MINDA PIMPINAN | MERDEKA DALAM TAKWA


 

MERDEKA DALAM TAKWA

 

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia. Tarikh dimana Malaysia bebas merdeka dari penjajahan kuasa luar. Kini genaplah 64 tahun Malaysia merdeka. Persoalannya disini, adakah merdeka ini hanya tertumpu kepada kebebasan sesuatu negara sahaja dan adakah realiti kehidupan masyarakat Malaysia sekarang ini di dalam sebuah kebebasan atau kemerdekaan yang hakiki?

 

Mengimbau kembali sejarah, setelah negara mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, maka wujudlah sebuah negara yang mempunyai undang-undang tersendiri seterusnya memberi kuasa kepada orang Islam membentuk negara berdaulat mengikut acuan agama.Pada zaman penjajahan British, banyak kekangan dalam pelaksanaan tanggungjawab sebagai Muslim tetapi selepas kemerdekaan, negara kita sudah tidak lagi ditekan justeru membolehkan masyarakat melaksanakan tuntutan agama dengan bebas.

 

Umat Islam di negara ini wajib bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai. Dengan naungan rahmat dan hidayah Ilahi, setiap lapisan masyarakat dapat merasai nikmat kemerdekaan sehingga kini. Seiring laungan kemerdekaan berkumandang seluruh negara, bendera Jalur Gemilang dikibarkan mencerminkan kegemilangan Malaysia mewujudkan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama sebagai masyarakat harmoni dan sejahtera.

 

Sifat majmuk ialah realiti yang sepatutnya direnung dan dihayati manusia. Firman Allah SWT: “ Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

[Al-Hujurat: 13]

 

Ia memaparkan ramuan yang dijadikan Allah SWT di dunia dalam keadaan sangat indah dengan kewujudan pelbagai bangsa, bahasa dan agama hingga manusia boleh bertukar-tukar fikiran, pendapat serta pengalaman, sekali gus mewujudkan perpaduan jitu dengan keadilan Ilahi melalui perhiasan moral dan akhlak terpuji.Mafhum ayat itu menegaskan manusia dalam kalangan pelbagai bangsa dan bahasa boleh bersatu serta hidup dalam negara dengan aman harmoni. Fakta ini menyerlahkan tanda kekuasaan Allah SWT dan kebijaksanaan-Nya supaya kita berfikir dan seterusnya mengakui keesaan-Nya.

 

Pengibaran Jalur Gemilang sewaktu memperingati kemerdekaan melengkapkan penghayatan setiap manusia terhadap erti dan hakikat kemerdekaan. Bendera ialah lambang yang cukup simbolik bagi setiap warga Malaysia supaya dapat menggemilangkan diri dengan sifat kemanusiaan dan dimuliakan Allah SWT dengan moral dan akhlak terpuji.

 

Bendera mempunyai sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah Islam seperti berlaku apabila kuasa besar dunia, Rom mengumpulkan bala tenteranya untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Madinah. Dalam kerancakan peperangan, tangan kanan seorang panglima tentera Islam, Jaafar ibnu Abu Talib RA yang memegang bendera dipotong, lalu beliau menukarkannya kepada tangan kiri. Apabila tangan kirinya dipotong, beliau memegang dengan tunggul tangannya hingga kepalanya dipancung tetapi sahabat lain pula menyambung tugas mengibarkan bendera.

 

Begitulah nilai bendera dalam kalangan sahabat yang bangga dengan Islam dan penampilan akhlak terpuji mempertahankan Islam daripada sebarang pencerobohan luar. Sekurang-kurangnya bendera itu mencetuskan semangat dan daya juang tentera Islam untuk terus berjuang menegakkan hingga titisan darah terakhir.Itulah makna yang sepatutnya dijelmakan dalam setiap peribadi Muslim untuk terus berusaha dan berjuang memartabatkan kembali Islam serta umatnya sebagai umat terbaik dalam semua lapangan hidup.

 

Hakikat kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan sama ada bangsa, fikiran atau kebudayaan seperti difahami kebanyakan, sebaliknya menurut perspektif Islam, ia bermakna kebebasan manusia untuk dapat menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

 

Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

[ Al-Dzariyat: 56 ]

 

Manusia merdeka, hidup dalam keadaan fitrah, ketentuan dan pedoman penciptanya, sekali gus sesuai hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan keyakinan dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Malah hidup merdeka ialah hak asasi setiap penghuni alam semesta.

 

Dewasa ini, kebanyakan orang Islam tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia. Ia difahami hidup menurut kehendak hati dan nafsu hingga menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan perkara halal. Mereka memahami merdeka sebagai bebas berfikir, berkehendak dan berbuat tanpa dibatasi sebarang peraturan, nilai atau undang-undang termasuk hukum syarak. Malah agama dianggap sebagai candu yang perlu disingkirkan.

 

Tanpa disedari, pengertian salah dan sempit menguasai pemikiran sebahagian umat Islam sebenarnya antara penjajahan moden dicanangkan Barat hingga mereka jauh daripada fitrah dan pedoman Ilahi. Akibatnya, muncul generasi acuan Barat yang berkeperibadian materialisme, mengutamakan hawa nafsu dan mengagungkan budaya serta gaya hidup Barat.

 

Amat malang apabila umat Islam menguar-uarkan kemerdekaan negara sedangkan seluruh aspek kehidupan seperti pemikiran, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan masih dikuasai idea Barat. Malah kehidupan jauh terpesong daripada aturan hakiki ditetapkan Allah SWT. Oleh itu, umat Islam wajib menyedari hakikat memedihkan itu dan berusaha menyelamatkan diri daripada kemelut meruncing.Satu-satunya jalan keluar ialah kembali kepada pimpinan al-Quran dan sunnah kehidupan Rasulullah yang menjadi tonggak utama kepada kemerdekaan sebenar serta kebangkitan semula umat Islam.

 

TANGGUNGJAWAB KITA DALAM MEMPERTAHANKAN NEGARA


Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan.

Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang dan ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara.Hal ini sudah pasti menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.

 Wallahu a'lam..

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-64.

……………………………………………………………………………………………………………

 

Fatin Nurdini Binti Muhammad Fazli

(Timbalan Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPPPM 2020/2021)

“ Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan “

“ Ukhuwah Berkualiti Wehdah Dirahmati “

#BKPPPM_KeluargaKita

#Bersama_Bersatu

#MalaysiaPrihatin


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL