8 MANHAJ AL-AZHAR YANG PERLU DIFAHAMI

8 MANHAJ AL-AZHAR YANG PERLU DIFAHAMI


Dipetik dari : MANHAL PMRAM

Realitinya, kebanyakan mahasiswa Al-Azhar sama ada yang masih menuntut ketika ini atau pun yang sudah pulang ke Malaysia masih tidak memahami manhaj Al-Azhar yang sebenar. Pendedahan yang kurang serta sikap yang kurang serius untuk pengukuhan ilmu menyebabkan wujudnya golongan Azhari yang bertentangan dari manhaj Al-Azhar yang tepat. Hal yang demikian, terkadang menimbulkan satu dakwah atau pemikiran yang berlawanan dengan manhaj Al-Azhar yang dibawa oleh ulama-ulama terdahulu.

Syaikh al-Allamah al-Muhaddits Usamah al-Sayyid Mahmud Al-Azhari ada menyusun beberapa manhaj Al-Azhar yang sebenar dalam risalahnya :



Oleh itu, golongan Azhari sepatutnya mengetahui secara lebih mendalam kaedah dan manhaj yang disusun oleh ulama Al-Azhar dan memahami dalam semua aspek bidang ilmu untuk memastikan maklumat dan cara disampaikan adalah benar dan tepat. Antara 8 manhaj Al-Azhar tersebut adalah seperti berikut :

1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka(yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu ;
  • Berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas,
  • Mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut,
  • Mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut.
Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain . Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya

Inilah manhaj yang dipegang dan sepatutnya difahami secara lumat oleh penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Jika perkara sebegini tidak lagi difahami dengan baik, maka janganlah mengaku pandai serta menuduh orang lain berlagak sombong sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang berlagak sombong tersebut.

Artikel disunting dari blog Felo MANHAL
Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL