PMRAM Sokong Pendirian BKKIMM


KAHERAH 1 Jan - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyokong pendirian Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang tetap menyatakan kebenaran dan hak kepada beberapa pihak berwajib.

Katanya, isu ini terjadi apabila terdapat pihak yang ingin menubuhkan persatuan mahasiswa yang baru dan mengenepikan BKKIMM yang telah lama berjasa terhadap seluruh mahasiswa-mahasiswi Melaka.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Presiden PMRAM memberitahu bahawa beliau yakin, pendirian BKKIMM itu dibuat kerana kebenaran dalam isu yang menimpa BKAN Melaka ini sebenarnya berpihak kepada mahasiswa-mahasiswi Melaka.

"Saya sebenarnya yakin dengan tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswi Melaka yang bangun mempertahankan hak dan maruah mereka di hadapan pihak berwajib. Sikap seperti inilah yang dipuji oleh Islam dan tindakan mereka patut disokong oleh seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir" Ujar beliau ketika diminta mengulas isu yang menimpa BKAN Melaka baru-baru ini.

Pendirian yang diambil oleh BKKIMM ini juga ekoran dinafikan hak pejabat persatuan di rumah Melaka yang baru. Padahal persatuan inilah yang bertungkus lumus sejak tahun 2008 dahulu memohon kepada kerajaan bagi memperolehi rumah Melaka yang dirasmikan baru-baru ini.

Menurutnya, lebih menyedihkan lagi apabila persatuan mahasiswa ini dinafikan kewujudannya tanpa sebarang alasan dan bukti yang kukuh. Isu ini pasti tidak masuk akal bagi mereka yang berfikir secara rasional.

Tambahnya lagi, PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh BKAN dan DPM yang melakukan solat hajat untuk memohon kekuatan bagi BKKIMM menghadapi isu ini lebih-lebih lagi di musim peperiksaan sekarang.

Bagaimanapun menurut beliau lagi, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam yang berada di BKAN dan DPM bagi menyediakan kekuatan untuk membantu BKKIMM menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa sejarah kejayaan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) bagi mendepani tindakan isu pengharaman pasti akan berulang sekiranya seluruh mahasiswa-mahasiswi bersatu membantu BKKIMM.
Sumber: http://pmram.org/

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL