Perbincangan Berkenaan Solat Fardhu Jumaat Terhadap Banduan Di Dalam Penjara

Perbincangan Berkenaan Solat Fardhu Jumaat Terhadap Banduan Di Dalam Penjara


Dipetik dari : MANHAL PMRAM

Terdapat dalil-dalil yang banyak di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan solat Jumaat dan larangan meninggalkannya seperti berikut :

1) Dalil daripada Al-Quran :
Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). Surah Al-Juma’ah ayat 9

2) Dalil daripada As-Sunnah :

a) Sabda Rasulallah S.A.W yang bermaksud :

من ترك الجمعة ثلاثا من غير عزر ولا علة, طبع على قلبه.

Maksudnya :

"Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk" (Hadis riwayat Abu Daud)

b) Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Daud & Hakim).

Oleh itu, Allah S.W.T menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad S.A.W serta memerintahkan untuk mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jumaat, bagi menggantikan sembahyang Zohor.


Berdasarkan dalil-dalil ini, para ulamak telah bersepakat bahawa solat Jumaat itu adalah wajib keatas setiap orang lelaki yang mukallaf dengan tanpa keuzuran, dan solat Jumaat tersebut mestilah di lakukan secara berjemaah. Daripada maksud keuzuran ini, adakah bagi seorang banduan yang dipenjarakan termasuk di dalam golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan kefardhuan Jumaat? Ini kerana para banduan tidak mampu untuk menunaikan solat Jumaat disebabkan mereka terkurung di dalam penjara dengan kadar masa yang panjang.

Untuk menjawab persoalan ini, para Ulamak telah berselisihan pendapat terhadap seseorang banduan yang dipenjarakan seperti berikut :

Pendapat Pertama

Wajib keatas pemerintah membebaskan banduan seminggu sekali untuk menunaikan solat Jumaat di luar penjara, iaitu Masjid yang berada dikawasan yang berhampiran. Pandangan ini menurut Imam Al-Baghawi yang merupakan Ulamak dikalangan bermazhab Imam As-Syafie dan sesetengah dikalangan mazhab Hanabilah. Pandangan pertama ini menurut kisah yang berlaku terhadap seorang Ulamak yang bernama Al-Buwaithi. Beliau dipenjarakan kerana permasalahan penentuan samaada Al-Quran itu makhluk ataupun tidak yang berlaku pada zaman tersebut, dan Khalifah ketika itu membenarkan beliau untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah lain di luar penjara.
Jika kita melihat daripada pandangan pertama ini, banduan yang dibebaskan dan diberikan kelonggaran selama seminggu sekali itu adalah seorang Ulamak, dan kita yakin dengan seorang yang bertaraf Ulamak ini tidak mungkin akan melakukan sebarang kekacaun ketika berada di masjid atau melarikan diri dengan kelonggaran yang diberikan pada pihak pemerintah untuk beliau melakukan solat diluar penjara. Bagaimana pula jika seorang banduan itu bukan dikalangan para Ulamak? Dan mereka pula terdiri daripada kalangan penjenayah yang berbahaya seperti perogol, perompak, pembunuh dan sebagainya. Pandangan ini mungkin kurang sesuai untuk dipraktikkan dalam suasana kita di Malaysia.

Pendapat Kedua



Kebanyakan para Ulamak berpandangan tidak membenarkan langsung kepada banduan untuk keluar ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat bertujuan menjaga maslahah jika mereka diberikan kelonggaran tersebut. Pandangan ini dinaqalkan oleh Saidina A’li r.a dan di fatwakan oleh Imam Al-Ghazali. Dalam permasalahan ini, seorang banduan tidak mampu untuk menunaikan solat Jumaat di kira sebagai orang yang tidak berdosa, kerana termasuk di dalam keuzuran dan diberikan kelonggaran dari melakukan solat Jumaat berdasarkan dalil umum daripada hadis yang telah disebut sebelum ini. Tetapi jika seorang banduan itu mampu memohon untuk diberikan pelepasan kepada pihak pengawal penjara dan beliau tidak berbuat demikian, maka ia tidak termasuk dalam golongan yang mendapat pelepasan dari syarak kerana masih berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat. Banduan tersebut dikira berdosa kerana tidak berusaha sekadar yang mampu untuk menunaikan solat Jumaat diluar penjara. Menurut pandangan mazhab Imam Malik di sunatkan juga bagi banduan supaya melewatkan sedikit solat zohor jika masih berharap dan berpeluang ia mampu solat di luar penjara pada hari tersebut.

Pendapat Ketiga

Apabila cukup syarat sah solat Jumaat di dalam penjara dan mampu untuk melakukannya, maka hukumnya adalah wajib bagi setiap banduan yang berada di dalam penjara tersebut untuk menunaikan solat Jumaat seperti pihak kerajaan membina sebuah masjid di dalam penjara dan melantik seorang Imam yang berkelayakan untuk kemudahan berkenaan dengan urusan ibadah dan dakwah kepada banduan-banduan yang bermukim di dalam kawasan penjara tersebut. Ini sebagai langkah untuk mendidik dan membawa meraka ke jalan yang sebenar. Pendapat ini berdasarkan dalil umum daripada Saidina Umar r.a yang berkata :

جمعوا حيثما كنتم

Maksudnya : Berkumpullah kamu dimana sahaja kamu berada.

Dalil ini juga disokong oleh Ibnu Sirin berdasarkan riwayatnya yang bermaksud : “Wajib solat Jumaat keatas setiap orang yang dipenjarakan”. Menurut kefahaman daripada pandangan mazhab Imam Hanafi : “ harus bagi yang dipenjarakan menunaikan solat Jumaat, jika tidak mampu maka dibolehkan untuk menunaikan solat zohor secara bersendirian, dan di makruhkan sembahyang zohor secara berjemaah ketika solat Jumaat sedang berlangsung kerana takut menyerupai solat Jumaat pada hari tersebut dan mengurangkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah”.

Kesimpulan

Berdasarkan pandangan ini, maka tidak boleh sama sekali mengahalang bagi seorang tahanan di dalam penjara untuk menunaikan solat Jumaat, kerana bersandarkan dalil yang mewajibkan solat Jumaat dan larangan meninggalkannya daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Daripada pandangan ini juga lebih sesuai untuk di amalkan dalam situasi kita di zaman sekarang. Di samping itu juga dengan mendirikan masjid mampu berperanan sebagai sebuah institusi penyebaran dakwah dan kefahaman untuk pembentukan jiwa dan rohani kepada banduan-banduan dan dapat menyedarkan mereka untuk kembali ke jalan yang benar. Artikel ini dihasilkan hanya sekadar untuk memberikan pengetahuan terhadap perbezaan dikalangan Ulamak berdasarkan hukum solat Jumaat bagi seorang tahanan yang berada di dalam penjara dan sebagai perbincangan bersama berkenaan permasalahan ini. Di sebalik itu juga, kita dapat mengetahui bahawa perhimpunan bagi umat Islam secara mingguan melalui solat Jumaat ini amat penting dalam pembentukan dan kesatuan ummah. Oleh sebab itu seluruh ummat Islam telah dituntut oleh syarak untuk menghadirinya hatta bagi seorang banduan sekalipun. Waallahua’lam.

Sumber Rujukan
1) Hasyiah As-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri.
2) Minhajul Al-A’bindin, oleh Imam An-Nawawi.
3) Fiqh Al-Mu’taqalat Wa As-Sujun Baina As-Syariah Wa Al-Qanun, oleh Dr. Hasan Abdul Ghani Abu Ghuddah.

Di sediakan oleh :
Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963