Tinggalan Azhari : Bahagia Itu Berjaya

BAHAGIA ITU BERJAYA


Setiap dari jiwa manusia tidak pernah lari daripada meminta nafas bahagia. Suatu perasaan semulajadi atau fitrah bagi semua lapisan umur dalam setiap abad bagi menentukan kualiti hidup dengan membina bahagia, dan tidak kurang juga dalam menyebarkannya. Perasaan ini tentunya ingin dimiliki bagi mereka yang berfikiran normal dan tidak mudah berputus asa dalam rentak kehidupan dunia, akan tetapi apakah kebahagiaan sebenar yang berjaya digapai oleh seorang yang bergelar AZHARI?

Kalimat Bahagia itu sendiri sudah menggambarkan satu ungkapan yang tenang dan harmoni dalam ruang fikiran dan jiwa manusia. Bahagia mempunyai definisi tersendiri iaitu suasana senang dan aman serta gembira. Bahagia juga membawa maksud beruntung, kesenangan hidup, kemujuran dan kelestarian.


Kebahagian yang dikecapi oleh seseorang manusia adalah bermula sejak dari kecil, alam dewasa seterusnya hingga ke usia tua kehidupan seseorang individu. Justeru, antara rahsia sesebuah kebahagiaan berjaya dicapai adalah dengan motivasi yang boleh membangunkan semangat juang dalam diri seseorang insan.

Motivasi adalah sangat penting untuk berjaya dalam kehidupan dan mencapai kebahagian bagi seseorang atau individu. Motivasi hidup adalah segala dorongan dan hasrat yang muncul dari diri seorang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya. Bagi mereka yang memiliki motivasi hidup, mereka akan lebih menghargai setiap waktu dan sangat mensyukuri segala nikmat Tuhan yang diberikan kepadanya. Bagi mereka yang sentiasa bersyukur, hidup mereka akan lebih tenang dan bahagia.

Dengan motivasi juga boleh merangsangkan diri sendiri untuk berjaya dan lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan demi mengejar cita-cita di samping membuatkan seseorang itu merasa bahagia setiap waktu ketika menjalani kehidupan ini. Jalanilah hidup ini dengan bahagia dan berjaya. Katakan pada diri : "Kejarlah cita-cita, kejarlah impianku, andai itu yang boleh membuatkan aku rasa bahagia."

Kehidupan seseorang akan menjadi lebih baik jika memiliki kebahagiaan dan kejayaan. Dalam hidup ini, ada orang yang dapat menjalani kehidupannya dengan rasa bahagia, walaupun kehidupannya bukanlah dari keluarga yang senang atau mewah. Ada juga orang yang berjaya dari sudut karier atau kerjayanya, tetapi tidak menikmati kebahagiaan dalam hidupnya.


Kebahagiaan dan kejayaan ini merupakan dua perkara yang berbeza. Kehidupan seseorang akan menjadi lebih baik jika memiliki kedua-duanya. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mendapatkan kedua-duanya sekaligus, tapi memerlukan sedikit pengorbanan yang ikhlas yang bakal membuahkan kebahagiaan dan kejayaan yang indah untuk kehidupan yang diimpikan.

Tetapi boleh atau tidak mendapatkan kebahagiaan dan kejayaan sekaligus ?

Sebenarnya, boleh tetapi memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, iaitu :

  • Andai usaha yang dilakukan belum mencapai kejayaan, jangan berhenti bahkan usaha lebih lagi.
  • Cari punca mengapa kejayaan tidak berpihak kepada diri sendiri dan di mana kesilapannya.
  • Bangkit dengan pantas dari kegagalan walau berulang kali rebah.
Bila kejayaan menjadi hak mutlak seseorang berkat dari hasil titik peluh sendiri. Secara automatik akan hadir rasa bahagia. Andai sekarang diri dibelenggu rasa tidak bahagia dengan kehidupan sendiri, cubalah belajar untuk bersyukur kerana bahagia itu lahir dari rasa syukur. Apabila diri bersyukur dengan apa yang ada, maka ketenangan dan kebahagiaan akan diperolehi dengan secukupnya. Firman Allah S.W.T :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
 
Maksudnya: "Dan (ingatlah), ketika Tuhan kamu memberitahu, "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur nescaya azabku amatlah keras."
(Surah Ibrahim : 7)

Penutup

If  you want to be happy inside your life, focus on the things that you 'have'. Instead of the things that you've lost. Sedikit kebahagiaan, dengan usaha serta ulangan yang berterusan, akan membentuk sebuah gunung kebahagiaan pada masa hadapan. Percayalah, semuanya dengan izin illahi. Wallahua'alam.


Nurhazwani Binti Mohd
Aktivis BKPPPM, Graduan Usuluddin (Tafsir)


Rujukan :
Tafsir Ibnu Kathir, jilid 3, muka surat 593.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat.




Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL