KEAJAIBAN DUNIA SEMPENA KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W.
Seorang Nabi dan Rasul akhir zaman telah
diutuskan Allah Ta’ala untuk menyempurnakan agama yang mulia ke seluruh pelusuk
alam. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah (Al-Maaidah,3) bermaksud:
“ Pada
hari ini, aku telah sempurnakan bagimu agamamu, dan telah aku cukupkan kepadamu
nikmatKu dan telah aku redhai agama Islam sebagai agamamu”.
Kedatangannya telah disebutkan di dalam tiga
buah kitab Samawi sebelum kitab Al-Quran. Kedudukannya disisi Allah amatlah
tinggi dan mulia. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada tanggal 9/12 Rabiul awal,
Hari Isnin bersamaan tahun 20/22 April 571 Masihi, tahun Gajah di Makkatul
Mukarramah, 4 tahun pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan (Raja Parsi).
Peristiwa ajaib yang berlaku keatas Nabi s.a.w
disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia
normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi sahaja. Irhas dikategorikan kepada
tiga:
·
Irhas yang
dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
· Alamat-alamat
kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham
dan sebagainya.
·
Kejadian luar
biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi dan Rasul.
KEADAAN SEBELUM DAN SEMASA NABI S.A.W
DILAHIRKAN
Semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan Siti Aminah, beliau
tidak merasa susah sebagaimana yang dialami oleh ibu-ibu yang hamil.
Kehamilan Siti Aminah disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang
kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah
mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu seluruh umat manusia.
Kehamilan Siti Aminah ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya
cahaya daripada wajah Abdullah(suami Aminah) ke wajahnya.
Ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Siti Aminah, Allah
memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu
semua penghuni langit dan bumi.
Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur,
pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat.
Haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.
Tentera bergajah Abrahah datang menyerang kota Mekah, yang dirakamkan
dalam surah Al-Fil. Tentera bergajah ini diketuai raja Abrahah yang menunggang
seekor gajah besar bernama Mahmudi.
Apabila sampainya tentera bergajah ini ke kota Mekah, gajah-gajah itu
berhenti dan berundur dengan izin Allah.
Tiba-tiba, muncul sekumpulan burung Ababil datang membawa batu-batu yang
panas dari neraka menyerang dan menghancurkan tentera bergajah Abrahah
tersebut.
Siti
Aminah mengalami mimpi yang menakjubkan dimana beliau menadah tangan ke langit
dan melihat sendiri para malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih
yang terapung di angkasa. Kemudian para malaikat berdiri di hadapannya dan
berkata "Khabar gembira untuk kamu, wahai ibu kepada seorang nabi, putera
kamu ini penolong dan pembebas manusia, namakan dia Ahmad.''
Semasa baginda s.a.w lahir,keadaan sekeliling bergemerlapan, cahaya nur
keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana
Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehinggakan
dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.
Baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke
langit seperti seorang yang sedang berdoa.
Awan
turun menyelimuti Siti Aminah sehingga beliau mendengar suara seruan "Pimpinlah
dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu, dialah yang akan
menghapuskan segala perkara syirik''.
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah
riwayat menyatakan, nabi s.a.w lahir dalam keadaan memandang ke arah langit
sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya
daripada semua makhluk.
Malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami
kerosakan dan kemusnahan.
Riwayat daripada Abdul Mutalib, "Ketika aku sedang berada di
Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku
mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, "Telah lahir nabi pilihan
yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini
dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''
Satu
goncangan berlaku di Mahligai Kisra (Parsi) dan menyebabkan mahligai tersebut
retak, manakala empat belas tiang serinya (dewannya) runtuh.
Biara Majusi (tempat penyembahan tuhan api) di Parsi yang tidak pernah
padam seribu tahun telah padam dengan sendirinya.
Api
tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan.
Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
Tasik Sava/Sawah dan gereja-gereja yang dianggap suci tenggelam ke dalam
tanah.
Tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan
dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
Pintu langit tertutup dan raja syaitan (azazil) menjadi resah takut.
KEADAAN SELEPAS KELAHIRAN NABI S.A.W
Ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah,
ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau. Begitu juga
binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak.
Nabi
tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas
kepala melindungi baginda daripada panas matahari.
Ketika berusia 4 tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara
susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril,
Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan
darah itu dengan 7 mata air syurga dan air salji.
Ada
yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan
air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. Hal ini jelas diterangkan
dalam surah Insyirah ayat 1 yang bermaksud: Bukankah Kami telah melapangkan
dadamu (wahai Muhammad)?
Ketika berusia 12 tahun,Abu Talib membawa Nabi s.a.w berniaga ke Syam,
seorang paderi( samawi) bernama Jarjis dikenali dengan Buhaira datang bertemu
dengan Abu Talib. Selepas itu ia menoleh ke arah baginda dan memegang tangan
baginda dan berkata “Inilah penghulu dunia, inilah orang yang diutuskan Allah
sebagai rahmat sekalian alam”. Buhaira berkata sifat-sifat baginda terdapat
dalam kitab-kitab kami, seterusnya meminta supaya baginda terus pulang ke
Mekah, ditakuti tindakan jahat puak yahudi.
Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana
baginda adalah khatamun nubuwwah(penutup segala nabi).
Perkara -perkara ajaib ini telah membuktikan
kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti
kerasulannya. Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam
kitab-kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang
terakhir.
Sempena Maulidur Rasul yang tiba ini, maka
sama-samalah kita memperbanyakkan selawat dan membesarkan Nabi Muhammad SAW.
Semoga selawat kita ke atasnya akan diterima oleh ALLAH SWT sebagai amalan
soleh. Amin.
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahuanhu
berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi S.a.w., maka sesungguhnya ia akan
menjadi temanku di dalam syurga.”
Rujukan :-
Kitab Rahikhul Makhtum, oleh Sofiy Rahman
Al-Mubarakfuri.
Kitab Fiqhul Sirah Annabawiyyah, oleh Saad
Ramadhan Al-Buti.
Hikayat Abu Hanifah.Disediakan Oleh : Lajnah Dakwah BKPPPM 17/18
Comments