Ramadhan Yang Dirindui


 لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

   الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام وعلى أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، قالوا سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم، رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي. أما بعد 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Marhaban berasal dari perkataan ‘rahb’ yang bererti luas atau lapang. Ia menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan diterima dengan lapang dada serta penuh kegembiraan. Marhaban Ya Ramadhan (selamat datang Ramadhan), mengandungi erti bahawa kita menyambut Ramadhan dengan lapang dada, penuh kegembiraan tanpa ada apa-apa keluhan di dalam hati kita.

Kurang daripada dua minggu lagi, Ramadan bakal bertandang dengan pelbagai peluang untuk meraih kebaikan, keampunan dan keberkatan. Sering kita berazam, Ramadan kali ini kita akan melakukan yang terbaik, seolah- olah inilah Ramadan yang terakhir untuk kita. Namun sering kali jua azam yang membara menjadi kendur. Hati menjadi korban nafsu dalam pertarungan hebat dalam diri. Mata, telinga, mulut masih melakukan dosa. Akhirnya puasa sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga. Kesan berpuasa pada jiwa dan pancaindera masih ditakuk lama.

Marhaban Ya Ramadhan kita ucapkan untuk bulan yang suci ini kerana kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh bagi meneruskan perjalanan menuju Allah swt.

Perjalanan menuju Allah swt itu dilukiskan oleh para ulama’ salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Ada gunung yang perlu didaki dan itulah nafsu. Di gunung itu ada lereng yang curam, hutan yang tebal, bahkan banyak perompak yang mengancam serta iblis yang merayu agar perjalanan tidak dapat diteruskan. Bertambah tinggi gunung yang didaki, bertambah hebat pula ancaman dan rayuan serta semakin curam dan ganas pula perjalanan itu.

Namun, apabila tekad tetap membaja, tidak berapa lama lagi akan kelihatan :     
1.  Cahaya terang benderang.     
2.  Petunjuk-petunjuk yang jelas.     
3.  Tempat-tempat yang indah untuk berteduh.     
4.  Telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga.

Ramadan juga mendidik kita menjadi insan yang ikhlas dan sentiasa medekatkan diri kepada Allah S.W.T. Ikhlas kepada Allah dalam setiap amalan adalah sifat yang paling terpuji dan bekalan yang mesti diperolehi oleh setiap mukmin, terutama yang berada di atas jalan dakwah . Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Kaya daripada sebarang perkongsian dan Dia tidak menerima melainkan amalan-amalan yang ikhlas hanya kerana-Nya.

Mudah-mudahan Ramadan yang bakal mengunjungi kita, tidak kita lepaskan peluang begitu saja untuk bermesra dengannya. Riak gembira dan sinar mata ceria pasti terlihat pada diri orang yang beriman, yang menanti kedatangannya umpama menunggu ketibaan seorang tetamu yang istimewa. Tetamu yang berkunjung sebulan dalam setahun. Ya Allah, panjangkanlah usia kami untuk bertemu Ramadhan dan mengikuti jejak Rasul-Mu dalam beramal di bulan Ramadhan.

MUHAMMAD FAIRUS BIN MAT YASIN
(LAJNAH PENERANGAN & PENERBITAN  BKPPPM SESI 2016/2017 )

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"

"Rabbani Thaqafi Khairi"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL