MINDA PIMPINAN | CARA ISLAM BERFIKIR

CARA ISLAM BERFIKIR

بسم الله الرحمن الرحيم 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Akal merupakan anugerah Allah yang paling besar kepada manusia. Akal yang dimiliki inilah yang membezakan kita dengan makhluk Allah yang lainnya dan sekaligus menempatkan manusia di kedudukan tertinggi di sisi Allah. Quraisy Shihab dalam bukunya, Wawasan Al - Quran , telah menukilkan bahawa akal adalah keistimewaan yang menjadikan manusia itu hebat dan ia perlu digunakan sebaiknya untuk menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi Allah. Jelaslah bahawa akal itu simbolik kepada pentingnya seorang manusia itu menjaga cara pemikirannya dari syubhat dan fitnah dengan berfikir berlandaskan fikrah yang benar iaitu fikrah Islamiah .

Frasa ‘Fikrah Islamiah’ sering didengari tetapi masih tidak difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat Islam. Secara umumnya, frasa tersebut terkait dengan dua perkataan iaitu berfikir dan Islam. Tuntasnya, kita dapat simpulkan bahawa fikrah Islamiah ini membawa maksud pemikiran yang bersifat Islam atau dalam erti kata lain berfikir dengan cara yang diajarkan oleh Islam. 

Jika kita menelusuri Al-Quran, Allah telah meninggalkan kita dengan pernyataan dan persoalan yang menyeru kita untuk berfikir. Bahkan fasa dakwah nabi kita Muhammad juga memfokuskan kepada cara berfikir demi kelangsungan dakwah Islamiah. Ringkasnya, untuk melihat cara berfikir Islam telah Allah bentangkan kepada kita melalui Kitabhil Aziz dan sirah baginda nabi. 

Cara berfikir Islam yang dapat saya kongsikan:

1. Seorang Muslim mesti MENJAGA AKIDAH DAN KEIMANANNYA DARI SEGALA SYUBHAT. Seperti sedia maklum, syubhat itu hadir dari hati yang lemah dan akan menyebabkan dasar pemikiran kita dihiasi dengan kesesatan. Mengkaji kitab-kitab yang berunsurkan syubhat ini dapat menyedarkan kita betapa ekstrimnya cara pemikiran mereka yang tidak mempercayai tuhan atau istilahnya Atheis dalam menghuraikan sesuatu frasa. Rata-rata mereka yang tidak kuat akidahnya mungkin akan terpesona dan merasakan hatinya terikat lantas bersetuju dengan cara pemikiran para Atheis ini. Hal ini kerana ia hakikatnya mencapai tahap logik akal kita sebagai manusia Dan kebanyakannya terjadi pada orang awam bahkan orang berpelajaran yang akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam kesesatan yang tidak berpangkal. 

2. Harus bagi seseorang Muslim itu BERFIKIR DARI SUMBER ISLAM YANG HAKIKI DAN BERTAFAKUR DENGANNYA. Allah telah menyeru kita dalam firmanNya,
﴿ كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبَابِ ﴾ ، (ص : ٢٩)
Mafhumnya : Kitab (Al-Quran) yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatNya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran. 
Allah juga menyeru untuk memikirkan makhluk-makhluknya : 
﴿أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا فِي أَنفُسِهِمْ مَا خَلَقَ اللهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَجَلٍ مُسَمَّى وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ لَكَافِرُونَ﴾
(الروم : ٨)
Mafhumnya : Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan dalam waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya, banyak di antara manusia benar-benar mengingkari pertemuan dengan tuhannya.
Perkataan tafakkur disebut 18 kali dalam Al-Quran dengan menggunakan perkataan perbuatan iaitu fakkara. Perkataan ini juga mengaitkan hal berfikir kembali kepada akhirat dan Allah. Ini menunjukkan bahwa tafakkur adalah ibadah dari sifat-sifat para wali Allah yang arif. Mereka sentiasa berfikir dan mengetahui bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia lalu mengatakan : “Ya Tuhan kami, tidaklah engkau ciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau dari semua yang tidak layak dengan keagunganMu, akan tetapi Engkau telah menciptakannya dengan benar dan untuk kebenaran. Maka peliharalah kami dari api neraka dengan menjaga kami dari keburukan serta berikanlah kami taufiq supaya kami boleh mengerjakan amal soleh agar kami selamat dari azab neraka” . (At Tafsir : 161)

3. Digalakkan seorang Muslim itu BERFIKIR MENGGUNAKAN ANALOGI . Penggunaan analogi ini dapat membesarkan perspektif seseorang apabila berfikir mengenai sesuatu. Pendekatan berfikir ini dapat kita lihat dalam firman Allah : 
﴿أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَآءِ (٢٤) تُؤْتِىٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيْثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيْثَةٍ ࣙ ٱجْتُثَّتْ مِن فَوقِ الأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ (٢٦) ﴾
(إبراهيم : ٢٤ - ٢٦) 
Mafhumnya : Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit (24) (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya dan Allah membuat perumpamaan itu agar manusia sentiasa ingat (25) Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk yang telah dicabut akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tetap sedikit pun (26). 
Dengan cara analogi ini seseorang itu dapat melihat perbezaan sesuatu perkara dengan kanta mata lebih jelas. Perumpamaan atau gambaran yang diungkapkan sekaligus menjadikan pemikiran seseorang lebih berkembang dan membuahkan idea yang tetap dan bernas.

4. Sangat penting bagi seorang muslim BERFIKIR SECARA RASIONAL DAN STABIL . Cara ini menggunakan dalil akal dan ia dilihat dari aspek metodologi iaitu mempunyai nilai yang munasabah dan praktikal yang tuntasnya menjadikan pendengar lebih menerima tanpa sebarang bantahan. 
Dalam surah At-Tur, Allah melontarkan soalan rasional kepada mereka yang tidak mempercayai kewujudanNya. 
﴿أَمْ خُلِقُوا مِن غَيرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الخَالِقُونَ (٣٥) أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بَل لَّا يُوقِنُونَ (٣٦) ﴾ ( الطور : ٣٥ - ٣٦)
Mafhumnya : Atau apakah mereka tercipta tanpa asal-usul atau apakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri (35) Atau apakah mereka yang telah ciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka katakan (36) 
Pemikiran yang rasional menjadikan seseorang itu kelihatan lebih intelektual. Sikap ini akan menyebabkan pendengar tidak akan mempersoalkan apa yang dituturkan sekaligus menambahkan kepercayaan dan perhatian mereka untuk terus mendalami apa yang ingin kita sampaikan.

Akhir kalam, seseorang itu disanjung kerana ketinggian pemikirannya, bukan diukur dengan rupa paras dan keturunannya semata-mata. Justeru, berfikirlah dengan cara yang diajarkan oleh Islam supaya kita dapat menjadi pemikir Islam yang memberi jasa dan menyumbang kepada penyebaran dakwah Islam. Juga, sahutlah seruan Allah yang mengajak kita untuk sentiasa berfikir tentang ciptaanNya kerana orang yang sentiasa berfikir demi maslahat ummah akan memperoleh tempat yang mulia di sisi Allah taala.

ما أصابك من حسنة فمن الله ،
وما أصابك من سيئة فمن نفسي 
والله أعلم 
 .………………………………………………………...........
Siti Amirah binti Amran
(Timbalan Lajnah Perumahan Sesi 2022/2023) 
 
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan” 
“Ukhuwah Dipateri, Thaqafah Diamati” 
 
#BKPPPM_KeluargaKita 
#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL