Pendaftaran Pemilih Bagi Pemilih Warganegara Yang Berada Di Luar Negara.
Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)
2002, memperuntukkan kepada warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke
atas yang berada di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi tidak
hadir (PTH) .
MUAT TURUN BORANG A dan LAMPIRAN MAKLUMAT TAMBAHAN
Ia tertakluk kepada jika mereka adalah daripada kalangan berikut:
(a) penjawat awam yang sedang menjalankan tugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak;
(b) pasangan kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak;
(c) pelajar yang sedang belajar sepenuh masa di mana-mana universiti,
maktab latihan atau mana-mana institusi pendidikan tinggi di luar
sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak; atau
(d) pasangan kepada yang sedang belajar sepenuh masa di mana-mana
universiti, maktab latihan atau mana-mana institusi pendidikan tinggi di
luar sempadan Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak.
Walau bagaimanapun bagi mana-mana warganegara Malaysia yang berada di
luar negara tetapi tidak layak untuk mendaftar sebagai PTH masih boleh
mendaftar sebagai pengundi biasa. Bagi tujuan membantu SPR dalam urusan
pendaftaran pemilih di luar negara ini, SPR telah melantik Penolong
Pendaftar Pemilih di semua pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
Semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara yang hendak
mendaftar sebagai PTH atau pengundi biasa boleh mengemukakan permohonan
pendaftaran melalui Penolong Pendaftar Pemilih yang telah dilantik.Untuk
memberi kemudahan pendaftaran kepada semua warganegara Malaysia di luar
negara yang termasuk para pelajar yang tinggal jauh daripada pejabat
perwakilan Malaysia untuk mendaftar sebagai pemilih, SPR menyediakan
kemudahan untuk memuat turun Borang A (Borang Pendaftaran Pemilih) dan
Lampiran Maklumat Tambahan (alamat dan status di luar negara) daripada
laman web SPR.
Borang A dan Lampiran Maklumat ini hendaklah diisi dan disertakan
dengan salinan MyKad atau salinan pasport antarabangsa dan salinan kad
pelajar dan dihantar kepada Penolong Pendaftar Pemilih ini melalui pos,
faks atau e-mel kepada Penolong Pendaftar Pemilih di pejabat perwakilan
yang berkenaan.
Penolong Pendaftar Pemilih yang telah menerima Borang A serta dokumen
yang disertakan akan menghantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
-Setiausaha SPR
Sumber : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Comments