TIDAK MENGENAL ERTI KALAH


Jangan Mengalah. Ya. Itulah pegangan saya sepanjang permusafiran menuntut ilmu. Banyak sungguh suka duka dan ujian sepanjang saya di bumi Kinanah ini. Kadang-kadang macam tak percaya bahawa Kalau Kita Nak, Kita Tetap Nak.

Akhir tahun 1999, saya tiba di Mesir. Semangat berkobar-kobar untuk menuntut ilmu hampir padam sebaik sahaja saya tiba di Lapangan Terbang Kaherah petang itu. Gelagat orang Arab Mesir yang ganas ditambah dengan suasana berdebu dan berhabuk di padang pasir Hayyu Asyir (sekarang ini dah jadi pasar kereta @ Suk Sayyarat) cukup menyesakkan saya yang berjiwa zapin ini.

Bulan 11 1999 hingga tahun 2003 adalah masa perkelanaan saya ke bumi Tanta. Paksa diri ke kuliah, membaca buku sekitar 100 muka surat sehari, dipaksa oleh Naqib tercinta Us Zul Janggut untuk sentiasa hasilkan kertas kerja ilmiah, berulang-alik ke Markaz Bait Izzah (Markaz pentadbiran Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta) dengan basikal dalam mengikuti agenda tarbiah dan thaqafah, menghadiri mesyuarat yang kadang-kadang sampai ke subuh adalah antara kehidupan saya di sana. Wah. Manisnya kenangan.

Ya. Empat tahun di Tanta, saya boleh merasa puas hati dengan sikap saya. Syukur pada Allah yang memberikan kekuatan fizikal dan mental pada saya.

2000 - berjaya mendapat Jayyid
2001 - berjaya mendapat Jayyid Jiddan
2002 - berjaya mendapat Jayyid Jiddan
2003 - tamat B.A dan berjaya mendapat Jayyid Jiddan

Selesai mendapat B.A dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar cawangan Tanta, saya terus menyambung ke Kaherah. Ya. Cita-cita untuk menggondol M.A dan PhD al-Azhar al-Syarif yang saya semat semenjak saya di tahun dua di Tanta mesti saya teruskan. Walaupun kawan-kawan seusrah saya di Tanta dahulu seorang demi seorang meninggalkan bekas kaki mereka di Mesir lalu meninggalkan bumi ilmu ini seusai tamat B.A, saya pasrah dan cekal untuk menghirup kepahitan sistem pembelajaran M.A Universiti al-Azhar bersama beberapa orang teman yang lain.

Master Al-Azhar. Bunyi yang cukup menggerunkan. Umpama satu hilaian hantu langsuir yang menyeramkan atma sang pelajar. Mananya tidak, satu paper kita gagal, semua paper akan turut gagal. 

Lantaklah. Susah ker, senang ker, saya mesti cuba.

M.A al-Azhar, markah lulus (Maqbul) adalah 60-69. Jayyid 70-79. Jayyid Jiddan 80-89. Imtiyas 90-100. 


2004 - Tahun Satu M.A al-Azhar Pengkhususan Usul Fiqh

Saya berjaya di Daur Thani untuk naik ke tahun dua dengan keputusan Maqbul. Sedih juga dapat Maqbul. Kita inginkan keputusan yang cemerlang bukannya yang cukup-cukup makan.

2005 - Tahun Dua M.A al-Azhar Pengkhususan Usul Fiqh

Tahun ini tahun kepedihan. Setelah saya cuba berhempas pulas dalam peperiksaan, saya akhirnya GAGAL. Inilah kegagalan pertama saya sepanjang hidup saya di dunia akademik.

2006 - Tahun Dua M.A al-Azhar Pengkhususan Usul Fiqh (Mengulang)

Saya menduduki peperiksaan di Daur Awal. Keputusannya adalah mengecewakan. Gagal. Susahnya
nak lulus. Aduh. Tinggal satu lagi peluang di M.A al-Azhar. Saya mesti lulus pada Daur Thani. Kalau tidak. Saya akan gagal terus dalam M.A (Mafsul).

Daur Thani: setelah usaha, akhirnya keputusan yang menyentak jiwa saya. ANDA GAGAL. ANDA SUDAH TAMAT DALAM PERCUBAAN MERAIH M.A UNIVERSITI AL-AZHAR. ANDA MAFSUL.

Tuhan. Besarnya ujian. Tak pernah dalam hidup saya, saya merasai kegagalan seteruk ini. Habislah usaha saya semenjak 2004 lagi. Keluarga mula memberikan pandangan. "Pulanglah. Sambung M.A di Malaysia". 

Ada juga terdengar sindiran orang-orang itu. "Itulah. Terlibat sangat dengan persatuan. Akhirnya gagal".

Tidak. Saya bukannya orang yang mudah menyerah kalah. Memperjuangkan nilai ilmu agar saya boleh mengisi keperluan Parti Islam SeMalaysia dalam mengisi kerajaan Islam akan datang dengan neraca Syarak mesti terus dipertahankan. Mana boleh menyerah kalah. Siapa akan jadi tenaga pakar dalam bidang Syarak yang sangat diperlukan oleh kerajaan yang mahu bertunjangkan Syarak?

Tak boleh. Saya mesti terus. Tak boleh putus asa. MESTI CUBA LAGI AMBIL M.A AL-AZHAR SAMPAI BERJAYA. MESTI.

2007 - Tahun Kosong

Saya mengambil keputusan untuk mengambil semula M.A al-Azhar yang semestinya terpaksa mula dari tahun satu M.A. Oleh kerana saya telahpun gagal sehingga mafsul sebelum ini, saya tidak dibenarkan untuk terus mengambil tahun satu al-Azhar melainkan setelah berlalu tempoh setahun. Wah. Ujian lagi. 2007 adalah tahun saya tidak berstatus pelajar universiti. Kosong. Setahun saya tak ada Iqamah (visa).

2008 - Saya pelajar Tahun Satu

Mengulang kembali M.A al-Azhar dalam pengkhususan Usul Fiqh. Saya kembali menjadi pelajar tahun satu M.A al-Azhar. Daur Awal saya gagal lagi. Ya Rabb. Peritnya ujian.

Daur Thani akhirnya memberikan senyuman kepada saya. Saya lulus dengan keputusan Jayyid Jiddan. Alhamdulillah. Asykuruka Ya Rabb. Hihi. Terpaksa tinggalkan kenduri kahwin peringkat saya apabila terpaksa bergegas pulang ke Mesir untuk mengambil ujian Syafawi. Kesian pada isteri. Jadi pengantin seorang diri. 

2009 - Tahun Air Mata Kegembiraan

Tahun Dua M.A Al-Azhar Pengkhususan Usul Fiqh. Nekad. Saya mahu berjaya. Saya tidak mahu jadi seperti mana tahun 2006 dulu. Pulun sungguh. Akhirnya Allah terima rintihan saya. Saya lulus dengan keputusan Jayyid. Sedih juga sebab tak dapat Jayyid Jiddan. Apapun, syukur pada Allah.

Akhirnya saya sudah masuk ke dunia penulisan. Dunia Tesis M.A. Selamat tinggal peperiksaan selama-lamanya. 

Kalau dah selesai munaqasyah tesis nanti, saya akan terus sambung PhD pula di al-Azhar al-Syarif.

Wah.. lamanya perjalanan.


....................................


Hari ini saya berani untuk bentak hati orang-orang yang diuji dengan kegagalan. Kita tak boleh putus asa. Sepatutnya sayalah orang yang mesti putus asa. Saya sudah gagal sampai Mafsul.

Tapi kecewa dan putus asa bukan kamus kita. Teruskan cita-cita kalian untuk menggali ilmu. Kita mesti menjadi ulama itu. Ulama yang pakar dalam bidang ilmu.

Memerintah cara sekular cukup senang. Tak perlu merujuk pandangan Syarak, tak perlu membelek ijtihad ulama silam. Senang sebab mereka memerintah dengan meletakkan akal dangkal mereka sebagai pemutus dasar.

Gerakan Islam pula ingin memerintah dengan dasaran Syarak. Maknanya sebelum memutuskan sebarang keputusan, Syarak perlu ditanya dulu. Hakikatnya Allah dan Rasullah yang akan memutuskan dasar kerajaan yang diidam-idamkan oleh Gerakan Islam.

Hari ini mungkin anda boleh berceramah. Goreng sana goreng sini. Hari ini mungkin anda boleh berdemonstrasi. Anda juga boleh menampal poster dan membawa usrah.

Tapi bila daulah itu sudah menjadi realiti, adakah anda seorang ulama pakar yang sampai ke tahad IJTIHAD? Adakah anda ketika itu seorang yang faqih dalam bidang fiqh Islami sehingga anda mampu menjelmakan ijtihad ulama silam dan semasa dalam rupa baru bagi sebuah negara Islam di Malaysia?

Atau anda ketika itu masih tetap ingin goreng sana dan goreng sini dalam masalah hukum?

Saya tidak mengharap orang lain. Saya mesti jadi pengisi itu. 

Anda lemah semangat? Tak mahu serius dalam menuntut ilmu? Masih lagi tega untuk tidur di bilik anda lalu anda tinggalkan mutiara ilmu yang keluar dari mulut mulia para ulama di Ruaq Atrak, Ruaq Magharibah, Zollah Fatimiyyah dan lokasi-lokasi ilmu yang lain? Masih lagi punya jiwa pemalas? Masih berseronok dengan hiburan anda sehingga Masjid al-Azhar akan anda lawati setahun lagi?

Maaf. Saya meluat dengan anda. Anda tidak akan menjadi pengisi kemenangan itu. Anda memang mengecewakan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL