Kepentingan Ilmu Eskatologi Terhadap Mahasiswa/wi



Kepentingan Ilmu Eskatologi Terhadap Mahasiswa/wi
Oleh : Muhammad Al Haziq Bin Azhar


  
     
        Umum mengetahui bahawa ilmu eskatologi tidak lagi asing dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi dalam era yang serba canggih ini. Eskatologi berasal dari Bahasa Yunani iaitu echatos yang memberi makna pengakhiran. Hal ini tidak janggal dalam setiap agama kerana setiap agama mempercayai dan mengakui tentang ada dan wujudnya satu hari yang dinamakan hari pengakhiran bagi umat manusia. Terdapat banyak kepentingan yang perlu diambil cakna oleh mahasiswa terhadap ilmu eskatologi ini. Ayuh kita kupaskan hingga ke akar umbi.

      Antara kepentingan ilmu eskatologi terhadap mahasiswa ialah dapat menghindarkan diri daripada terjerumus dalam tipu daya musuh. Hal yang demikian kerana, ilmu ini memberi pendedahan tentang aspek-aspek atau cabang-cabang  tipu daya yang direka dan diolah oleh musuh Islam. Sebagai contoh yang selalu dipandang enteng oleh mahasiswa ialah dari sudut hiburan. Sebagaimana yang kita ketahui mahasiswa pada zaman canggih ini tidak lekang dengan hiburan, bak kata pepatah melayu “bagai isi dengan kuku”. Dengan ini, musuh Islam terus menerus menerapkan hiburan yang berlebihan dalam kalangan mahasiswa sebagai contoh permainan video yang tidak dikenakan bayaran dan sebagainya. Hal ini telah menarik ramai mahasiswa terjerumus dalam helah musuh Islam sehingga mengabaikan kewajipannya sebagai penuntut ilmu. Sudah terang lagi bersuluh ilmu eskatologi dapat membimbing dan menghindarkan mahasiswa daripada terjerumus dalam tipu daya musuh Islam.

      Mengelakkan keruntuhan akhlak dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi yang merupakan pelapis negara juga merupakan salah satu daripada kepentingan ilmu ini.  Ilmu eskatologi telah menceritakan bahawa, saat tibanya hari pengakhiran ini atau tidak asing lagi dikenali sebagai hari kiamat adalah disebabkan pelbagai faktor dan antaranya ialah keruntuhan akhlak. Ketika berlakunya peristiwa ini, manusia tidak lagi malu atau segan silu melakukan perbuatan yang dianggap tidak sopan ini di khalayak ramai. Hal ini demikian kerana, musuh Islam telah meracuni fikiran mahasiswa dengan pemikiran negatif dan dalam istilah lainnya adalah kotor. Sebagai contoh ialah melayari laman web yang berunsurkan lucah. Masalah ini berkait rapat dengan mahasiswa yang berada dalam proses peningkatan usia di antara 15 hingga 40 tahun yang mudah terjebak dan terjerumus dalam masalah ketagihan video lucah ini. Dengan adanya pendekatan ilmu eskatologi ini para mahasiswa dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah maksiat seterusnya menjadi pelapis negara yang unggul dan wibawa. Tidak disangkal lagi bahawa ilmu eskatlogi penting bagi diri mahasiswa dan mahasiswi.

      Seterusnya, kepentingan ilmu eskatologi juga memberi gambaran umum tentang strategi musuh Islam dan berwaspada dengan fitnah akhir zaman. Hal demikian disebabkan terlalu banyak musuh Islam yang ingin menjatuhkan Islam dengan pelbagai cara halus dan kotor. Sebagai contoh pengasingan agama dalam pelbagai aspek seperti pendidikan dan politik. Dalam bidang politik, mereka telah menerapkan budaya yang memisahkan antara politik dan agama. Tindakan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Seharusnya politik perlu selari dengan agama maka menghasilkan pentadbiran yang berjalan lancar dan harmoni. Di bidang pendidikan pula, musuh Islam telah mewujudkan sistem pembelajaran yang berteraskan akademik semata-mata dan mengenepikan pendidikan yang berteraskan Islam. Hal ini perlu dipandang serius oleh mahasiswa supaya dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam tipu daya musuh Islam.


          Kesimpulannya, ilmu eskatologi perlu diberi pendekatan, penekanan dan pendedahan yang lebih kepada mahasiswa kerana ilmu ini amat penting untuk menjaga diri daripada terjebak dalam tipu daya musuh. 


                              

Catatan :
Esei ini telah mendapat tempat yang pertama bagi pertandingan menulis esei (ikhwah) yang dianjurkan oleh Fiesta Conference Of Thaqafi (FACULTY’19) pada September yang lalu. Semoga para pembaca dapat memperoleh manfaat darinya dan tahniah kepada pemenang.


Disediakan oleh : Lajnah Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM 18/19

"Empowering Islamic Knowledge and Thinking"
              "Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
              "Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
              "Bersatu dan Berbakti"
              "Biah Berkualiti"
              "Fikrah dan Thaqafah Islamiah"


Comments

Dr Mia Blog said…
Terbaik dan tahniah kepada pemenang kerana berjaya menulis satu esei yang menceritakan akan kepentingan ilmu eskatologi dalam kalangan mahasiswa/wi..

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL