberi lebih tepat dan kuat serta keharusan ini memberi faedah kepada orang yang berakad serta masyarakat umum.

Di sediakan oleh :
Mohamad Sarkawi B Mohmad Salleh
Felo MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL