PEMBEBASAN KOTA SUCI





Islam mula berkembang dengan pesat di bawah suasana aman yang wujud selepas perjanjian Hudaibiyyah. Kedatangan rombongan demi rombongan untuk menganut Islam. Kini kabilah-kabilah yang menganut Islam mencecah jumlah yang besar.

                Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun kelapan Hijrah. Al-Quran menamakan Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan tidak menemakannya menawan atau menyerang atau menakluk kerana ungkapan ini paling munasabah dengan kesucian Kota Mekah dan kedudukannya. Mekah adalah bumi istimewa di sisi Allah, bumi pertama diwujudkan. Allah mengisytiharkan kebesaran-Nya dengan memilih Nabi kesayangannya Ibrahim supaya membukanya dan menempatkan zuriatnya yang akhirnya melahirkan Nabi Teragung, Nabi Muhammad S.A.W.

PUNCA PERISTIWA

                Pencabulan perjanjian ini tercetus apabila Bani Bakar yang bernaung di bawah musyrikin Quraisy memerangi Bani Khuza’ah yang bernaung di bawah Rasulullah S.A.W. kerana permusuhan lama yang berlaku sebelum kedatangan Islam.

Menurut satu riwayat, keadaan menjadi tegang apabila salah seorang di kalangan Bani Bakar mencela Rasulullah dalam bentuk nyanyian. Melihat keadaan ini, salah seorang pemuda Bani Khuza’ah memukul penyanyi tadi. Hasil dari kejadian ini, salah seorang pemimpin Bani Bakar, Naufal bin Muawiyah bersama anaknya menyerang kabilah Bani Khuza’ah di waktu malam. Mereka telah membunuh kira-kira 20 orang lelaki Khuza’ah. Serangan ini telah dibantu oleh beberapa pemimpin Mekah dengan anggota bersenjata.

Akhirnya Khuza’ah mengahantar rombongan yang dipimpin oleh ‘Amar bin Salim Al-Khuza’ei untuk mengadap dan mengadu kepada Rasulullah S.A.W. terhadap kejadian tersebut. Lalu baginda bersabda dengan linangan air mata: “Engkau pasti dibantu wahai ‘Amar bin Salim.” Kemudian datang Badil bin Warqaa Al-Khuza’ei melaporkan kepada Rasulullah akan penglibatan pemimpin Mekah.

Setelah peristiwa ini, pemimpin Mekah merasai padah sedang menggugat kedudukan mereka akibat mengkianati perjanjian. Maka, mereka mengutuskan Abu Sufian untuk menemui dan merayu kepada Rasulullah agar melanjutkan tempoh perjanjian. Rasulullah S.A.W. hanya mendiamkan diri tanpa menjawab rayuan Abu Sufian. Selepas berkali-kali Abu Sufian merayu kepada baginda, beliau pulang ke Mekah dengan kecewa.

PERSEDIAAN DAN KERAHSIAAN

Al-Tobrani meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah memerintahkan Aisyah R.A. membuat persediaan, tiga hari sebelum ketibaan rombongan Khuza’ah tanpa diberitahu tempat yang menjadi sasaran. Baginda tidak mendedahkan hasratnya untuk menyerang Mekah dan menyembunyikan perancangannya bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Rahsia yang tersimpan rapi tiba-tiba bocor. Rasulullah S.A.W. mendapat berita bahawa seorang wanita ditugaskan oleh Hatib bin Abi Baltaah untuk membawa sepucuk surat kepada pemimpin Mekah. Apabila dibuka dan dibaca surat tersebut di hadapan Rasulullah S.A.W, baginda sangat terkejut kerana isi kandungan yang memaklumkan tentang perjalanan Rasulullah S.A.W. ke Mekah. Baginda sangat kecewa kerana Hatib merupakan ahli Badar.

Hatib akhirnya dipanggil oleh Rasulullah S.A.W. dan dengan lemah lembut baginda meminta penjelasan darinya, lalu diberitahu bahawa dia berbuat demikian untuk menjamin keselamatan keluarganya yang berada di Mekah. Umar R.A. dengan tegas ingin memancung lehernya. Hal ini menunjukkan bahawa kesalahan pengintip boleh dijatuhkan hukuman bunuh tetapi oleh kerana Hatib seorang ahli Badar, maka baginda memaafkan berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1 hingga 5. Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (6/166)

KELUAR MENUJU MEKAH

                Tanggal 10 Ramadhan, baginda mengepalai 10 ribu bala tentera yang lengkap bersenjata. Urusan wilayah baginda ditugaskan kepada Abu Rahan Al-Ghifari R.A. Tindakan ini bertujuan memberi isyarat bahawa amanah pentadbiran bukannya warisan atau pusaka. Dalam perjalanan ke Mekah, baginda dan para sahabat berpuasa. Apabila mereka tiba di Kadid, baginda tidak lagi meneruskan puasa dan diikuti oleh para sahabat. Tujuan ini bagi melaksanakan keizinan Allah S.W.T. kepada mereka yang musafir terutama jihad di jalan Allah. Firman Allah Taala :

فَمَنۡ كَانَ مِنۡكُمۡ مَّرِيۡضًا اَوۡ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنۡ اَيَّامٍ اُخَرَ

Maksudnya : “Maka sesiapa di kalangan kamu sakit atau dalam keadaan  musafir maka hendaklah ia mengulanginya pada hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah : 184)

                Allah mengurniakan rahmat kepada hambanya dalam menunaikan ibadah dengan rukhsah (kemudahan) di samping azimah (kewajipan yang menjadi bebanan dan ada yang memerlukan pengorbanan). Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (1/389)

BERGERAK MEMASUKI MEKAH

                Pada pagi Rabu 17 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah, tentera Islam meninggalkan Marru Dzahran dan memasuki ke Kota Mekah dengan aman. Mereka diarah untuk tidak menyerang kecuali diserang kerana misi mereka adalah membawa rahmat bukannya menghukum secara nafsu dan membawa keadilan. Kemudian tentera Islam sampai di Mekah seraya mengisytiharkan :

“Sesiapa yang memasuki ke rumahnya dan mengunci pintu, dia mendapat keamanan. Sesiapa yang memasuki masjid, dia mendapat keamanan. Sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abu Sufian, dia juga mendapat keamanan.”

Baginda masuk ke Mekah dalam keadaan tunduk sehingga dahinya hampir-hampir menyentuh pelana tunggangannya sebagai tanda bersyukur kepada Allah S.W.T. atas kemenangan yang paling besar. Baginda begitu merendah diri dengan penuh tawaduk dan baginda memakai serban hitam sambal mengulangi surah Al-Fath. Kemudian, baginda tawaf di Baitullah  dan menghapuskan berhala kira-kira 360 buah berhala di sekelilingi dan di dalam Kaabah.

Rasulullah S.A.W. solat dua rakaat di dalam Kaabah dan melafazkan kalimah tauhid di setiap penjuru. Setelah selesai, baginda berdiri di muka pintu Kaabah dan berkata kepada Quraisy :

“ Pada hari ini, aku katakana kepada kamu sebagaimana kata-kata saudaraku, Yusuf sebelum ini; ‘kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia jualah Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.’ Pergilah, kamu semua dibebaskan.”

PENUTUP

Peristiwa ini merupakan pembukaan lembaran baru sejarah Islam yang bertujuan meninggi dan memuliakan Islam. Di samping itu, ia mengatasi segala ajaran yang bernama agama atau falsafah, teori, ideologi yang dinamakan.

                                Pembukaan Kota Mekah telah menonjolkan Rasulullah S.A.W. ke atas dan ke hadapan dengan memimpin ke jalan yang benar dan mulia. Pembebasan bumi suci dan kiblat dari belenggu jahiliyyah dan syirik merupakan kemenangan besar yang menggembirakan penduduk bumi dan langit. Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa seorang yang bertaraf ahli Badar, mereka tidak maksum walaupun iman berada di dalam hati dengan pengakuan Allah dan Rasul.

                Seperti Hatib, dia tidak munafik tetapi kelemahan sebagai manusia telah berlaku pada dirinya, sehingga berlaku keterlanjuran akibat runtunan perasaan terlalu kasihkan keluarga mengatasi keselamatan Islam tercinta. Akhlak mulia baginda inilah perlu diteladani dalam tidak terburu-buru memberi hukuman dan mudah memberi kemaafan.

                Allah S.W.T. memilih peristiwa bersejarah ini supaya berlaku di bulan Ramadhan Al-Mubarak, iaitu bulan diturunkan Al-Quran dan bulan bermulanya wahyu pertama agar kita dapat mempelajari ibrah di sebaliknya.



Rujukan :
Kitab Fiqh dari Sirah Nabawiyah.



Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963