MINDA PIMPINAN | NUZUL AL-QURAN RAHMATAN LIL 'ALAMIN





بسم اللّه الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة اللّه وبركاته

Alhamdulillah atas limpahan rahmat dan kasih sayang Allah Ar-Rahim yang masih memberikan peluang untuk sama-sama kita menghirup udara Ramadan yang penuh rahmat, pengampunan dan ganjaran yang berlipat ganda buat kita semua. Bulan Ramadan adalah bulan istimewa kerana di dalamnya diturunkan Al-Quran kepada Rasulullah S.A.W sebagai mukjizat terbesar sehinggakan Ramadan juga disebut sebagai Syahrul Quran.

Pengertian Nuzul Al-Quran 

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Manakala "Al-Quran" ialah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai satu mukjizat, dengan lafaz Bahasa Arab, dan membacanya adalah satu ibadah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Muhammad maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam umumnya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T pada 17 Ramadan yang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus ( 30 juzuk ) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada junjungan Nabi S.A.W. 

Bertepatan dengan Firman Allah mengenainya :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah:185)

Ayat ini adalah dalil bahwa Al Qur’an pertama kali diturunkan di bulan Ramadan. 

Sebagaimana ayat lain : 

إِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya kami turunkan ia (Al Qur’an) di malam lailatul qadr.” (Al Qadr: 1)

Juga firman Allah SWT :

إِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
“Sesungguhnya kami turunkan ia (Al Qur’an) di malam yang penuh keberkahan” (Ad Dukhan: 3)


Jadi, apakah hikmah dan himmah penurunan wahyu Al-Quran yang dapat kita simpulkan dalam kehidupan?

1. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.

2. Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

3. Kandungan ajaran Al-Quran adalah bersifat mukjizat (I’jaz al-‘Ilmi) sehingga merentasi zaman dan tempat sekali pun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 9, bermaksud :

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

4. Tidak ada di dalam Al-Quran sesuatu yang bertentangan pada setiap isi kandungan di dalam Al-Quran.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَٰفًا كَثِيرًا
Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Kalau kiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya. 

5. Kehebatan Al-Quran pada gaya bahasa, susunan ayat serta kehebatan-kehebatan lain tiada tandingan dengan mana-mana penulisan syair, lagu, sajak dan lain-lain. Al-Quran diturunkan ketika kaum Arab ramai yang berkebolehan dan pandai dalam Bahasa Arab namun tiada seorang yang hebat ketika itu yang mampu mendatangkan satu surah, bahkan tidak mampu untuk mendatangkan walau satu ayat yang serupa dengan Al-Quran. 

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا۟ بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِۦ مُفْتَرَيَٰتٍ وَٱدْعُوا۟ مَنِ ٱسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِين
Bahkan mereka mengatakan: "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran itu", Katakanlah: "(Kalau demikian), maka datangkanlah sepuluh surat-surat yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar".

Namun, masih ada segelintir umat yang masih tidak menyedari akan kehebatan mukjizat Al-Quran malah terlampau leka dengan hal keduniaan sehingga mengabaikan Al-Quran. Setiap Muslim sewajarnya sentiasa beramal dengan Al-Quran dan memperingati tarikh penurunannya. Pelbagai program tidak putus-putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Quran ini.

Alhamdulillah, semakin ramai kaum muslim yang sudah pun mengimarah dan memulakannya sejak dari awal Ramadan lagi. Pada bulan inilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran sebagai satu kelaziman di masjid dan kediaman masing-masing.

sama-samalah kita menambahkan dan mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Allah SWT yang tidak terhingga kepada umat Islam kerana beribadah di 10 hari akhir Ramadan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hayat kita iaitu 1000 bulan.

Firman Allah SWT :

Maksudnya : “Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”

Semoga kita benar-benar menjadi umat yang menghargai pengorbanan baginda di sebalik kisah penurunan wahyu Al-Quran.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ


Fatin Qurratul A'in binti Mohd Zakaria
(Timbalan Lajnah Pendidikan
Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir Sesi 2019/2029)


"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhwah Teguh Wehdah"

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu
#QurantimeinQuarantine
#KitaMestiMenang

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963