AMALAN DUNIAWI VS AMALAN UKHRAWI


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

         الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا وحبيبنا وشفيعنا محمد صلى الله عليه وسلم، وعلى آله واصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد...

           Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T atas limpah dan kurniaNya kerana masih memberikan keizinan untuk merasai nikmat yang paling terbesar dalam hidup ini iaitu nikmat iman dan nikmat menjadi seorang muslim yang berada di jalanNya yang benar.

           Posting kali ini kita membicarakan tentang amalan duniawi dan amalan ukhrawi, sebelum itu mari kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan amalan duniawi dan amalan ukhrawi?

          Amalan duniawi merupakan amalan atau pekerjaan yang dilakukan hanya semata-mata kerana keduniaan dan untuk kepentingan diri sendiri,manakala amalan ukhrawi pula ialah amalan atau pekerjaan yang dilakukan hanya semata-mata kerana Allah S.W.T dalam mengejar redhaNya serta mengharapkan balasan yang baik di akhirat kelak. Kedua-dua amalan tersebut saling berkait rapat dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Esa. Hal ini juga telah dirakamkan dalam kitab suci Al-Quran.Allah S.W.T berfirman:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الأرْضِ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ.

Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta dan kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
( Surah Al-Qasas : Ayat 77 )

             Ayat di atas menunjukkan bahawa Islam tidak hanya menitikberatkan hal keagamaan  dan akhirat semata-mata, bahkan Islam juga tidak meminggirkan perkara keduniaan. Sebaliknya, Islam menggalakkan umatnya agar menumpukan perhatian kepada kedua-dua tuntutan duniawi dan ukhrawi. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ ، فَرَّقَ اللهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ ِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّـتَهُ ، جَمَعَ اللهُ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِيْ قَلْبِهِ ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ.

Maksudnya: “Barang siapa yang tujuan hidupnya adalah dunia maka Allah mencerai-beraikan urusannya,menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Dan barang siapa yang tujuan hidupnya adalah negeri akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya,menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina”.
(Hadith Riwayat Imam Ahmad.Imam Ibnu Majah,dan Al-Baihaqi)

              Hadith ini juga menunjukkan kepada kita bahawa melakukan sesuatu amalan dan pekerjaan duniawi mahupun ukhrawi mestilah disertakan dengan niat hanya semata-mata kerana Allah S.W.T untuk mengimbangkan antara perkara dunia dan akhirat seterusnya secara tidak langsung menjadi ibadat dan dikira sebagai amalan yang terpuji di sisiNya  selagi tidak bertentangan dengan Syarak. Hal ini bertetapan dengan hadith Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi:


نَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْه.


Maksudnya:  Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat dan setiap yang orang mendapat (pahala) berdsarkan apa yang diniatkan. Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan RasulNya. Dan Barang siapa berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya,maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.
(HR. Bukhari, Muslim, dan empat imam Ahli Hadits)

            Tambahan pula,di sini saya nyatakan contoh-contoh amalan yang berbentuk duniawi tetapi merupakan sebagai amalan ukhrawi:

*      Bersedekah kepada fakir miskin
*      Menolong orang dalam kesusahan
*      Mengajak orang berbuat kebaikan
*      Menjaga keselamatan orang  lain
*      Menuntut ilmu

Terdapat banyak lagi amalan-amalan yang kita boleh lakukan dalam kehidupan seharian kita untuk meraih saham yang banyak di akhirat kelak kerana dunia ini merupakan tempat persinggahan kita untuk menuai hasil untuk dibawa bekalan tersebut ke destinasi yang seterusnya.

           Semoga kita diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk beramal dengan ilmu yang telah kita pelajari dalam mengejar redha Allah S.W.T kerana telah berkata Al-Imam Al-Ghazali: Ilmu tanpa amal itu gila, dan beramal tanpa ilmu tidak menjadi.

Ayuh kita beramal!!


Muhamad Syamim Bin Daud

(Ketua Lajnah Dakwah BKPPPM sesi 2016/2017)


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden