Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden
Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden
Oleh : Nurhannani
Husna Binti Shaidan
Menurut Kamus Dewan Edisi Empat
teknologi merujuk kepada aktiviti atau kajian yang menggunakan sains untuk
tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, sains gunaan
dan sebagainya. Dalam pada itu, teknologi ini juga membawa maksud kaedah atau
proses menangani sesuatu permasalahan elektronik yang berkaitan dengan
pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat telekomunikasi
misalnya teknologi komputer dan komunikasi yang berasaskan kajian saintifik
termaju seperti peralatan elektronik yang canggih. Dasawarsa ini, sama ada kita
sedar atau tidak kemajuan teknologi seiring pembangunan yang gah di persada
dunia. Namun demikian, kita acap kali tersentak dengan permasalahan sosial yang
dicetuskan oleh rakyat kita sendiri yang tidak bertanggungjawab dalam
penyalahgunaan teknologi. Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang menjadi fokus perbincangan
akan dihuraikan secara lebih terperinci.
Arus teknologi yang semakin berkembang ini telah banyak memberi maslahah
dalam kehidupan seharian kita. Pelbagi peralatan telah dinaiktaraf untuk
memudahkan kehidupan kita. Misalnya, mesin basuh pakaian, mesin basuh pinggan,
peti ais dan sebagainya. Pastinya setiap rumah di Malaysia sekurang-kurangnya
mempunyai mesin basuh pakaian dan peti ais. Para suri rumah tidak lagi perlu
mengerah tenaga untuk mencuci pakaian. Dalam perspektif Islam pula, Allah
berfirman di dalam Surah Al-Asr, “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam
kerugian”. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan mengenai
masa. Apabila semua pekerjaan telah menjadi mudah, maka masa seseorang itu
dapat digunakan dengan lebih efisien untuk melakukan perkara yang berfaedah.
Tamsilnya, membaca kitab suci Al-Quran, berzikir, meluangkan masa bersama keluarga
dan sebagainya.
Lanjutan daripada huraian di atas, kemudahan teknologi maklumat dan
telekomunikasi telah memberikan pelbagai manfaat kepada kita. Kewujudan
aplikasi-aplikasi seperti Skype, Yahoo Messenger, emel dan
sebagainya bak cendawan tumbuh selepas hujan telah memudahkan komunikasi jarak
jauh dan penyebaran maklumat ke serata dunia. Jika dahulu, telefon, surat khabar
dan televisyen merupakan medium utama penyebaran segala maklumat. Kini,
pelbagai teknologi komunikasi diperkenalkan bagi memudahkan kita untuk
berhubung dengan sesiapa sahaja di serata dunia. Di samping itu, kemajuan
teknologi maklumat ini menjadikan mesyarakat lebih cakna mengenai pergolakan
dunia seperti yang berlaku di Uyghur, Kashmir, Gaza dan negara-negara yang
lain.
Kemunculan teknologi di alaf baru ini telah banyak memberikan cabaran kepada
umat Islam kerana maklumat yang diperoleh tidak mampu disekat apatah lagi
ditapis terlebih dahulu. Hal ini kerana, kemajuan teknologi dimonopoli oleh pihak
barat, maka tidak hairanlah kemajuan teknologi ini mengikut acuan barat.
Berdasarkan perangkaan pada tahun 2018, sebanyak 8,313 kes penipuan siber
berjumlah kira-kira RM 300 juta direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari sehingga 3
Oktober pada tahun tersebut. Malahan, perkara ini telah menimbulkan kerisauan
oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai kes jenayah siber yang direkodkan
iaitu sebanyak 10,203 kes berjumlah kira-kira RM 184 juta pada tahun 2017.
Antara jenayah yang direkodkan dengan catatan yang tertinggi iaitu penipuan
yang berlaku dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian indentiti dan pencerobohan
data. Seyogianya, pihak syarikat telekomunikasi perlu bekerjasama dengan pihak
berkuasa dengan memberikan maklumat yang diperlukan agar dapat menangani
permasalahan jenayah siber ini.
Sementelahan itu, kepincangan
teknologi juga dapat dilihat dalam teknologi nuklear. Sememangnya tidak dapat
dinafikan teknologi nuklear ini memberikan kebaikan namun impak negatifnya mengancam
nyawa manusia. Tragedi nuklear yang berlaku di Chernobyl pada tahun 1986 di Ukraine
merupakan tragedi yang paling teruk pernah berlaku. Banyak nyawa yang telah
terkorban di dalam tragedi ini, malahan kesan radiasi daripada nuklear tersebut
telah menular ke tiga buah negara iaitu Belusar, Ukraine dan Russia. Kesan
radiasi yang didapati daripada nuklear ini menjadi asbab kepada berlakunya
kanser serta penyakit-penyakit berbahaya dalam tempoh masa yang lama. Jelaslah
bahawa teknologi nuklear memberi impak negatif kepada manusia.
Sebagai menyimpul kata, janganlah
kita menjadikan kepincangan yang terdapat pada kemajuan teknologi sebagai asbab
untuk menolak kemajuan ini secara menyeluruh, akan tetapi kutiplah mutiara kebaikan
yang terdapat di dalamnya untuk memajukan negara kita. Jika kita selami dengan
lebih mendalam, kemajuan teknologi telah banyak memudahkan urusan kehidupan
seharian kita. Teknologi ini dilihat bertambah maju dari semasa ke semasa. Oleh
itu, sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita seyogianya
mempersiapkan diri untuk menerima pembaharuan demi pembaharuan supaya kita
tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Malahan, kemajuan ini dapat
menjadikan negara kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara
maju yang lain.
Catatan :
Esei ini telah mendapat tempat yang pertama bagi pertandingan menulis esei (akhawat) yang dianjurkan oleh Fiesta Conference Of Thaqafi (FACULTY’19) pada September yang lalu. Semoga para pembaca dapat memperoleh manfaat darinya dan tahniah kepada pemenang.
Disediakan oleh : Lajnah Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM 18/19
"Empowering Islamic Knowledge and Thinking"
"Empowering Islamic Knowledge and Thinking"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Bersatu dan Berbakti"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah dan Thaqafah Islamiah"
Comments