MINDA PIMPINAN | RAMADAN BULAN TARBIAH

Ramadan Bulan Tarbiah
بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Firman Allah SWT :-
{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ }
[Surah Al-Baqarah: 183]

Ramadan merupakan salah satu bulan yang mulia dalam Islam. Bulan ini terkenal dengan kelebihan dan fadhilatnya yang amat besar serta tinggi ganjaran pahala disisi-Nya. Bulan ini juga difardhukan ke atas umat Islam agar berpuasa selama sebulan sebelum menjelangnya Syawal sebagai hari kejayaan umat Islam. Persoalannya bagaimanakah bulan tarbiah ini benar-benar dapat mendidik umat Islam?

Kesabaran

Bulan Ramadan dan juga kesabaran saling melazimi antara satu sama lain. Seperti mana yang kita sedia maklum, kita diwajibkan untuk berpuasa. Oleh itu, dengan puasa kita mesti menahan diri daripada makan dan minum di siang hari. Maka dengan berpuasalah secara tak langsung dapat mengajar kita bagaimana orang fakir miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sentiasa sabar dalam kehidupan seharian mereka untuk mencari makan demi meneruskan kehidupan.

Sifat mahmudah

Pada bulan yang mulia ini, diri kita juga akan terpupuk dengan segala sifat mahmudah. Hal ini kerana dalam berpuasa bukan hanya kita menahan daripada segala mubtilat (perkara yang membatalkan puasa) bahkan kita harus menahan daripada segala muhlikat (perkara yang merosakkan puasa) seperti membuat maksiat, membuat perkara yang sia-sia dan sebagainya. Ditambah pula pada bulan Ramadan ini , syaitan-syaitan yang dibelenggu sepanjang bulan Ramadan akan menambah peluang kita untuk terus melakukan kebaikan tanpa dihasut oleh syaitan-syaitan si penghasut anak Adam A.S. Oleh yang demikian, sifat mahmudah akan terus terpahat dalam diri kita walaupun di luar bulan tarbiah ini.

Berdisplin

Bulan ini juga akan mentarbiah seseorang itu menjadi lebih disiplin. Maklum bahawasanya disiplin amat dititikberatkan dalam Islam. Apabila kita berpuasa, kita akan jadi lebih berdisiplin dengan menepati segala masa khususnya apabila hendak berbuka dan ketika bersahur. Secara tidak langsung mengajar kita untuk menepati masa. Umat islam pada hari ini lemah dalam menepati masa kecuali golongan yang akn disebutkan ini,
Firman Allah SWT :-
{ وَٱلۡعَصۡرِ (1) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِی خُسۡرٍ (2) إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ (3) }
[Surah Al-`Asr: 1-3]
Maksudnya: Demi Masa! , Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian , Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Ganjaran Berganda

Firman Allah SWT dalam Hadis Al-Qudsi:-
قال الله عز وجل: كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به
Maksudnya : Setiap amalan Bani Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberi ganjarannya.

Bulan istimewa ini disajikan dengan pelbagai ganjaran yang amat besar dan fadhilat yang amat banyak. Oleh itu, manusia akan berlumba -lumba untuk melakukan kebaikan di bulan ini demi mendapatkan segala ganjaran dan fadhilat yang ditawarkan. Demikian itu, secara tidak langsung bulan ini mentarbiah manusia supaya terus melakukan amal soleh hingga akhir hayatnya kerana ganjaran yang paling besar yang dinantikan ialah Syurga Al-Firdaus di akhirat kelak. Bulan ini juga memberi kesedaran kepada kita sepertimana kegigihan kita berlumba-lumba mencari harta dunia, begitulah juga kita dalam mengejar akhirat yang sifatnya baqa'.

Akhir sekali, terbukti bahawa bulan ini sememangnya bulan tarbiah yang mendidik kita dari setiap aspek dalam kehidupan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang ditarbiahkan dalam bulan ini Akhir kata, semoga pembaca terus semangat melakukan amal soleh terutamanya dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan yang berbaki ini. Saya berharap agar dosa kita diampunkan oleh Allah SWT sebelum kita melangkah keluar daripada bulan mulia ini dan semoga juga kita dapat memperoleh malam Lailatul Al-Qadr.

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال، آمين يا رب العالمين.
………………………………………………………...........
Muhammad Haziq Hafizi bin Mohd Sofian 
(Lajnah Penerangan & Penerbitan Sesi 2022/2023) 
 
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan” 
“Ukhuwah Dipateri, Thaqafah Diamati” 
 
#BKPPPM_KeluargaKita 
#Bersama_Bersatu


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL