SYA'BAN : PERINTIS MENUJU RAMADHAN








Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah S.A.W. memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan kesungguhan kita dalam beramal. 

MALAM NISFU SYA'BAN
Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban, maka sudah tentu tarikh 15 Sya’ban atau lebih dikenali sebagai Nisfu Sya’ban akan ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam. Ini kerana pada malam Nisfu Sya’ban dianggap sebagai satu malam yang memiliki kemuliaan. Oleh kerana keutamaan malam Nisfu Sya'ban memiliki dasar yang sangat kuat, umat Islam sejak generasi salaf banyak yang menghidupkannya dengan aneka ragam ibadah seperti solat, doa dan lain-lain.

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN
Di sini, dikemukakan beberapa pandangan ulama mengenai malam Nisfu Sya'ban : 
Pertama : Al-Imam As-Syafie berkata dalam Kitab Al-Umm sebagai berikut : 
بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ
Maksudnya: "Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya 'Idul Adha, malam hari raya 'Idul Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Sya'ban." Rujuk Al-Umm (1/231)

Kedua : Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah, dalam fatwanya menyebut berkenaan solat malam Nisfu Sya'ban, lantas beliau berkata :
إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ : وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ هَذَا
Maksudnya : Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jemaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadis dan athar tentang keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya oleh kaum salaf dan ia mempunya hujah, oleh kerana itu hal seperti ini tidak boleh diingkari. Rujuk Majmu' Fatawa Ibni Taimiyah (3/131-132)

Ketiga : Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif  menyatakan :
وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً : لَيْسَ ذَلِكَ بِبِدْعَةٍ
Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan solat di dalam masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh Al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai solat sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di masjid-masjid secara berjemaah: “Hal tersebut tidak termasuk bid’ah." Rujuk Lathaif Al-Ma'arif, 263

Antara matan hadis mengenai kelebihan malam Nisfu Sya'ban :
  • Daripada Abu Musa Al-Asy’ari R.A., bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T. melihat pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (Riwayat Ibn Majah, 1380) Imam Al-Zahabi mengatakan hadis ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. Lihat: Talkhis Al-‘ilal Al-Mutanihiyah, 184
  • Daripada Aisyah R.A., bahawa Nabi SA..W. bersabda:
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T. turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. (Riwayat Al-Tirmizi, 670) Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. Lihat ‘Umdah Al-Qari, 11:116
  • Daripada Abu Hurairah R.A., bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, Allah S.W.T. mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (Majma’ Al-Zawaid, 8:68) Imam Al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. Lihat Al-Ajwibah Al-Mardhiyyah, 1:325

Antara feqah hadis yang boleh diambil dan difahami daripada hadis-hadis ini:
  • Terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Allah S.W.T. turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadis ini menunjukkan bahawa Allah S.W.T.  turun pada malam Nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi S.A.W. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
  • Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah S.W.T. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam As-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam Nisfu Sya’ban adalah mustajab.
  • Di dalam hadis ini juga menunjukkan keampunan Allah S.W.T. amat luas.
  • Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah S.W.T:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah S.W.T. (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. 
(An-Nisa’:48)
  • Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.
  • Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah S.W.T. akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadis yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik R.A., bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah S.W.T. yang bersaudara”. (Riwayat Al-Bukhari, no. Hadith 5612)
  • Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat.
AMALAN YANG DIGALAKKAN PADA MALAM NISFU SYA'BAN
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya sama ada dengan membaca Al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, ingin dinyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi S.A.W . berkaitan malam Nisfu Sya’ban.

Penutup 
Kesimpulannya, kelebihan malam Nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadis yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah S.W.T. akan turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam Nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah S.W.T . memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.


Rujukan :
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2068-29

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963