Tazkirah : Perang Ahzab
Tazkirah : Perang Ahzab

Jika kami diserang ,kami membuat parit,
Alangkah baik jika kita juga membuat 
Parit sehingga dapat menghalangi dari 
Melakukan serangan.....
                 Strategi peperangan  khandak yang diutarakan oleh Salman Al-Farisi diterima baik oleh baginda  Nabi SAW. Peristiwa yang menyaksikan jerih payah baginda dan umat islam  dalam memerangi musuh laknatullah. Ditambah dengan kelaparan dan  kedinginan yang menuntut kesabaran yang tinggi. Sementelahan kerendahan  hati baginda turun sama menggali parit membakar semangat para sahabat  untuk terus berjuang meskipun dengan perut diikat dengan batu kerana  kelaparan yang teramat. Ternyata strategi yang digunakan tidak  terjangkau dek akal pihak musuh sehingga mereka langsung tidak dapat  menembusi pertahanan yang telah dibuat. Hanya segelintir yang mencuba  dan berjaya melepasi pertahanan melalui parit yang sempit antaranya Amr  bin ‘Abdi Wadd dan Ikrimah, namun berjaya ditewaskan oleh Saidina Ali.  Natijahnya, mereka mengepung Kota Madinah selama sebulan lamanya.  Peperangan yang memakan masa yang panjang  menyaksikan kekuatan iman dan  keteguhan hati kaum muslimin untuk tetap duduk bersama Rasulullah SAW  disaat sukar dan di ketika  baginda sangat membutuhkan mereka, sedangkan  hakikatnya Nabi SAW boleh sahaja memohonkan kemenangan dengan segera di  pihak  islam, firman Allah dalam kitabnya menyatakan bahawa; “Apakah kamu mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ,”Kami telah beriman,”dan mereka tidak diuji?”.  Maka, yang demikian menunjukkan bahawa ujian yang dianugerahkan bukan  bermaksud menyeksa bahkan ianya tidak lain sebagai bukti kecintaan dan  keimanan kita yang dalam kepadaNYA hanya sahaja jika kita menjalaninya  dengan penuh rasa takut dan meletakkan sepenuh  harapan hanya padaNYA.
             Kelaparan yang ditanggung kaum  muslimin  apatah lagi Rasulullah SAW yang mengikat dua biji batu  diperutnya mengundang rasa sayu di hati sahabat antaranya Jabir yang  menyediakan sedikit makanan buat Nabi SAW dan hanya beberapa orang  sahabat sahaja memandangkan hidangan yang tidak mencukupi untuk  menanggung jumlah kaum muslimin yang  ramai. Namun ternyata Rasulullah  SAW tidak sesekali membiarkan umatnya sedang baginda kekenyangan lantas  seluruh kaum muslimin diajak ke rumah Jabir bagi mengisi perut yang  kelaparan. Rahmat Allah sangat luas, keberkatan yang dilimpahkan  menyebabkan anak kambing yang kecil dan sedikit gandum mencukupi untuk  bilangan kaum muslimin yang ramai pada waktu itu. Justeru kebersamaan  Nabi SAW dalam setiap gerak kerja, bermandi peluh dan berlumuran tanah  bukan sahaja membuktikan kecintaan Nabi SAW kepada umatnya bahkan tidak  lain kerana rasa tanggungjawab baginda terhadap risalah dan seruan yang  dibawanya. Natijahnya, kaum muslimin sanggup berkorban apa sahaja bagi  melengkapkan tuntutan dakwah meskipun nyawa yang menjadi korban.  Malangnya, kini semangat perjuangan dan cintakan Nabi SAW tidak terbias  pada perilaku  dan akhlak remaja pada zaman yang serba canggih kini.  Bahkan, semangat yang ada tidak memungkinkan empayar Islam mampu wujud  sebagaimana dahulu. Tambahan pula, perpecahan dan perbezaan fikrah yang  terjadi kini semakin memburukkan keadaan  sebagaimana yang dikatakan  oleh Saidina Ali, “Kebatilan yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang tidak tersususun.”  Jadi mana mungkin kita mampu menyahut seruan Nabi SAW hanya dengan  semangat yang kian pudar  dan jauhnya kita kini dengan Allah.
          Tekanan  yang dihadapi sepanjang peperangan benar-benar menguji keteguhan iman  mereka, berbagai andaian yang bermain difikiran akan nusrah  Allah yang tidak kunjung tiba. Sebahagiannya mula meragui akan  kekuasaan Allah dan merasa lemah sepertimana kaum Bani Harithah yang  meminta izin dari Nabi untuk pulang ke kota ,manakala kaum Bani Salim  pula merasa semakin lemah ekoran peperangan yang tiada tanda-tanda mahu  berhenti.  Firman Allah dalam kitabnya ”Yaitu  ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu,dan ketika  penglihatanmu terpana dan hatimu menyesak smpai ke tenggorokan oleh  kerana rasa gentar dan takut pada waktu itu,dan kamu berprasangka yang  bukan-bukan terhadap Allah.Disitulah diuji ,orang-orang mukmin dan  digoncangkan hatinya dengan goncangan yang dahsyat .Dan ingatlah ketika  orang –orang munafiq dan orang-orang yang hatinya berpenyakit  berkata,’Yang dijanjikan Allah dan Rasul-NYA kepada kami hanya tipu daya  belaka .”Dan ingatlah ketika segolongan di antara mereka berkata  ,”Wahai penduduk Yasrib (Madinah)!Tidak ada tempat bagimu ,maka  kembalilah kamu ,”Dan sebahagian dari mereka memeinta izin kepada nabi  SAW (untuk kembali pulang)dengan berkata ,”Sesungguhnya rumah-rumah kami  terbuka (tidak ada penjaga).”Padahal rumah-rumah itu tidak terbuka  ,mereka hanyalah hendak lari.”
          Kaum  munafiqun mengambil kesempatan di tengah jerih payah kaum muslimin  dengan melambat-lambatkan pekerjaan dan pulang ke rumah tanpa meminta  izin dari Nabi SAW. Maka yang demikian menunjukkan keimanan kepada Allah  dan Rasulullah tidak pernah wujud di dalam hati mereka, apatah lagi  tiada belas kasihan di hati mereka melihatkan Nabi SAW yang berpenat  lelah mempertahankan bukan sahaja Kota Madinah bahkan syiar Islam agar  terus tertegak. Firman Allah: “Yang  disebut  orang mukmin hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan  Rasul-NYA Muhammad, dan apabila mereka berada bersama-sama dengan dia  (Muhammad) dalam suatu bersama ,mereka tidak meninggalkan (Rasulullah)  sebelum meminta izin kepadanya .Sungguh orang-orang yang meminta izin  kepadamu Muhammad mereka itulah orang-orang yang (benar-benar) beriman  kepada Allah dan Rasul-NYA.”
 Maka  adakah kita tergolong dari mereka yang tidak beriman dengan Allah dan  Rasul dengan sebenar-benarnya ? Mengaku Islam tetapi hati masih  diselaputi kekufuran  dan keraguan dengan kekuasaan Allah pada tiap  perkara. Ketahuilah wahai sahabat sekalian, keyakinan kaum terdahulu  terhadap pertolongan Allah membawa kemenangan Islam keseluruh pelosok  dunia. Namun kini, ternyata perkara pokok terhadap hidup seolah-olah  diambil enteng sedangkan mana mungkin buah yang ranum dapat dihasilkan  sedangkan akarnya tidak cukup kuat mencengkam bumi . Hakikatnya keimanan  kepada Allah, Rasul, kitab, malaikat, Hari Kiamat serta Qada’ dan Qadar  diibaratkan seperti akar yang kuat mencengkam tanah, begitu juga  peranan iman dalam menentukan hala tuju dan cemerlangnya hidup kita  sebagai umat Islam khususnya.
         Justeru, dalam melayari  kehidupan yang penuh ranjau dan berliku, dan disaat ramainya umat  manusia yang semakin tenggelam dalam kealpaan dan kelalaian semata,  ketauhidan yang teguh di hati merupakan paksi dalam menentukan segala  gerak geri agar tidak tersasar dari jalannya. Hal ini dapat dilihat  ketika mana kaum muslimin tidak putus dalam mengharap rahmat Allah  sentiasa memayungi mereka, akhirnya di suatu malam ribut melanda dan  menerbangkan khemah kaum musyrikin hingga mereka mengalah dan pulang ke  Kota Mekah pada keesokan harinya. Keajaiban Allah berlaku apabila ribut  yang melanda hanya tertimpa ke atas kaum musyrikin sahaja sedangkan kaum  muslimin yang berdekatan terselamat dari badai tersebut. Sungguh,  keajaiban Allah hanya akan berlaku bagi sesiapa yang menyakini  bahawa  Allah akan sentiasa membantu mereka yang dekat dengan-NYA. Wahai sahabat  sahabiah sekalian, iktibar dari peristiwa ini kita dapat lihat nusrah Allah  tidak akan datang bergolek melainkan disertai usaha dan tawakal yang  tinggi terhadap Allah .  Dekatnya kita dengan sang pencipta menentukan  wasilah kita dalam menghadapi segala ujian yang menimpa.
                 Sumber:http://ubs-pmram.blogspot.com/2011/09/tazkirah-perang-ahzab.html
Comments