Raya berbeza, bolehkah puasa menjadi 28 hari dan 31 hari?

Raya berbeza, bolehkah puasa menjadi 28 hari dan 31 hari?


Dipetik dari : MANHAL PMRAM

Soalan

Seseorang memulakan puasanya di Mesir berdasarkan ketetapan awal bulan Ramadhan yang dibuat di negara berkenaan. Ia kemudiannya bermusafir ke sebuah negara yang merayakan Aidilfitri pada hari yang berbeza berbanding dengan negara asalnya iaitu Mesir.

Maka apakah yang ingin dilakukannya pada akhir bulan Ramadhan?
1. Tidak berpuasa kerana mengikut ketetapan Mesir?
2. Atau mengikut negara di mana ia berada pada akhir bulan Ramadhan dengan meneruskan puasanya walaupun pilihan kedua menjadikan puasanya 28 hari sahaja atau menjangkau 31 hari?


Jawapan:

Situasi ini akan dihuraikan kepada dua perkara:
1. Teori
2. Praktikal

Teori


Syara’ telah menetapkan bahawa sesuatu yang qat’e (pasti dan diputuskan) akan diambil, digunakan dan didahulukan daripada perkara yang zhanni (tidak pasti).

Dalam permasalahan yang sedang dibincangkan, penentuan bulan Islam secara kiraan (Hisab) Ilmu Falak adalah sesuatu yang qat’ie manakala melihat anak bulan atau dipanggil ru’yah sohihah pula merupakan sesuatu yang zhanni. Justeru Hisab didahulukan berbanding dengan ru’yah bahkan hisab menjadi suatu perkara yang tidak mungkin akan bercanggah dengan ru’yah.

Imam al-Taqi dalam fatwa-fatwanya berkata: "Ini kerana, hisab itu qat’ie dan penyaksian serta khabar itu adalah zhanni. Perkara zhanni pula tidak akan didahulukan daripada qat’ie lebih-lebih lagi ia sesekali tidak akan bercanggah dengan qat’ie".

Imam Qalyubi dipetik berkata dalam kitabnya (( الحاشية على شرح المحلى على المنهج)) , apabila Hisab qat’ie menunjukkan bahawa anak bulan tidak akan dilihat, maka pendapat seorang imam adil yang mengatakan bahawa ia melihat anak bulan tidak diterima dan penyaksiannya tersebut ditolak.

Di samping itu, terdapat satu perkara lagi yang telah dipastikan iaitu bulan Ramadhan tidak akan berlalu dalam tempoh 28 hari sahaja. Ia juga tidak akan menjadi 31 hari, bahkan Ramadhan sama seperti bulan-bulan Qamariah yang lain, sama ada 30 hari atau 29 hari.

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: ((الشهر هكذا وهكذا وهكذا)) يعنى ثلاثين, ثم قال: ((و هكذا وهكذا وهكذا)) يعنى تسعا وعشرين. متفق عليه

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar R.A katanya, Nabi S.A.W bersabda: Bulan itu begini, begini dan begini (iaitu 30 hari). Kemudian bersabda lagi: dan begini, begini dan begini (iaitu 29 hari).

Praktikal

Seorang yang mengalami situasi seperti ini perlu membuat pertimbangan berdasarkan dua perkara:
1. Bulan puasanya hendaklah tidak lebih daripada 30 hari dan tidak kurang daripada 29 hari.
2. Tidak bercanggah dengan kiraan (hisab) falak yang qat’ie.

Maka berdasarkan apa yang berlaku dalam persoalan yang dinyatakan, tindakan yang perlu diambil pada asasnya adalah mengikuti ketetapan bulan Syawal melalui ru’yah yang dibuat oleh penduduk negara yang dituju.

Walau bagaimanapun terdapat pengecualian dalam dua keadaan iaitu:
1. Sekiranya ru’yah berkenaan bercanggah dengan kiraan (hisab) Falak yang qat’ie.
2. Sekiranya bulan Ramadhan menjadi 29 hari atau 31 hari.

Maka apabila kelihatan anak bulan Syawal di Mesir sebagai contoh tetapi tidak pula kelihatan di negara yang sedang didudukinya ataupun sebaliknya, dalam keadaan ru’yah di kedua-dua buah negara masih boleh berlaku berdasarkan perkiraan ilmu falak atau dengan kata lainnya tidak bercanggah dengan hisab, di samping bilangan harinya masih dalam bilangan yang betul, maka ketika itu individu yang berpuasa berkenaan perlu mengikut anak bulan negara yang sedang didudukinya itu.

Justeru, jika anak bulan kelihatan di negara berkenaan, maka keesokannya adalah hari raya. Jika sebaliknya, maka keesokannya adalah puasa. Ketika itu, tidak menjadi larangan jika berlaku pertambahan terhadap bilangan hari atau berkurang begitu juga tiada larangan jika bertentangan dengan hisab qat’ie.

Lain pula halnya apabila negara yang diziarahinya itu tidak mengambil kira kiraan hisab qat’ie bahkan bercanggah pula dengan hisab dari sudut mustahil atau tidak untuk anak bulan itu dilihat, ataupun puasanya akan melebihi 30 hari atau berkurangan daripada 29 hari, maka ia tidak harus mengikuti langkah penduduk negara berkenaan.

Hal ini disebabkan oleh dua perkara:

1. Si Musafir berkenaan telah pun mengikuti ketetapan (bulan Ramadhan dengan cara Hisab) yang diketahui kebenarannya, maka ia perlu terus mengikuti ketetapan berkenaan dan tidak perlulah ia mengurangkan bilangan hari puasanya dengan mengikuti bulan yang ditentukan berdasarkan ru’yah (yang bertentangan dengan hisab) di negara yang diziarahinya.
2. Kesalahan ru’yah di negara yang diziarahinya adalah jelas. Maka tidak perlu baginya untuk mengikuti ketentuan berkenaan.

Diterjemah dan diolah oleh,

Khairul Anwar bin Isnin,
Setiausaha MANHAL.

(Artikel diterjemah daripada Kolumn Jawapan Sheikh Ali Jumaah, Mufti Mesir dalam Majalah Azhar keluaran Ramadhan 1431 H).

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL