Mangsa di pusat pemindahan dua negeri catat penurunan kecuali di Kota Setar


ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah dan Perlis semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara mencatat penurunan, namun keadaan di daerah Kota Setar di sini, bertambah buruk apabila mangsa dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, di seluruh negeri ini seramai 31,712 mangsa banjir membabitkan 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan, berbanding 33,563 orang kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (Kedah) ketika dihubungi berkata, seramai 21,116 orang daripada 5,060 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Kota Setar, berbanding 19,591 orang kelmarin.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir dipindahkan di daerah Kubang Pasu mencatat penurunan kepada 9,531 orang daripada 2,591 keluarga, berbanding 12,242 orang kelmarin.

Selain itu, keadaan di Pokok Sena turut menunjukkan pemulihan apabila jumlah mereka yang masih menghuni pusat pemindahan berkurangan kepada 1,003 orang membabitkan 143 keluarga dan Pendang pula 242 orang daripada 62 keluarga.

Dalam pada itu, bekalan air di sebahagian besar daerah ini semakin pulih apabila loji air Bukit Pinang milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd sudah beroperasi mencapai tahap hampir 80 peratus dan dijangka mencapai tahap 100 peratus sehari dua lagi.
Sementara itu, Kilometer 28 Lebuhraya Utara-Selatan di Jitra yang sebelum ini ditutup kepada lalu lintas kerana ditenggelami air sudah dibuka satu lorong di kedua-dua hala.

Selain itu, tinjauan Berita Harian di beberapa kawasan di bandaraya ini mendapati banyak jalan utama sudah dibuka kepada lalu lintas.

Di Perlis pula, Jurucakap Pusat Gerakan Banjir negeri yang dihubungi berkata, seramai 8,645 mangsa membabitkan 1,217 keluarga masih ditempatkan di 33 pusat pemindahan yang masih aktif dengan majoritinya di daerah Kangar.

"Ketika ini 24 daripada 57 pusat pemindahan dibuka sejak banjir melanda Perlis Ahad lalu sudah diarah tutup dengan majoritinya di kawasan Padang Besar dan Arau, manakala baki 33 yang masih beroperasi adalah sekitar daerah Kangar," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL