Perutusan AIDILADHA 1430H


PERUTUSAN PEMANGKU YDP BKPPPM
SEMPENA ‘EIDUL ADHA 1430H

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmat dan Inayahnya kita masih lagi dapat mengecapi nikmat hidup di dunia ini.Selawat dan salam buat junjungan besar kita, penghulu sekalian Anbiya’ Nabi Muhammad SAW serta ahlul bait baginda.Semoga kita semua mendapat syafaat daripada baginda di akhirat kelak InsyaAllah.

Sahabat dan sahabiah sekalian,

Sekarang kita telah memasuki Bulan Zulhijjah yang merupakan bulan terakhir di dalam taqwim Islam.Sepertimana yang kita ketahui pada bulan ini terdapat beberapa peristiwa penting yang perlu kita ketahui di dalam bulan Zulhijjah ini.Diantaranya ialah peristiwa Hujjatul Wada’ Baginda Rasulullah SAW,peristiwa pembunuhan Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Uthman Bin Affan.Pada bulan ini juga para jemaah haji dari seluruh dunia datang menziarahi Baitullah untuk mengerjakan ibadah Haji dan seterusnya akan wuquf di Padang ‘Arafah.Dan kita disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut yang mana kelebihannya cukup besar sebagaimana sabda Nabi SAW :

“Puasa pada hari ‘Arafah dapat menghapuskan dosa yang dilakukan pada tahun-tahun yang lepas dan akan datang”

Cuaca yang panas terik di ‘Arafah, adalah bayangan di Padang Mahsyar kelak. Keadaan ini harus dijadikan iktibar dan peringatan buat kita juga, semoga ia akan menguatkan lagi keazaman kita dalam beribadah InsyaAllah.

Pada 10 Zulhijjah 1430H ini, semua masyarakat Islam di seluruh pelusuk dunia akan menyambut ‘Eidul Adha.Peristiwa sejarah Nabi Ibrahim a.s bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s menjadi titik semangat kepada kita tentang pengorbanan seorang bapa yang sanggup menyembelih anak kesayangannya semata-mata kerana taat dan patuh akan perintah Allah SWT.Firman Allah SWT di dalam ayat 102 – 103, Surah As-Saffat,:

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : “Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka Fikirkanlah apa pendapatmu.” Ia menjawab : Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

Semoga peristiwa sejarah tersebut membangkitkan semangat kita selaku Mahasiswa/wi Al-Azhar untuk menuntut dan menggali sebanyak mungkin ilmu semasa berada di Bumi Anbiya’ ini untuk disampaikan kepada masyarakat Islam di Malaysia kelak.Kita selaku penuntut ilmu juga perlulah mengorbankan jiwa dan raga kita untuk sama-sama membantu memperjuangkan Islam khususnya di Negara kita dan umumnya di dunia ini untuk mengembalikan sistem Khilafah Islamiah yang telah jatuh pada tahun 1924.

Selaku seorang mahasiswa/wi, kita hendaklah berfikiran jauh dan terbuka serta sanggup berkorban mendepani cabaran dan rintangan di dalam perjuangan.Sebagai contoh sekarang isu yang sedang hangat dibincangkan di Parlimen Malaysia tentang Isu Kutub Sittah PMRAM.Sebagaimana yang kita ketahui pihak JPMK masih belum menunaikan 3 tuntutan kepada mahasiswa Al-Azhar.Justeru itu,satu jawatankuasa DESAK telah ditubuhkan untuk menuntut pihak JPMK menunaikan 3 tuntutan tersebut kepada mahasiswa.Justeru itu,kita selaku mahasiswa/wi Al-Azhar hendaklah sama-sama berganding bahu bersama dengan PMRAM dalam menangani isu ini.Sesungguhnya kekuatan sesebuah persatuan adalah terletak kepada ahlinya.

Akhir sekali,marilah kita sama-sama merenung kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s agar peristiwa tersebut menjadi teladan dan menyemarakkan lagi semangat kita untuk menuntut ilmu Allah di muka bumi ini insyaAllah.Marilah kita sam-sama membantu bersama dengan PMRAM sebagai persatuan induk dan tertua di Bumi Mesir ini dalam menghadapi sebarang rintangan dan tekanan dari pihak-pihak yang berkenaan.Semoga segala pengorbanan yang kita sumbangkan mendapat ganjaran Syurga oleh Allah SWT di akhirat kelak InsyaAllah.Sekian Wassalam…..

SALAM ‘EIDUL ADHA 1430H


“PERSAUDARAAN MEMERLUKAN PENGORBANAN”

MOHD ILYA FARHAN BIN CHE MOHAMAD ILIAS,
PEMANGKU YANG DIPERTUA,
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR PULAU PINANG MESIR
(BKPPPM) SESI 2009/10



Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL