Mujahidah Besi (Ketokohan ZAINAB AL-GHAZALI)

Muslimah umpama permata yang begitu berharga, menjadi sanjungan para pejuang. Keutuhannya tersimpan di balik tabir yang tenang. Keayuannya terpancar dek sinaran iman. Gerak langkahnya mampan di iring zikir di ingatan. Jasad dan hayatnya diserahkan untuk sebuah perjuangan. Itulah muslimah harapan yang bakal membela agama Islam yang tercinta.

Konteks muslimah harapan kini diterjemahkan kepada mahasiswi Islam sebagai pelapis yang akan meneruskan perjuangan Islam itu sendiri.

Seringkali mahasiswi Islam dikritik, ditohmah dan
dikatakan mandom. Sedangkan mereka sedang mencuba sedaya upaya mereka mengatasi hujuman tersebut dengan mencontohi perjuangan tokoh-tokoh muslimah khususnya di era kontemporari ini.

Antara tokoh muslimah kontemporari yang boleh dicontohi dan dihayati kisah hidup perjuangannya serta dijadikan tauladan ialah seorang wanita Mesir yang bergerak aktif di dalam harakah Islamiah di Mesir iaitu Zainab Al-Ghazali.

SIAPAKAH ZAINAB AL-GHAZALI??

Zainab Al-Ghazali Al-Zubaili nama penuhnya. Beliau dilahirkan pada tahun 1917 dan meninggal dunia pada bulan Ogos 2005. Mula ditahan dalam tahun 1965, ketika usianya 48 tahun.

Akibat dari penyeksaan yang sangat dahsyat yang ditangungnya selama dalam tahanan, mereka menyangka umurnya lebih 90 tahun, sedangkan umurnya ketika itu 48 tahun. Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan yang dilakukan oleh rejim Jamal Abdel Nasser, Presiden Mesir ketika itu.

Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan “Jamaah Saidatina Muslimah”. Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwanul Muslimin yang mempunyai cara dan matlamat yang sama dengan Ikhwanul Muslimin.

Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan
mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam, agar mereka memahami Islam, agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh.

Dengan itu, mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Kemasukan sosial budaya barat terus melanda budaya umat Islam. Pakaian, tingkah laku dan pemikiran mereka sedang hanyut dalam budaya barat yang menuju kearah kehancuran. Inilah dia belenggu sekularisme.

Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisme ini. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu. Oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar kepada wanita Islam. Untuk melahirkan rijal, tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam.

Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyyah Madrasah Rasulullah S.A.W.

Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali
ialah dua saudara Syed Qutb iaitu Aminah Qutb dan Hamidah Qutb, Halidah Hasan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati, Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Sebahagian dari mereka beliau sifatkan sebagai anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun.

Ummu Ahmad adalah diantara golongan yang beliau (Zainab Al-Ghazali) sifatkan sebagai ibu, telah di tangkap oleh rejim Jamal Abdul Nasser ketika dia berusia 85 tahun. Ketika Zainab mendengar berita itu, beliau mengatakan bahawa ini adalah petanda baik bagi Islam.

Musuh-musuh Islam telah gentar
kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara lelaki dan wanita, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.

Setelah Mursyidul 'Am Ikhwanul Muslimin, Hasan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai'ah dengan Hasan Al-Hudaibi, Mursyidul 'Am pengganti Hasan Al-Banna. Beliau terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwanul Muslimin. Beliau mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.

KISAH PENAHANAN DAN PENYEKSAAN KE ATAS ZAINAB AL-GHAZALI

Kisah penahanan Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum beliau ditahan, Jamal Abdul Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah.

Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian dia ditawarkan pula menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: "Dalam perjuangan aku tidak bercadang untuk menjadi menteri, aku hanya mahu berdakwah" .

Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali. Beliau terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu beliau telah dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran.

Setelah sampai ke penjara dia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwanul Muslimin.

Mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, dia diheret ke bilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar yang di umpamakan seperti syaitan hitam.

Zainab Al-Ghazali berdoa "Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai".

Zainab Al-Ghazali dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa eletrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing dan dilepaskan kepada beliau. Pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Beliau hanya mampu berdoa dan anjing-anjing itu terus menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuhnya.

Selama tiga jam beliau ditinggalkan bersama anjing-anjing tersebut, beliau dibawa keluar. Beliau yang menyangka seluruh tubuhnya berlumuran darah, sangat terkejut kerana tiada apa-apa kesan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Sesungguhnya Allah S.W.T bersama orang-orang yang
menegakkan agamaNya. Beliau merasai nikmat kurniaan serta kemurahan Allah kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya. Sehinggakan Zainab Al-Ghazali menceritakan bahawa ‘syaitan’ yang memegang tangannya bertanya kepelikan mengenai anjing-anjing yang tidak merobek daging dan tubuh badan beliau.

Beliau menyatakan, satu ketika dia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (laknatullah 'alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki. Pernah ketika Mesir mengalami musim sejuk, Zainab Al-Ghazali telah di rendam di dalam air sejuk dan dilepaskan pula kepadanya udara (wap) sejuk.

Begitulah sorotan kisah sejarah hidup seorang tokoh muslimah yang perlu kita kagumi. Sungguh kisah perjuangan ini memberi satu inspirasi kepada kita. Betapa jika difikir adakah kita tabah dan kuat menghadapi ujian sebegini?

Ya Allah,begitu hebat harga yang perlu dibayar untuk meraih syurgaMu. Jika wanita yang sudah dimamah usia ini mampu membangun semangatnya, bagaimana pula dengan kita wahai anak muda?
Di mana langkah juang kita untuk melihat Islam kembali di tempatnya.

Perlu di ingat bahawa mahasiswi Islam pada masa kini merupakan elemen penting dalam pola masyarakat dunia. Di dalam masyarakat ia merupakan kelompok yang dominan. Keupayaan dan fitrah semulajadi mereka jika dimanfaatkan semaksima mungkin mampu mengegarkan dunia moden.

Oleh itu, peranan dan tanggungjawab mahasiswi Islam ( generasi intelektual ) sebagai agen perubah masyarakat di dalam sesebuah organisasi adalah sama pentingnya sebagaimana yang dilaksanakan oleh golongan cendekiawan Islam.

Selayaknya mahasiswi berada selari dalam perjuangan Islam, dalam menegakkan kebenaran dan menjunamkan kebatilan! "Qulil Haqqa Walau Kana Murran" akan bersama-sama kita praktikkan dan sebagai pembakar semangat kita selaku hamba yang menggalas amanah sebagai khalifatullah di muka bumi ini. Wallahu tabaraka wa ta’ala a’lam.

Risalah أيتها الفتيات (Bil : 5)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL