TARBIAH RAMADAN : PENDIDIKAN MENTAL, FIZIKAL & SPIRITUAL




TARBIAH RAMADAN : PENDIDIKAN MENTAL, FIZIKAL & SPIRITUAL
( Oleh : MUHAMMAD SAIFUL ASYRAF BIN ABDULLAH )

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan batil). Barangsiapa di antara kamu hadir (di tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkan, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan cukupkanlah bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah ayat 185)

     Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia dalam Islam dan juga merupakan bulan emas bagi seluruh umat Islam. Bulan Ramadan diibaratkan sebagai satu sekolah khusus dengan program pendidikan yang dibuka tiap tahun, dengan tujuan pendidikan yang terbina dengan suatu ujian yang istimewa agar para peserta dapat lulus dengan menyandang gelaran istimewa iaitu Al-Muttaqin.
Gelaran Al-Muttaqin itulah yang dicari-cari, kerana yang memiliki gelaran tersebut akan mendapat keampunan dan rahmat dari Allah swt. Jaminan ini langsung disampaikan oleh Rasulullah saw :

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
"Barangsiapa berpuasa Ramadan kerana keiman dan mengharapkan pahala dari Allah Swt, nescaya Allah mengampuni dosanya yang telah lalu.”

      Ramadan juga disebut sebagai bulan tarbiyah (pendidikan),  dengan ruang lingkupnya yang sangat luas, baik tarbiyah jasadiyah (fizikal), tarbiyah fikriyah (mental), mahupun tarbiyah qalbiyah (spiritual).

      Sesungguhnya Allah telah memberikan kelebihan yang banyak di dalam bulan ini. Antaranya ialah Allah swt telah menggandakan ganjaran pahala bagi orang yang beribadah kepadaNya. Dan di dalam bulan ini terdapat suatu malam istimewa iaitu malam Al-Qadr (Lailatul Qadr).
Dan beruntunglah bagi hamba-hamba Allah swt yang berjaya mendapatkan malam itu kerana ganjarannya lebih daripada seribu bulan. Sepertimana Firman Allah :

لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ . تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan (3) Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan (4) (Surah Al-Qadr 3 – 4)

    Di samping itu, pelbagai peristiwa penting dalam Islam yang berlaku dibulan mulia ini. Antaranya:

1. Perang Badar Al-Kubra

Terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah , tentera Islam yang berjumlah 313 menentang tentera Musyrikin yang berjumlah 1000 orang. Dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Muslimin.  Berkat doa Rasulullah saw dan para sahabatnya, Allah swt telah membantu mereka dengan menghantarkan Malaikat dan membawa kemenangan kepada tentera Muslimin.

2. Penurunan Al-Quran (Nuzul Quran)

Peristiwa penurunan wahyu yang pertama kepada Rasulullah saw pada 17 Ramadan tahun ke 13 sebelum Hijrah.

3.  Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah)

Pembukaan Kota Mekah secara damai oleh Rasulullah dan para sahabat pada 20 Ramadan tahun ke 8 Hijrah. Setelah umat Islam membebaskan Kota Mekah, Nabi Muhammad saw menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Ka'bah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadan tahun ke-9 hijrah, baginda mengirim Sayyidina Khalid Al-Walid untuk memusnahkan patung Al-'Uzza di Nakhla. Menurut kepercayaan Arab Jahiliyah, al 'Uzza adalah patung dewi terbesar di sana. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab saat melafazkan sumpah. Khalid al-Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla, lalu menghancurkan patung Al -'Uzza. Setelah itu, penyembahan patung pun berakhir.

4.   Pembebasan Andalusia (Spain)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu, mulai tahun 711 sehingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dikirim oleh pemerintah Bani Umayyah untuk menawan Kota Andalus. Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Setelah pasukan Islam mendarat di Gibraltar , Tariq membakar kapal-kapal tentara Islam agar mereka tidak memilih untuk mundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama Lapan abad dan memiliki peradaban yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

5. Perang Ain Jalut

Jatuhnya Kerajaan Bani Abbasiyyah berikutan kejatuhan kota Baghdad akibat serangan tentera Monggol. Maka umat Islam mula bangkit dan bersatu di bawah pimpinan Saifuddin Qutuz. Maka terbentuklah pasukan tentera Islam bagi membendung kemaraan tentera Monggol. Dengan izin Allah, tentera Islam meraih kemenangan dan pemimpin tentera Monggol iaitu Kitbuqa telah dibunuh. Hal ini telah menjatuhkan maruah tentera Monggol sekaligus memberi semangat kepada pihak Muslimin untuk merebut semula kota Baghdad.

     Sesungguhnya semangat juang mereka dalam menghadapi musuh ditambah lagi dengan perjuangan melawan hawa nafsu telah memberikan inspirasi kepada generasi umat yang akan datang. Sejarah telah membuktikan bahawa kemenangan empayar Islam yang terdahulu hasil daripada tarbiah Ramadan yang murni.

     Ramadan sebenarnya mendidik kita menjadi lebih baik sama ada fizikal mahupun mental. Ramadan juga mengajar kita erti keikhlasan dan memperbaiki segala amalan kita.

   Penulis (kiri) merupakan mahasiswa Markaz Sheikh Zayed

      Akhir kalam, jadilah hamba Allah yang bertaqwa atas binaan tarbiah Ramadan. Dan janganlah menjadi hamba Ramadan yang bersungguh-sungguh pada bulan itu tetapi selepas perginya Ramadan beliau kembali sediakala seperti pada bulan lain. Moga Ramadan tahun ini lebih baik daripada tahun tahun sebelumnya. InsyaAllah.

Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM Sesi 2019/2020

"Memurnikan  Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwwah Teguh Wehdah"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL