[TINTA MUTIARA | HIDUP UMPAMA MUSAFIR]


  بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى آله واصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين ، أما بعد

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قاَلَ أخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبيِ فقَاَلَ كُنْ فيِ الدُّنْياَ كَأَنَّكَ  غَرِيبٌ أوْ عَابِرُ سَبِيلٍ (وَعُدَّ نَفْسَكَ مِنْ أَهْلِ الْقَبُوْرِ) وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يقَوُلُ إذِاَ أمْسَيْتَ فَلَا تَنَتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإذِاَ أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ


Daripada Ibnu Umar RA berkata : Rasulullah memegang kedua bahuku seraya bersabda :

" Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara, " Ibnu Umar berkata: "Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi.

Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu.

Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu."


Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah menasihati Ibn Umar supaya tidak menjadikan dunia sebagai tempat untuk berehat tanpa mempunyai apa-apa cita-cita. Dunia bukanlah tempat yang kekal untuk kita sebagai orang yang beriman bersenang-senang malah ianya satu tempat untuk kita berlumba mencari bekalan menuju hari perhitungan.

Tambahan lagi, kita seharusnya menganggap hidup di dunia ini seperti seorang pengembara yang sedang menyediakan bekalan untuk perjalanan yang sangat jauh. Ibarat musafir yang tidak menetap di satu tempat , mencari hikmah disepanjang perjalanannya dan tidak sibuk untuk memperkayakan dirinya dengan permata dunia.

Tidak seharusnya kita ‘jatuh cinta’ dengan buana  kerana hakikatnya ia adalah tempat singgahan sementara sahaja. Namun perbuatan kita seolah-olah lebih mengejar buana dari mengejar akhirat yang bersifat kekal . Manusia sering bertelingkah mengenai perkara yang tidak mendatangkan manfaat, terlalu gusar dengan masa depan dan lain-lain. Lupakah kita bahawa manusia dilemparkan ke bumi hanya untuk diuji?  

Ibnu Umar juga menyambung pesanannya dengan mengingatkan kita supaya tidak menunda-nunda amal yang ingin dilakukan mahupun sekecil kebaikan. Jika berada di waktu pagi pula, usah menunda sesuatu hingga ke waktu petang  dan keesokan hari. Selagi memiliki kesempatan dan peluang, gunakan nikmat yang dianugerahkan Allah dengan sebaiknya sebelum diri tidak mampu untuk melakukannya, baik kerana menderita sakit atau kerana kematian menjemput.  

Hal ini kerana, waktu kita di dunia sangat singkat untuk disia-siakan. Sepertimana kita sedia maklum, kebiasaan manusia sering lalai terhadap nikmat masa lapang sehingga menjejaskan tanggungjawab kita dalam memenuhi tuntutan sebagai seorang musafir di muka bumi .  

Rasulullah bersabda :  

 نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس، الصحة والفراغ

“Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang”.  

Sahabat sahabiah yang dikasihi Allah sekalian,

Bagaimana sikap seorang musafir yang asing?

1. Seorang musafir itu sedia tahu bahawa dia akan menempuh perjalanan yang sukar dan mencabar. Maka perlu berhati-hati dan berwaspada dalam menghadapi setiap ujian yang datang dan persiapkan diri dengan iman dan takwa untuk menempuhnya.

2. Seorang musafir tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja di tempat persinggahannya. Dia hanya boleh melepaskan penat atau mengisi bekalan untuk menyambung perjalanan yang seterusnya.

3. Seorang musafir tidak terleka dengan kemewahan dan nikmat yang dikirimkan sebentar oleh Allah. Diri tidak lagi terpikat pada segala sesuatu yang menggoda di tempat persinggahan sementaranya itu. Hatinya hanya terpaut pada tujuan yang akan menjadi tempat kembalinya kelak.

Kesimpulannya, pesona dunia kerap membuat seseorang lupa akan hakikat hidup di dunia sehingga menjadikannya lalai dalam melakukan tugas dan kewajipan sebagai seorang hamba iaitu beribadah kepada Allah سبحانه وتعالى . Hakikatnya kehidupan dunia tidak lebih hanya permainan dan senda gurau semata.

Rasulullah selalu mengingatkan umatnya untuk menjadikan hidup di dunia ini sebagai ladang mengumpul bekalan dan sebaik-baik bekal adalah takwa kepada Allah. Orang mukmin akan menganggap dirinya seperti ‘musafir’ yang ingin terus melanjutkan perjalanan hingga batas akhir tujuan iaitu kehidupan abadi.

 

Rasulullah bersabda :

 “Aku tidak memiliki kecenderungan (kecintaan) terhadap dunia. Keberadaanku di dunia  seperti seorang musafir yang berteduh di bawah pohon kemudian pergi dan meninggalkan pohon tersebut"                       

…………………………………….........................................................................................

 

Ulya Awatif binti Ab Nazir

( AJK Penasihat HEWI BKPPPM sesi 23/24)

 

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL