MINDA PIMPINAN | KEISTIMEWAAN BULAN SYAWAL

Keistimewaan Bulan Syawal 

Bulan Syawal merupakan bulan penanda kemenangan bagi umat muslim, khususnya menang setelah satu bulan penuh beribadah khusyuk di bulan Ramadan. Penanda kemenangan ini diawali dengan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Selain bulan Ramadan, bulan Syawal juga merupakan salah satu bulan terbaik dalam Islam.

Banyak amal ibadah yang dianjurkan untuk dilaksanakan di bulan Syawal ini. Salah satunya adalah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Bulan Syawal adalah bulan kembalinya umat muslim kepada fitrahnya, diampuni semua dosanya setelah melakukan ibadah Ramadan sebulan penuh. Pada tanggal 1 Syawal, umat muslim kembali makan pagi dan diharamkan untuk berpuasa pada tanggal tersebut.

Datangnya bulan Syawal membawa kemenangan bagi umat muslim yang berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan, dan menjadi lambang kemenangan dari ‘peperangan’ menentang musuh dalam jiwa yang besar, iaitu hawa nafsu.

Tanggal 1 Syawal seluruh umat Islam di seluruh dunia mengumandangkan takbir raya secara serentak selama satu hari.

Puasa Syawal
Ada amal ibadah yang sangat dianjurkan dan hukumnya sunat di bulan Syawal iaitu puasa sunat Syawal selama 6 hari. Namun, perlaksanaannya tidak boleh dilakukan pada 1 Syawal kerana pada hari tersebut diharamkan untuk berpuasa.
Salah satu hadis yang menyebutkan tentang keutamaan puasa Syawal yakni hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi dan Ibnu Majah.
“Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti puasa setahun penuh.” 
(HR.Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Puasa sunat Syawal dilakukan selama 6 hari.
Lebih utama dilaksanakan sehari selepas 1 Syawal, namun tidak mengapa jika diakhirkan asalkan masih di bulan Syawal.
Lebih utama dilakukan secara berturutan.
Usahakan untuk menunaikan puasa ganti terlebih dahulu.
Boleh melakukan puasa sunat Syawal pada hari Jumaat dan Sabtu.

Bulan Disunatkan Melakukan Pernikahan
Bulan Syawal juga disunnahkan untuk bernikah bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan orang-orang Arab Jahiliyyah yang menganggap bahawa pernikahan di bulan Syawal adalah terkutuk dan akan berakhir dengan penceraian.

Sehingga para ibu bapa dan wali pada zaman jahiliyyah tidak mahu menikahkan anak-anak perempuan mereka begitu juga para wanita tidak mahu dinikahkan pada bulan tersebut. Bagi menghilangkan kepercayaan tersebut, pernikahan di bulan Syawal dijadikan sebagai sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Terdapat hadis sahih dari Aisyah radhiyallahu’anha berkata :
تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي
“Rasulullah S.A.W menikahiku pada bulan Syawal dan berkumpul denganku pada bulan Syawal, maka siapa di antara isteri-isteri beliau yang lebih beruntung dariku?”
( HR Muslim no. 2551, At-Tirmidzi no. 1013, An-Nasai no. 3184, Ahmad no. 23137 )

Istiqamah Melakukan Ibadah Di Bulan Syawal
Walaupun Ramadan sudah berganti menjadi Syawal, jangan kita tinggalkan ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan. Seperti yang telah disebutkan di atas tadi, bulan Syawal adalah bulan kemenangan. Maka dari itu, kita mesti menjaga kemenangan ketika Ramadan di bulan Syawal ini.
Salah satu untuk menjaga kemenangan tersebut adalah berusaha menjadi yang lebih baik lagi dari sebelumnya. Melatih menahan diri dari segala hawa dan nafsu dengan berpuasa sunat di Bulan Syawal.
 
Bulan Ramadan juga merupakan bulan yang penuh dengan hikmah dan pembelajaran bagi kita semua. Belajar untuk istiqamah dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hikmah lainnya yang boleh kita dapatkan adalah dengan mengumpul pahala di bulan Ramadan sehingga di bulan syawal kita boleh meraih kemenangannya. Apabila itu tetap dilaksanakan secara istiqamah, maka kemenangan seterusnya akan kita rasakan di akhirat kelak. 

………………………………………………………...........
Aisyatul Kamilin binti Abd Jalil 
(Timbalan Lajnah Penerangan & Penerbitan Sesi 2022/2023) 
 
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan” 
“Ukhuwah Dipateri, Thaqafah Diamati” 
 
#BKPPPM_KeluargaKita 
#Bersama_Bersatu





Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL