MINDA PIMPINAN | THABAT DAN ISTIQAMAH

THABAT (الثبات) membawa maksud tetap dan teguh serta tidak berubah. Dalam ajaran Islam ada perkara-perkara yang dinyatakan secara tetap atau qat’ie tidak boleh dipindah dan diubah dasar dan prinsipnya.

Terdapat 3 konsep thabat , antaranya ialah :

1. Akidah

• Akidah ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Kita wajib menyakini Allah SWT sebagai Rabb iaitu mengakui dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT sahajalah yang memiliki, menurunkan rezeki, mencipta dan mentadbir seluruh makhluk dan mengakui bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah, ditaati, dan dipatuhi secara mutlak.

• Dalam keyakinan ini tidak ada kelonggaran dan toleransi dengan sebarang unsur-unsur syirik yang boleh merosakkan kepercayaan kepada Allah SWT seperti mempercayai kuasa lain mampu menandingi kuasa Allah SWT atau menyembah sesuatu selain daripada Allah SWT.

• Konsep thabat dalam akidah dapat dilihat dalam kisah Rasulullah SAW yang ditawarkan dengan pelbagai hadiah agar baginda bertoleransi dengan kepercayaan musyrikin Makkah, namun baginda tetap dengan keyakinannya.

Maksudnya :
“ Dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah. Dan bukan penyembah apa yang aku sembah. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku”

2. Ibadat

• Dalam ibadat wajib seperti solat fardu, puasa di bulan Ramadhan, haji dan zakat tidak ada toleransi dalam rukun, syarat sah dan waktu pelaksanaannya. Perkara tersebut tetap tidak berubah kerana telah ditetapkan oleh Allah SWT.

• Ibadat solat telah ditetapkan lima waktu sehari semalam dan tidak boleh dikurangkan jumlahnya. Ibadat puasa telah ditetapkan dalam bulan Ramadan dan tidak boleh dilakukan dalam bulan-bulan lain. Begitu juga ibadat haji dan zakat telah ditetapkan rukun-rukun dan syarat-syaratnya yang tidak boleh diubah.

• Kita wajib menunaikan ibadat wajib ini walau dalam situasi dan keadaan apa sekalipun. Ketetapan ini tidak membebankan hamba-Nya ia mampu dilakukan oleh manusia.

Maksudnya :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”
( surah al-Baqarah ayat: 183)

3. Ketetapan Syariat

• Syariat Islam telah menetapkan pelbagai hukum untuk mengatur kehidupan manusia seperti hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Demikian juga dalam hukum jenayah, Islam telah menetapkan hukuman tertentu mengikut kesalahan. Ketetapan ini tidak berubah sehinggalah hari kiamat.

• Hukum halal dan haram sesuatu perkara seperti riba, monopoli, makanan haram, dan rasuah tidak boleh diubah hukum haramnya. Begitu juga hukum jenayah yang meliputi hukum qisas, hudud, dan takzir tidak boleh diubah sama ada ditambah atau dikurangkan pelaksanaan hukumannya. Contohnya hukuman terhadap pencuri telah ditetapkan potong tangannya dan penzina yang belum berkahwin ditetapkan seratus kali sebat. Pelaksanaan hukuman ini tidak boleh dikurangkan atau diubah mengikut budi bicara seseorang.

Maksudnya :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَأْكُلُوا الرِّبٰوٓا اَضْعَافًا مُّضٰعَفَةً ۖوَّاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَۚ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan dan mengambil riba dengan berlipat kali ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya” 
( surah al-Imran : 130 )

Firman Allah Surah Hud ayat 112,

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka istiqamahlah kamu (Muhammad) di jalan yang benar, sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga kepada orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Manakala , yang dimaksudkan ISTIQAMAH pula ialah , tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan.

Seperti dalam kisah sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah bin Ummi Maktum yang istiqamah beribah dan iblis adalah penjaganya. Sebagai hamba yang istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT, setiap azan berkumandang, Abdullah yang buta berjalan meraba-raba menyambut panggilan-Nya, tak terkecuali dalam subuh yang gelap. Hingga suatu hari, Abdullah tersadung sebuah batu hingga tersungkur, darah pun mengalir di wajahnya. Namun Abdullah kembali bangkit, sambil mengusap darah yang membasahi wajahnya, ia pun meneruskan perjalanan ke masjid. 

Sejak saat itu, ada seorang lelaki yang dengan ramah selalu menjemput dan menuntun Abdullah pulang dan pergi ke masjid, setiap waktu solat tiba. Hal ini ternyata tidak hanya sekali dilakukan lelaki asing itu. Setiap hari ia selalu menuntun Abdullah ke masjid dan kemudian menghantarkannya kembali ke rumah.

Hingga suatu hari Abdullah menanyakan nama dan asal lelaki itu, lelaki itu menjawab, “Tak perlu kau tahu namaku dan jangan mendoakanku, kerana sesungguhnya aku ini Iblis”.

Secara tiba tiba Abdullah terkejut, “Bagaimana mungkin kau selalu menghantarku ke masjid sedangkan pekerjaanmu adalah menghalangi orang beribadah kepada Allah?” tanya Abdullah.
Iblis menjawab, “Ingatkah saat kau berjalan untuk solat subuh ke masjid, lalu kau tersadung dan terjatuh sehingga wajahmu terluka parah? saat itu aku mendengar para malaikat berkata bahawa Allah mengampuni setengah dosamu. Aku khawatir jika kau tersadung lagi, maka setengah dosamu yang lain akan diampuni Allah juga. Maka aku terpaksa menghantarmu ke masjid.”

Istiqamah menjadi hal yang penting bagi seorang muslim, kerana amalan yang dilakukan secara berterusan akan menjadi ladang pahala dan menjadi perantara dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Sikap istiqamah juga dipegang teguh oleh para sahabat dalam mempertahankan keimanan mereka, betapa apa pun ejekan, ugutan dan penyiksaan terus menimpa. Lihatlah penyiksaan yang dialami oleh Bilal bin Rabah, namun semua bentuk ugutan dan penyiksaan tersebut sama sekali tidak menggoyahkan keimanannya.
 
Kita sebagai kaum muslimin juga diperintahkan oleh Allah SWT untuk beristiqamah dalam memegang teguh dan menjalankan agama ini dengan disertai memohon ampun kepada-Nya. 
(Surah Fussilat: 6).

Istiqamah menjadi penting di dalam beragama mahupun di semua bidang usaha kerana ia merupakan kumpulan dari cabang ibadah dan keimanan serta pembuka bagi jalan yang lurus, Maka Rasulullah SAW pun berwasiat kepada kita semua agar kita senantiasa beristiqamah, "Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah."
(HR. Muslim).

Sedemikian pentingnya sikap istiqamah, sehingga tidak ada satu usaha (ikhtiar) yang berakhir pada keberhasilan tanpa dilandasi oleh sikap istiqamah. Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk mengenai sikap istiqamah melalui sabdanya, "Tidaklah istiqamah iman seseorang sampai hatinya istiqamah. Dan sekali-kali hati seseorang tidak akan istiqamah sampai lisannya dulu istiqamah).”

Adapun keuntungan bagi orang-orang yang istiqamah, maka mereka ini akan senantiasa merasa dekat dengan Allah, tenang hati dan fikirannya, pandai menerima takdir, tidak takut dan khawatir dalam menghadapi segala macam cubaan dan rintangan dalam kehidupan dunianya, selalu optimis dan tidak kenal kata putus asa.

Kesimpulannya, sebagai kaum muslimin, tentu kita berharap agar dapat istiqamah dalam setiap ibadah dan perbuatan baik yang kita lakukan. Namun, untuk menerapkan istiqamah dalam ibadah dan perbuatan baik tidak semudah yang dibayangkan . Jadi , kita mestilah perbanyakkan berdoa supaya Allah tetapkan hati-hati kita dalam melaksanakan segala amal ibadah.

......................................................................

Noor Amni binti Mohd Zaki
(Timbalan Lajnah Ekonomi Sesi 20/21)

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "
" Ukhuwah Berkualiti Wehdah Dirahmati "

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu


Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA