Peperiksaan Percubaan PMRAM : Persediaan Sebelum Menduduki Peperiksaan Sebenar

KAHERAH, 23 Dis – Persediaan dalam memburu kecemerlangan peperiksaan merupakan suatu perkara yang penting. Bukti kesungguhan PMRAM mahu menjayakan subtopik ucapan Presiden PMRAM 2010 iaitu ‘Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama“ dengan mengadakan satu lagi program pendidikan iaitu peperiksaan percubaan peringkat PMRAM Pusat dibawah kelolaan Unit Tutorial dan Perkuliahan, Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa.

Peperiksaan percubaan tersebut telah diadakan di surau dan perpustakaan Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabie’. Lebih daripada 60 orang mahasiswa baru pengajian Islam tahun 1 menyertai peperiksaan tersebut.

Peperiksaaan percubaan ini merupakan program susulan selepas program senat fakulti yang telah dilaksanakan pada akhir November lepas bertujuan untuk menilai tahap persediaan mahasiswa tahun 1 khususnya dari aspek teknik menjawab soalan yang sebenar sebelum menghadapi peperiksaan sebenar yang akan bermula tidak lama lagi.

Program ini bermula seawal jam 1.00 petang dimulai dengan taklimat umum dan diteruskan dengan peperiksaan percubaan yang berlangsung selama 1 jam setengah. Antara subjek yang dipilih dalam peperiksaan percubaan ini ialah Tafsir Ayat Ahkam untuk kuliah Syariah ,manakala kuliah Usuluddin dengan subjek Mantiq dan kuliah Bahasa Arab dengan subjek Adab Jahili.

“Subjek-subjek yang dipilih ini berdasarkan penilaian yang telah dibuat daripada analisis keputusan peperiksaan yang lepas mendapati bahawa tidak ramai mahasiswa kita yang lulus dalam subjek-subjek tersebut“. Ujar Saudara Abdul Aziz bin Ali, Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM.

Selepas sesi menjawab soalan program diteruskan dengan sesi penerangan dan kritikan bagi setiap kuliah yang disampaikan oleh saudara Mohd Syarqawi dari kuliah Syariah Islamiah, saudara Mohd Zuhairi dari kuliah Usuluddin dan saudara Mohamad Daniel dari kuliah Bahasa Arab.

Peperiksaan percubaan tersebut berakhir pada pukul 4.00 petang dengan suntikan kata-kata semangat dan dorongan yang telah disampaikan oleh setiap tenaga pengajar bagi memburu kecemerlangan khususnya bagi mahasiswa baru.
Sumber:http://pmram.org

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963