EMPAT PERKARA ASAS DALAM MENUNTUT ILMU

 


EMPAT PERKARA ASAS DALAM MENUNTUT ILMU



Firman Allah SWT :


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ • خَلَقَ ٱلۡإِنسَنَ مِنۡ عَلَقٍ • ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ • ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ • عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ

Maksudnya : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. "

(Surah Al-'Alaq : 1-5)


Ayat ini menunjukkan bahawa manusia menerima ilmu bermula dengan pendidikan menerusi tulis dan baca. Membaca dan menuntut ilmu menjadi tuntutan kepada kita bukan hanya sekadar mengisi masa lapang dan hobi.

 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: طلب العلم فريضة على كل مسلم ومسلمة

Rasulullah saw bersabda : "Menuntut ilmu wajib bagi muslim lelaki dan muslim perempuan".



Menuntut ilmu adalah kewajipan kepada kita sehingga ada yang mengatakan mengetahui dan mempelajari mengenai ilmu Hal iaitu ilmu agama Islam adalah yang utama, seperti yang disebutkan oleh Syeikh Az-Zarnuji dalam kitab Ta'lim Al-Muta'alim :

"Ilmu agama adalah sebagian wasilah untuk mengerjakan kewajiban agama. Maka, mempelajari ilmu agama hukumnya wajib. Misalnya ilmu tentang puasa, zakat bila berharta, haji jika sudah mampu, dan ilmu tentang jual beli jika berdagang."

Di samping itu, kita juga perlu mengetahui asas-asas dalam belajar agar tidak timbulnya persoalan mengapa ilmu yang dihafal atau dipelajari mudah lupa, tidak faham dan sebagainya. Antara asasnya :



1. NIAT DALAM MENCARI ILMU

Sering kali, setiap amalan yang dilakukan sama ada ibadah atau rutin seharian digandingkan dengan niat. Hal ini demikian, perbezaan antara adat dan ibadat adalah dengan niat.


عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر ابن الخطاب رضي الله عنه قال، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: إ نما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرىء ما نوى..

Maksudnya : Dari Amir Al-Mukminin Abu Hafs Umar Ibn Al-Khattab RA, katanya : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Hanya segala 'amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. 

(HR Bukhari dan Muslim)


Hadis ini mempunyai martabat yang tinggi dalam jurusan hukum Islam kerana banyak didasarkan kepadanya. Selain itu, wajib niat belajar kerana Allah Taala kerana niat itu menjadi tunjang segala sesuatu dan niat menjadi sebab utama melahirkan amal. Dan wajib niat belajar untuk beramal. Tiada kertas tanpa pena, tiada amal tanpa niat. Jelaslah bahawa niat diletakkan pada haluan atau tujuan yang betul iaitu beramal dengan setiap ilmu yang diperolehi. Tamsilannya, pokok yang tumbuh tinggi mencecah bumi jika tidak berbuah maka tidak memberi sebarang hasil kepada tuannya. Dalam menunutut ilmu, perkara utama yang ingin dicapai ialah natijah dalam berilmu iaitu redha Allah SWT, kemudian beramal.



2. KESUNGGUHAN DALAM BELAJAR

Firman Allah Taala :


وَالَّذِيۡنَ جَاهَدُوۡا فِيۡنَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَا ‌ؕ وَاِنَّ اللّٰهَ لَمَعَ الۡمُحۡسِنِيۡنَ

Maksudnya : "Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang yang berbuat baik." 

(Surah Al-Ankabut : 69)


Dalam belajar, asas kedua yang harus kita faham ialah bersungguh-sungguh dalam belajar. Ayat di atas menunjukkan kemudahan dalam kesungguhan menunutut ilmu. Allah SWT tidak akan menghampakan hambanya yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu bahkan ditambah pula kemudahan dalam mencari ilmu. Rasulullah SAW bersabda,


من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة

Maksudnya : " Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga." (HR Muslim)


Siapa yang menempuh jalan Allah dengan mencari ilmu dan tidak berhenti diberikannya kemudahan masuk ke syurga. Tidak ada jalan untuk menggapai redha Allah, mengenal Allah dan masuk ke syurga melainkan dengan berilmu dan bersungguh-sungguh.



3. BELAJAR UNTUK MENYAMPAIKAN DAN MENAMBAHKAN KEFAHAMAN


Tidak datangnya suatu kefahaman itu pada jalan mengulang kaji sahaja tetapi juga pada jalan menyampaikan ilmu kepada orang lain. Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. 

Rasulullah SAW bersabda,

خَيْرُ الناسِ أَنفَعُهُم لِلنَّاسِ

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” 

(Hadis Riwayat ath-Thabrani)


Menjadi peribadi yang bermanfaat adalah salah satu karakter yang harus dimiliki oleh seorang Muslim dalam melengkapkan ciri-ciri fardhu Muslim. Syeikh Hassan Al-Banna menggariskan karakter ini dalam 10 Muwasafat Tarbiyah pada item yang terakhir iaitu memanfaatkan untuk orang lain. Konsep Ilmu apabila dikongsi akan menambahkan kefahaman bukan berkurang seperti harta dan wang ringgit.



4. BELAJAR BUKAN UNTUK RIYA' ATAU DIPANGGIL ALIM


Sudah diterangkan pada asas yang pertama. Niat belajar untuk meraih redha Allah SWT bukan untuk berdebat, dipanggil alim atau menarik ramai pengikut. Tidak, jika diniatkan seperti berikut maka tujuan dan haluan yang dibawa juga salah serta tidak menatijahkan amal.


Ketahuilah, antara sifat dan akhlak orang berilmu ialah :

1- Setiap kali bertambahnya ilmu, maka akan bertambah sifat rendah diri.

2- Setiap amalnya bertambah, maka bertambah juga perasaan takut dan berhati-hati.

3- Orang berilmu bersifat tawaduk tanpa merendahkan orang yang tidak berilmu.

4- Bersabar dan tabah dalam menuntut ilmu dan berkongsi bersama orang yang jahil.

5- Tidak menjadikan berilmu itu untuk mendapatkan jawatan atau pangkat.

 


KESIMPULAN

Ilmu itu sangat penting karena itu sebagai perantara (sarana) untuk bertaqwa. Dengan taqwa inilah manusia menerima kedudukan terhormat disisi Allah, dan keuntungan yang abadi.


Firman Allah SWT :


يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya : " Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: "Berilah kelapangan di majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu," maka berdirilah, maka Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti akan apa yang kamu kerjakan ".


Syarat Allah Taala mengangkat darjat kita ialah mesti beriman, berilmu serta beramal.


Sebagaimana dikatakan Muhammad bin Al-Hasan bin Abdullah dalam syairnya : "Belajarlah! Sebab ilmu adalah penghias bagi pemiliknya. dia perlebihan, dan pertanda segala pujian, Jadikan hari-harimu untuk menambah ilmu. Dan berenanglah di lautan ilmu yang berguna."


Amalkan asas dalam berilmu agar menatijahkan amal yang ikhlas.



Kredit Penulis : 

Nurul Atikah Binti Abdul Manaf
Fasilitator BKPPPM, 
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar As-Syarif. 

....................................................

“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“BKPPPM_KeluargaKita”
“Bersama_Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL