SIRI PENGHIJRAHAN BAGINDA S.A.W DAN PARA SAHABAT
  Mengungkap  sirah-sirah perjuangan Baginda s.a.w yang berjuang untuk memartabatkan  agama yang benar ini ternyata penuh mehnah dan tribulasi. Namun,  keyakinan Baginda s.a.w dan para sahabat atas pertolongan Allah s.w.t  untuk terus mendaulatkan Islam tercinta ke pelusuk dunia membuatkan  mereka berdiri teguh di atas tunjang keimanan dan ketaqwaan.   
  Siri-siri penolakan dan  penentangan kaum Musyrikin Mekah terhadap Baginda s.a.w dan para  pengikutnya diiuji dengan penyiksaan yang dahsyat dan hampir tidak  tertanggung sehingga para sahabat ketika itu meminta izin kepada Baginda  s.a.w untuk berhijrah dari tanah air mereka. Lantas melalui petunjuk  wahyu Allah taala, mereka berpindah ke Madinah.
  Justeru,  bermulalah episod penghijrahan agung Baginda Rasulullah s.a.w bersama  para sahabat radiyallahu ‘anhum ke Madinah demi untuk menyelamatkan  akidah suci mereka disamping meneruskan perjuangan menegakkan panji  Islam tanpa sebarang gangguan.
  Dari tanah Tayyibah itu, Islam  mula bertapak kukuh sebagai sebuah daulah Islam yang pertama. Syariat  Islam yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mula menjadi asas kepada  pembentukan daulah tersebut.
  Setelah berkorban meninggalkan  tanah air yang sangat mereka cintai iaitu Mekkah, Kaum Muhajirin dan  Ansar dengan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w begitu berhasil mengamalkan  ajaran Islam dengan bebas. Lebih daripada itu, mereka berjuang dengan  meluaskan dakwah Islam ke luar Kota Madinah dan akhirnya cahaya  kebenaran  itu  menyusup masuk ke sempadan dan meruntuhkan tembok  kejahilan  negara-negara bukan Islam. Akhirnya, bersinarlah di  tanah-tanah timur tengah itu dengan cahaya wahyu dari tuhan.
  Ternyata  berkat dari peristiwa hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat serta  penerimaan tulus Kaum Ansar  kepada saudara mereka telah membuahkan  kejayaan dan keberhasilan dakwah yang telah mereka pikul.
 
  PELAJARAN BERHARGA DARI PERISTIWA HIJRAH NABI S.A.W 
  Sesungguhnya  tiap-tiap ketentuan Allah s.w.t itu mempunyai nilai hikmah dan  pengajaran yang cukup besar kepada mereka yang mahu mencari kebenaran  dan berfikir. Demikian Allah menjelaskan dalam firman-Nya:
  “Sesungguhnya  pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang  mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan  tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala  sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”. (QS.  Yusuf: 111)
  Antara pelajaran berharga yang pertama ialah hijrah  mengajar kaum Muslimin untuk mempertahankan tauhid dan keimanan mereka  dengan mengorbankan apa yang mereka miliki.
  Islam telah  meletakkan kesucian agama dan akidah itu melebihi kepentingan lain.  Justeru, mengorbankan kepentingan diri demi mempertahankan agama itu  sangat-sangat dituntut. Berdasarkan peristiwa hijrah ini, kita dapat  melihat pengorbanan yang cukup besar telah dilakukan oleh para sahabat  semata-mata untuk mempertahankan akidah suci mereka.
  Hijrah yang  mereka lakukan didorong oleh kekuatan iman. Tanpa kecekalan dan  kekuatan iman, belum tentu mereka sanggup untuk meninggalkan keluarga,  sanak-saudara, harta-benda dan tanah air tercinta.
  Firman Allah taala : “orang-orang  yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta,  benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan  itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (QS. Attaubah: 20)
  Di  dalam kitab Fiqh Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti  mengenai hijrah Baginda s.a.w, penulis ada menyebut tentang apalah  ertinya pada harta kekayaan, pangkat kebesaran dan tanah air sekiranya  akidah dan syiar agama terancam dan musnah. Justeru, Allah ‘Azza  wajallah telah mewajibkan dasar mengorbankan harta dan negara  demi  kepentingan akidah dan agama sekiranya keadaan memaksa.
  Perngajaran  kedua ialah hijrah membangunkan masyarakat penuh peradaban. Ini dapat  dilihat melalui tindakan Baginda Nabi s.a.w ketika mula-mula sampai di  Madinah iaitu mendirikan masjid yang merupakan pusat kegiatan pembinaan  dan pengembangan sumber daya manusia. Sehingga mampu melahirkan manusia  yang luar biasa, berakhlak mulia, manusia berilmu dan dekat dengan  penciptanya.
  Bukan setakat itu, Baginda juga menyatukan  saudara-saudara Muhajirin dengan Ansar sehingga melahirkan ukhuwah  Islamiah yang sebenarnya, melahirkan komuniti masyarakat yang saling  hormat-menghormati. Selain itu, Baginda s.a.w juga membangunkan pasar  untuk  kaum Muslimin kerana pada ketika itu pasar di Madinah masih  dikuasai oleh Kaum Yahudi yang mengamalkan riba’ .
  Pengajaran  ketiga yang dapat kita hayati ialah perjalanan hijrah Rasulullah dari  Mekkah ke Madinah merupakan momentum awal kebangkitan Islam dari arus  jahiliyah. Kezaliman yang berleluasa dicantas dengan keadilan yang  saksama. Islam hadir untuk membela dan memartabatkan maruah dan hak  umatnya.
  Sekiranya masyarakat menginginkan keadilan, tiada lain  dan tiada bukan hanyalah dengan keadilan Islam. Sudah terbukti apabila  Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara mampu menyatukan seluruh penduduk  Madinah dengan keadilan Islam walaupun penduduk Madinah terdiri dari  komuniti agama yang berbeza.
 
  PMRAM DAN TRANSFORMASI HIJRAH
  Setelah   merentasi hampir satu abad, tidak sedikit transformasi perubahan yang  dialami oleh PMRAM. Sejak penubuhannya dari tahun 1930 M , bermula  dengan nama Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) sehinggalah  sekarang, dikenali dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir   (PMRAM) , PMRAM sentiasa cuba menampilkan sesuatu yang terbaik demi  melihat hadafnya sebagai persatuan mahasiswa induk di Perlembahan Nil  ini tercapai.
  Tidak dinafikan PMRAM sering terdedah dengan  transformasi semasa mengikut arus zaman. Penghijrahan itu merupakan  sesuatu yang dituntut oleh agama.Ini dapat disingkap melalui sabda  Baginda s.a.w yang tercinta,
  Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
  “Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat  (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.”  [Hadis riwayat Muslim] Imam Nawawi juga berkata di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya;
  “ Tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah negara Islam."
  Penerapan  nilai Islam yang sebenar pada awal 80 an menjadi titik pembaharuan  kepada PMRAM dalam mengajak ahlinya untuk terus mendokongi Islam dan  PMRAM selaku wadah kesatuan mahasiswa yang menampilkan wajah Islam.
  Di  samping itu, penghijrahan yang dilakukan PMRAM semenjak dahulu tidak  sunyi dari pelbagai mehnah. Sesuai dengan hijrah Baginda s.a.w dan para  sahabat yang turut dipenuhi kesulitan. Namun, atas dasar Islam yang di  bawa oleh PMRAM serta berkat perjuangan dan pengorbanan yang tulus  ikhlas dari golongan terdahulu , Allah s.w.t masih memelihara PMRAM  sehingga ke hari ini.
  Selain itu, konsep pengorbanan dari hijrah  Baginda Nabi s.a.w dan para sahabat sentiasa dipraktikkan PMRAM. Sebagai  contoh, perjuangan mahasiswa terdahulu yang bersusah-payah untuk  mendapatkan dana bagi membina Asrama Melayu, penglibatan PMRAM dalam  membantu Mesir menentang penjajah, penentangan terhadap anasir-anasir  yang menjatuhkan PMRAM, pelbagai bentuk sumbangan yang dihulurkan dan  lain-lain lagi ternyata hasil dari pengorbanan yang tidak sedikit.
  PMRAM  juga sentiasa optimis mengajak ahli kepada kesatuan dan perpaduan  disamping mengelakkan perpecahan. Inilah yang diterap oleh Baginda  s.a.w, setelah hijrah dilaksanakan. Tanpa kesatuan dan perpaduan  dikalangan ahli, hijrah yang dilaksana tidak akan bernilai sedikitpun.
  Justeru,  pada hari ini, setelah 80 tahun penubuhan , pelbagai pembaharuan telah  diketengahkan PMRAM selari dengan tuntutan syariat. Inilah hasil dari  transformasi penghijrahan PMRAM ke arah yang lebih baik.
  Oleh  yang demikian, dengan kehadiran tahun baru hijrah 1432 H ini, PMRAM  mengajak seluruh mahasiswa untuk mentranformasi diri menjadi manusia  yang lebih berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sentiasa mengamalkan  sikap kebersamaan, persaudaraan, bersedia berkorban dan bijaksana  menyusun perancangan. Inilah asas pertolongan dan kemenangan umat Islam.  Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1432 H.
  Disediakan Oleh, Urus Setia Penerangan Umum Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2010
  |         | 
  |     |                |       
 
Comments