JANGAN BERIBADAH KERANA RAMADHAN






Ramadhan membawa maksud panas yang sangat terik. Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut di tanah Arab kebiasaanya cuaca adalah panas, terik dan kering. Maka makna panas tersebut  diharapkan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa dan yang menghidupkan ibadah di sepanjang bulan Ramadhan. Umat Islam mengambil kesempatan ini dengan melakukan ibadah berlipat kali ganda. Persoalannya di sini, benarkah ungkapan, "Jangan beribadah kerana Ramadhan kerana Ramadhan akan pergi, tetapi beribadahlah kerana Allah." Adakah salah jika kita beribadah lebih banyak di bulan Ramadhan berbanding di bulan lain?

Menjawab persoalan di atas, ibadah pada bulan Ramadhan adalah digalakkan untuk kita memperbanyakkannya. Nasihat yang dinyatakan di atas tidaklah bercanggah. Disebabkan itulah, para salafus soleh berkata:
كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا
Maksudnya“Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadhan.”
Sesungguhnya beribadat pada bulan Ramadhan dengan menggandakannya adalah amalan Rasulullah S.A.W. Ini lebih-lebih lagi pada sepuluh akhir Ramadhan.
Benarlah sepertimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya“Nabi S.A.W. apabila masuknya hari sepuluh terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” Riwayat Al-Bukhari : 2024
Dalam riwayat yang lain menyebut :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَجْتَهِدُ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِى غَيْرِهِ
Maksudnya“Rasulullah S.A.W. bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir Ramadhan melebihi kesungguhan Baginda pada waktu yang lain.” Riwayat Muslim : 2845
Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah S.A.W. menggandakan acara ibadatnya pada sepuluh akhir Ramadhan berbanding dengan waktu yang lain.
Sebenarnya momentum kesungguhan ibadat pada bulan Ramadhan itu hendaklah dilangsungkan dan diheret kepada bulan yang lain agar semangat kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah sentiasa berlangsungan. Oleh itu, selepas selesai sahaja Ramadhan, adanya kefarduan zakat fitrah dan bermulanya musim haji. Ini menunjukkan dua rukun Islam sedang menanti umat Islam mengisyaratkan bahawa acara ibadat hendaklah berlangsungan sepertimana yang berlaku pada bulan Ramadhan.
Marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan menggandakan acara ibadat semampu mungkin agar Ramadhan tidak berlalu pergi begitu sahaja, akan tetapi diikuti dengan semaksima mungkin pahala dengan izin Allah SWT. Semoga pada akhirnya ia dapat melahirkan serta menatijahkan takwa dalam diri kita. Benarlah firman Allah S.W.T:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 183)
Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan orang-orang yang bertakwa. Amin.


Rujukan : http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3388-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-118-benarkah-tidak-boleh-beribadah-kerana-ramadhan

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963