PENYAKIT HATI DI AKHIR ZAMAN

   Hari kiamat merupakan rukun iman kelima  yang mana pasti akan terjadi dan wajib dipercayai oleh  kita sebagai umat islam. Akan tetapi, tidak ada satu makhluk pun yang mengetahui bila peristiwa ini berlaku.

   Namun, Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada kita tentang tanda-tanda kedatangannya melalui utusanNya. Salah satu daripadanya mengenai dua penyakit akhir zaman yang mana menimpa umat Islam pada masa kini. Penyakit ini lebih berbahaya dari penyakit lain kerana penyakit ini akan membawa penderitaan kepada kita di dunia mahupun akhirat.

   Dalam sebuah hadis, dari Tsauban r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda bahawa “Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu semua dari segala penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni dulang berisi makanan.”

   Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?” Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kamu amat ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di air laut. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu al-Wahn.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn?” Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.”
|H.R Abu Daud|.

   Memang benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya,  keadaan umat Islam pada hari ini telah membuktikan apa yang disabdakan  oleh baginda S.A.W. Meskipun jumlah umat Islam ramai namun mereka kerap menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

   Berdasarkan  hadis ini juga, kita dapat mengetahui bahawa Al-Wahn merupakan salah satu penyakit yang menyakiti  manusia di akhir zaman. Munculnya penyakit ini kerana taksubnya cinta kepada dunia di dalam hati manusia misalnya seperti cinta yang berlebihan kepada harta benda, takhta dan makhluk. Oleh kerana itu, cinta yang  berlebihan kepada dunia akan melahirkan manusia yang takut akan mati. Kenapa  ini terjadi??

Hal ini terjadi disebabkan cinta dunia dan takut mati adalah penyakit yang saling berkaitan dan tidak dapat dipisahkan  antara satu sama lain. Kita dapat lihat di sini, bila mana seseorang itu cintakan dunia yang melampau maka di situ timbulnya sifat tamak, bakhil, riak  dan seumpama dengannya. Sifat-sifat ini akan membuat mereka takut kepada mati kerana mereka lebih senang dengan kehidupan dunia yang melalaikan ini dan tidak sama sekali membuat persediaan untuk menghadapi mati dan mereka menganggap bahawa dunia ini kehidupan yang abadi. Dalam al -Quran Allah telah menjelaskan tentang ini dalam surah al -ankabut :64

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
Konklusinya, bertaubatlah dan memohon ampun kepada Allah S.W.T serta kembali pada tuntutan ajaran Islam .Di sini terdapat langkah-langkah untuk  mengubati penyakit Al-Wahn (cintakan dunia):

1.            Meningkatkan keimanan kepada  Allah sehingga kita beriman dengan seyakin-yakinnya.
2.            Sering kali mengkaji dan memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.
3.            Menghayati konsep kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
4.            Memantapkan dan meningkatkan kualiti ibadah.


   Demikianlah perkongsian tentang penyakit hati yang menimpa umat Islam akhir zaman ini. Sesungguhnya hal-Hal ini banyak berlaku  dalam kalangan kita. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga diri kita dari terjerumus daripada penyakit ini. Wallahu’alam..

NOR NAZIHAH BINTI RAMLI
(Timbalan Lajnah Dakwah Badan
 Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir sesi 2016/17)

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL