Minda Pimpinan | Biah Solehah Membentuk Peribadi Muslim Sejati







بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته الْحَمْدُ لله رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى أله وَأَصْحَابِهِ،
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ

Segala puji bagi Allah, doa dan keselamatan semoga terlimpah keatas nabi dan rasul , juga  atas keluarga dan para sahabat, serta kepada yang mengikuti mereka dalam kebenaran sampai hari kiamat.

Firman Allah S.W.T :


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : "Hendaklah ada dikalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan itulah orang-orang yang berjaya."
(Surah Ali-Imran : 104)


Sesungguhnya amalan yang amat mulia adalah beramal soleh, saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran, itulah golongan yang beruntung. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai pendakwah memperhebat dan memperluas usaha dakwah.

Sebagaimana yang dapat kita lihat pembentukan generasi hari ini terlalu menyedihkan dan membarah. Berlegar-legar di sekeliling kita mengenai isu dan masalah sosial yang berat seperti zina, jenayah siber, kes buli, budaya samseng dan pelbagai lagi. Bahkan, lebih menyedihkan lagi, perlakuan ini dilakukan oleh segolongan remaja Islam! Persoalannya, bagaimanakah usaha kita untuk membendung masalah-masalah ini.

Antaranya, kita sebagai mahasiswa khususnya mahasiswa Azhar, berperanan untuk menghidupkan suasana baik atau dikenali dengan biah solehah yang telah dianjurkan oleh Islam.

Terdapat 6 Pembawaan  Biah Solehah :

1) Memperkasakan Solat Jemaah
      
“Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat.”
(Hadis Riwayat Al Bukhari)

Solat Jemaah merupakan tuntutan dalam Islam yang mempunyai banyak kelebihan baik dari sudut rohani mahupun jasmani.

Dari Imam Al-Bukhari dan Muslim, penting dan dituntut akan solat berjemaah itu sehingga Rasulullah S.A.W. pernah mengancam untuk membakar rumah orang lelaki yang meninggalkan solat secara berjemaah.


2) Memanfaatkan media elektronik

حديثُ أَبِي هُرَيْرَةَ, أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال َ: "مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى, كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ, لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ  مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا, وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ, كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ, لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أوزارهم شَيْئا

Hadis Abi Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda : "Barangsiapa mengajak pada kebenaran, maka ia juga mendapatkan pahala seperti pahala orang-orang yang  mengikutinya tanpa kurang sedikitpun. Dan barangsiapa mengajak pada keburukan, maka ia juga mendapatkan dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa kurang sedikitpun." (HR Muslim)

Manfaatkanlah media sosial dengan menjadikannya sebagai salah satu ladang pahala, bukan ladang menyimpan satu persatu catatan dosa.

3) Mengukuhkan tautan ukhuwwah
           
Sabda Rasulullah S.A.W. (mafhum) : “ Tidaklah beriman seorang mukmin sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. "

Ukhuwah bermaksud mengikat hati-hati dengan ikatan aqidah, iaitu ikatan yang paling kukuh. Ukhuwah adalah saudara iman, perpecahan adalah saudara kekufuran. Setinggi-tinggi tingkatan ukhuwah ialah mendahulukan kepentingan orang lain berbanding diri.

4) Pembentukan fikrah dan syakhsiah
 
Fikrah Islam adalah ajaran Allah S.W.T, yang lengkap sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan Muslim. Iaitulah Islam atau Ad-din yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah S.A.W.

Imam Hassan Al-Banna telah menegaskan:
"Pembentukan suatu ummah, pendidikan suatu bangsa, pencapaian cita-cita dan pendukungan prinsip memerlukan kekuatan jiwa yang besar dari ummah atau bangsa yang ingin mencapai cita-citanya itu. Kekuatan jiwa yang terjelma dalam kemahuan yang kuat dan tak mengenal lemah; kesetiaan yang terpadu, tak mudah terpengaruh, dan tak kenal uzur; memiliki pengorbanan yang tinggi yang tak terhalang oleh perasaan tamak; mengenal serta mengimani dan memandang tinggi terhadap prinsip perjuangan sehingga seseorang dapat memelihara diri dari penyelewengan atau terpedaya oleh prinsip-prinsip lain"

Beliau menjelaskan bahawa pembinaan syakhsiah dan fikrah ini adalah merupakan titik permulaan dalam dakwah seterusnya yang menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat umat Islam.

5) Mengetahui dan mendalami sejarah Islam

Marilah kita cakna dengan sejarah Islam yang berlaku agar kita tidak mengulangi semula kejatuhan khilafah Islamiah suatu ketika dahulu dan dapat mengembangkan semula empayar Islam di dunia ini.

6) Membudayakan etika pergaulan syarie

Firman Allah S.W.T:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰ⁠لِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ


(Surah An-Nur: 30)

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan."

Ikhtilat ialah percampuran antara lelaki dan wanita pada satu tempat. Percampuran yang berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram mestilah mengikut panduan Islam supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara yang mengundang kemurkaan Allah.

Akhir kalam,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri,” (Surah Ar-Rad:11).

Biah yang solehah, menjadi faktor yang paling penting buat kita untuk menjadi seseorang yang lebih baik.Kita semua mempunyai kisah silam yang kelam, dan kita semua juga ada peluang untuk melakar masa hadapan yang begemerlapan.

Maka ubahlah!

Wallahu'alam.


Ain Zubaidah Binti Harun
Timbalan Lajnah Perumahan BKPPPM Sesi 2018/2019

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Bersama Bersatu"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah dan Thaqafah Islamiah"

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963