ZULKAEDAH BULAN AMAN

Mengapa dinamakan “Zulkaedah”? Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa maksud bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang selain pada bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini.

Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan peperangan pada bulan-bulan tersebut. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

Daripada Abu Bakrah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

Walaupun pada bulan ini tiada ibadah yang dikhususkan untuk kita amalkan seperti bulan-bulan Islam yang lain, namun bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Sebahagian besar Ulama’ berpendapat bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Pada bulan yang agung ini juga berlaku beberapa peristiwa menarik yang telah ditempuh oleh tentera Islam. Menyingkap kembali beberapa peristiwa yang berlaku pada bulan ini semoga ianya menjadi peringatan, pengajaran supaya umat kita mencapai kemajuan, kemuliaan dan ketuanan seperti sebelumnya.

Peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan Zulkaedah ialah Peperangan Bani Quraizah yang meletus sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah. Rasulullah s.a.w yang baru pulang daripada Peperangan Ahzab didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyeru supaya Nabi S.A.W mesti segera memerangi yahudi Bani Quraizah. Lalu baginda bersama dengan 3 ribu orang tentera terus menuju ke tempat tersebut di mana yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam sehingga musuh akhirnya menyerah diri.

Akibat kejahatan yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu maka kaum lelaki dijatuhkan hukuman bunuh manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. . Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam. Pertolongan Allah datang bila umat patuh dan taat serta cintakan Allah dan rasulNya
Pada penghujung tahun ke 6 Hijrah, berlaku Perjanjian Hudaibiyah. Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

Kemudian, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

Walaupun zahirnya kita melihat Perjanjian Hudaibiah ini tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ia menjadi pemangkin sehingga terjadinya Pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu akibat pelanggaran perjanjian oleh kuffar. Ini jauh berbeza dengan perjanjian yang ditandatangani oleh segelintir pemimpin umat Islam dengan kuffar hari ini yang dipermainkan oleh musuh sesuka hati sebagaimana yang berlaku di bumi Palestin akibat dari hilangnya rasa gerun musuh kepada umat Islam.
Firman Allah bermaksud:“Sesungguhnya kami menangkan engkau dengan satu kemenangan yang nyata “(al-Fath: 1)
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau adalah Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Namun, pada hari ini di manakah sensitiviti kita sebagai umat Islam mempertahankan Islam? Kebanyakkan umat Islam kini terkena penyakit Al-Wahnu iaitu terlalu cintakan dunia dan terlalu takut kepada mati. Lebih malang lagi apabila umat islam sendiri dalam sedar atau tidak memepersendakan agama Islam senada dengan kuffar. Ketika seluruh umat Islam yang cintakan Islam dan nabi Muhammad s.a.w bangkit mengutuk terhadap pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya. Baru-baru ini, Berita Harian mempersendakan hukum Hudud dengan karikatur yang secara jelas memepersendakan hukum Allah S.W.T.

Pemimpin sepatutnya takut kepada Allah dan azabNya terutama bila berlakunya tsunami terbaru dan letupan Gunung Merapi di Indonesia. Pemimpin yang sebenar ialah orang membina akhlak umat bukan merosakkannya. Bila nafsu serakah dijadikan tuhan dan wahyu Allah diketepikan maka tunggulah kehancuran dan kehinaan di dunia dan akhirat. Ingatlah suatu peringatan daripada nabi s.a.w :

أَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ لآدَمَ: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكَ أَنْ تُبْعَثَ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ بَعْثًا إِلَى النَّارِ ، فَيَقُوْلُ: يَا رَبِّ مِنْ كَمْ؟ فَيَقُوْلُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُمِائَةٌ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُوْنَ, وَ وَاحِدٌ فيِ الجَنَّةِ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah swt berfirman kepada nabi Adam a.s : Sesungguhnya Allah akan membangkitkan zuriat kamu dengan sekumpulan akan dimasukkan ke neraka, maka berkata nabi Adam : Wahai Tuhanku, berapa ramai jumlah mereka. Firman Allah : dari setiap seribu orang, seramai 999 akan ke neraka dan hanya seorang ke syurga. ( Riwayat Ahmad & At-Tabrani dengan sanad yang baik)

Sumber : Unit Biah Solehah PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963