MINDA PIMPINAN | JAUHI IKHTILAT TIDAK SYARIE

 


JAUHI IKHTILAT TIDAK SYARIE

 

“ Takkan la aku ni lelaki nak duduk bersembang-sembang dengan perempuan tu pun tak boleh? Bukannya aku ada perasaan pun dengan dia, kitorang kan satu kelas, dah kawan lebih 3 tahun dah pun, takkan itu pun ikhtilat..”

 

“ Kitorang nak belajar sama-sama je pun, takkan itu pun dikira ikhtilat?”

 

Dialog sebegini sering sahaja timbul dalam komuniti kita.  Sering sahaja istilah ikhtilat itu disebut-sebut, tetapi adakah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat itu sendiri? Adapun jika kita telah memahaminya, adakah kita berusaha untuk menjaganya?Walaubagaimana pun, bagi menjelaskan situasi diatas samada dibenarkan dalam Islam mahupun sebaliknya, eloklah kita fahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat serta apakah hukum dan hikmah Islam menggariskan syarat-syarat tertentu dalam keharusan ikhtilat. Ianya sekadar peringatan untuk diri saya sendiri sebagai orang yang berkongsi dan sahabat-sahabat semua dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lebih sempurna.

 

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”

[surah al-Ghaasyiyah : 88]

 

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat?

 

Ikhtilat bermaksud pergaulan secara bebas diantara lelaki dengan perempuan yang ajnabi (orang yang tidak ada pertalian darah dan boleh berkahwin dengannya)pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan, ditempat yang sunyi mahupun terbuka.

 

 Ianya terbahagi kepada dua bentuk:

 

(i) Ikhtilat tidak syarie (yang tidak mengikut syariat Islam). Sebagai contoh:

 

•Yang boleh menjatuhkan maruah diri sebagai seorang muslim.

 

•Percampuran yang boleh mendatangkan fitnah seperti percampuran ditempat yang sunyi atau tempat yang bukan kebiasaan perkumpulan seperti dewan atau bilik kuliah.

 

•Berlaku perkara-perkara yang bercanggah dengan adab-adab Islam seperti bergurau senda antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.

 

•Percampuran dengan bukan pada matlamat yang dibenarkan atau bukan pada sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan.

 

•Percampuran yang tidak mengasingkan tempat lelaki dan perempuan.

 

(ii) Ikhtilat syarie (yang berlandaskan syariat Islam)

 

•Mempunyai hajat yang memerlukan penglibatan antara lelaki dan perempuan.

 

•Menjalankan tuntutan dakwah dan amar makruf nahi mungkar .

 

•Menghadiri jemputan.

Menunaikan haji dan

Menuntut ilmu atau bermesyuarat.

 

Apakah hukum ikhtilat?

 

Daripada definisi yang dinyatakan ini memberikan penjelasan kepada kita bahawa pergaulan antara sesama jantina adalah berbeza hukumnya dengan berlainan jantina. Asas pergaulan sesama jantina adalah harus. Manakala pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram.

 

Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih tidak faham kenapa Islam menetapkan hukumnya haram. Secara mudahnya kerana ia merupakan perintah daripada ALLAH SWT. Menerusi surah An-Nur, ALLAH SWT memerintahkan golongan lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan serta kemaluan masing-masing. Ini adalah isyarat kepada kewajipan menjaga ikhtilat terutamanya yang dilarang kerana sudah menjadi fitrah bagi lelaki dan perempuan itu sendiri yang sentiasa tertarik antara satu sama lain, jadi Islam datang untuk menguruskan fitrah tersebut dengan sebaiknya.

 

Ikhtilat yang tidak dijaga juga boleh membawa kepada zina yang diharamkan kerana lelaki dan wanita ini telah Allah jadikan saling ingin menginginkan antara satu sama lain, bermula dengan berpandangan mata, senyum, bagi salam, bersembang, membuat perjanjian untuk berjumpa, kemudian berjumpa, dan akhirnya mungkin boleh terjerumus ke lembah  penzinaan. Sebagai balasannya, mereka yang terjerumus ke lembah ini akan dimasukkan ke dalam api neraka di akhirat kelak. Kesemua ini adalah jalan zina. ALLAH juga menyebut dalam Al-Quran dengan lafaz “ Jangan menghampiri zina”. Maksudnya semua jalan yang boleh membawa kepada perbuatan zina adalah haram termasuk pergaulan bebas atau ikhtilat yang tidak dijaga seperti yang disebutkan ini.

 

Jadi kalau haram, bagaimana cara kita nak belajar, mahupun bekerja nanti?

 

Dalam hal ini, Ulama’ dari ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendapat yang pertengahan, iaitu bersederhana dalam percampuran antara lelaki dan perempuan, ianya tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak juga menghalalkan secara mutlak. Namun apa yang perlu kita jelaskan disini, semua perkara yang hukum asalnya adalah haram amatlah perlu diteliti dengan sebaiknya. Oleh itu Ulama’ telah menggariskan beberapa keadaan yang membolehkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan, yang haram pada asalnya bertukar kepada sesuatu yang diharuskan.

 

•Dharurah (keadaan terpaksa)

-Iaitu dalam keadaan ingin menyelamatkan dari keburukan yang lebih besar. Sebagai contoh mudah, seorang doktor lelaki ingin menyelamatkan pesakit wanita (atau sebaliknya)  yang terpaksa membuka aurat, maka ianya diharuskan. Namun jika doktor tersebut berlebih-lebihan dengan membuka tempat yang tiada kena mengena sewaktu rawatan, maka hukumnya kembali haram. Contoh yang lain adalah ingin menyelamatkan dari kehilangan nyawa dalam kemalangan atau keadaan bahaya, kehilangan maruah dan banyak lagi.

 

•Hajat (keadaan keperluan)

-Contohnya keadaan seperti dalam gerak kerja (mesyuarat, perbincangan & program),  menuntut ilmu, berjual-beli, kerja-kerja kehakiman, menjadi saksi, melaksanakan amar maaruf nahi mungkar, melayan tetamu, dalam kenderaan awam, percampuran yang menjadi kebiasaan dalam keluarga. Maka keadaan-keadaan tersebut adalah dibenarkan, akan tetapi jika ianya meleret sehingga bersembang-sembang kosong yang mana tiada kena mengena dengan hajat, maka hukumnya kembali kepada hukum asalnya, haram.

 

Firman Allah dari surah an-Nur ayat 30 dan 31 yang bermaksud:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.”

 

Daripada ayat ini juga menunjukkan pergaulan (ikhtilat) itu dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan beberapa adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Perkara-perkara inilah yang akan mengekang sikap-sikap serong dalam pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi, agar tidak berlaku perkara maksiat.

 

Antara adab dan disiplin dalam pergaulan adalah:

 

1. Memastikan niat kita kerana Allah bukan sekadar untuk sembang-sembang kosong.

 

2. Memastikan matlamat pergaulan pada perkara yang sepatutnya seperti yang dijelaskan diatas samaada dalam keadaan yang memaksa atau keperluan sahaja.

 

3. Menundukkan pandangan sama ada lelaki mahupun perempuan.

 

4. Tidak bersentuhan antara kulit mahupun berlapik.

 

5. Sentiasa menutup dan menjaga aurat.

 

6. Percepatkan urusan serta menjaga adab dalam berkomunikasi, ianya ringkas dan mudah difahami, tidak meleret dan berlebihan. Tidak melunakkan suara bagi perempuan sehingga boleh menarik minat lelaki.

 

7. Mengasingkan tempat dengan pengasingan yang jelas samada kiri dan kanan mahupun depan dan belakang.

 

8. Dibawah kawalan orang yang dipercayai dan memahami hukum Islam dan mampu menegur jika berlaku pemesongan daripada landasan Islam/ maksiat. Sebagai contoh dalam komuniti mahasiswa Malaysia di Mesir, peringkat JAKSI menetapkan pasangan yang sudah berkahwin sebagai orang yang dipercayai.

 

InsyaAllah diri kita akan berada dalam keadaan selamat sekiranya kita mengamalkan adab-adab ikhtilat dalam Islam. Sayangi serta cintailah diri kita. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat mardhatillah dan syurgaNya yang abadi. Jangan sia-siakan usia kita dengan perkara yang tidak diredhai Ilahi. Ketahuilah bahawa hidup dan mati kita hanya untukNya. Jadi, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita ke arah kebaikan. Semoga kita semua menjadi insan soleh dan solehah yang muslih dan memuslihkan. InsyaAllah.

 

...........................................................................................

 

Nur Sayyidah Fathimah Binti Abd Rahim

(Timbalan Lajnah Perumahan BKPPPM 2020/2021)

 

“ Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan “

“ Ukhuwah Berkualiti Wehdah Dirahmati “

#BKPPPM_KeluargaKita

#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

AMALAN DUNIAWI VS AMALAN UKHRAWI

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden