10 Muharram Implikasi Agung Kepada Umat Islam

Peristiwa yang berlaku pada 10 Muharam adalah merupakan sejarah agung buat umat Islam agar menghayati nilai sebenarnya perjuangan umat terdahulu dalam mempertaruhkan segala milik kepunyaan sementara demi menjunjung tinggi Islam seantero dunia.

Pertempuran yang dinamakan dengan Karbala berlaku pada 10 Muharram, 61 H (10 Oktober, 680) di Karbala, yang kini dikenali dengan nama Iraq.
Pertempuran ini berlaku antara penyokong Husain bin Ali dengan tentera Khalifah Yazid bin Muawiyah. Ketika itu ramai ahli keluarga Nabi Muhammad terbunuh kerana menjadi penyokong dan pengikut setia Husain bin Ali.
Lokasi pertempuran ialah di sebuah gurun berhampiran Sungai Furat.

Cuba kita hayati sebentar bagaimana keadaan ketika itu tatkala hampir berakhir waktu Asar hanya berbaki 3 orang masih bertahan dalam pertarungan tersebut.

Namun tatkala sinar matahari sudah semakin pudar melabuhkan pancarannya Saidina Husain R.A terus bertempur keseorangan dengan berhadapan tidak kurang daripada 3,000 orang tentera.

Biarpun pedang di tangan berlumuran darah, berpakaian lusuh dan berdebu dengan wajah gelap dek keringat terus dihempaskan namun segala kekuatan terus digunakan untuk menyerang musuh ketika itu teriakkan  membesarkan nama Allah SWT meruntun hati bagi siapa yang mendengarnya.

Bumi Karbala menjadi saksi pengorbanan seorang keturunan Nabi Muhammad S.A.W yang mulia berjuang apabila tanah menerima hujan anak-anak panah yang disasarkan kepada tubuh Saidina Husain R.A .

Akhirnya syahidlah seorang pejuang agama yang tidak pernah jemu mempertahankan Islam sehinggalah ke titisan darah terakhir.

Pada 10 Muharram juga merupakan hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT.

Antara peritiwa yang berlaku dalam 10 Muharram ialah :

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam a.s. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang ingkar pada Nabi Nuh a.s.

4. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim a.s diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim a.s. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim a.s dari angkara kekejaman Namrud.
 
5. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa a.s dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa a.s daripada kekejaman kaum Bani Israil.

6. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa a.s pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa a.s dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s.

7. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.

8. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus a.s dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus a.s dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

9. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.
Implikasi 10 Muharram telah membuka paradigma umat Islam agar memahami keadaan sebenar dalam mempertahankan Islam dan perjuangan generasi terdahulu adalah merupakan ikon untuk diteladani sehingga mampu membentuk generasi yang berani mempertahankan agama.

Sumber : PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL