[TINTA MUTIARA | AGAR REZEKI TIDAK LAGI MISTERI]
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى آله واصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين ،
أما بعد
Firman Allah SWT :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ
إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا
كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
"Tidak ada satu makhluk melata pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin
ALLAH rezekinya."
(Surah Hud : 6).
Banyak teka-teki yang tanpa sedar bermain dan timbul di
fikiran kita tentang rezeki setiap dari kita antaranya; kenapa kita tidak
sekaya dia sedangkan kita lagi rajin beribadah? Kenapa dia lagi pandai dari
kita? Kenapa dia ala tul dalam imtihan? Kenapa dia sekian-sekian...
Sebagai hamba Allah yang beriman, tidak wajar bagi kita
berfikiran sebegitu kerana setiap dari kita ada rezeki dan bahagian
masing-masing. Rata-rata kita ada yang salah faham bahawa rezeki ini hanyalah
kepada bilamana dikurniakan harta yang banyak. Hakikatnya, rezeki merangkumi
rezeki dikurniakan kejayaan, anak, pangkat, jodoh, pengalaman yang lebih,
sahabat yang soleh dan lain-lain. Jadi tidak perlu iri dengan rezeki yang
dimiliki orang lain. Allah lebih
mengetahui apa yang kita perlukan di dunia ini sehingga rezeki yang sudah
ditetapkan merupakan yang terbaik untuk hambaNya. Allah lebih tahu batas
kemampuan kita, jika diberi kekayaan melimpah, boleh jadi kita akan banyak
berbuat maksiat dan lupa kepadaNya. Jadi kita selaku hamba perlu menerimanya
dan jangan terlalu banyak mempersoalkan.
Sepertimana firman Allah SWT :
لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا
وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَیۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ
Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang
dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.
(Surah Al-Baqarah : 286)
Kembali kepada skop kita selaku penuntut ilmu. Perjalanan
menuntut ilmu bukanlah suatu hal yang mudah. Banyak rintangan yang akan
dihadapi seperti sifat malas. Walaupun rezeki kita sudah diatur, bukanlah
bererti kita boleh bermalas-malasan. Kamu mengharapkan kejayaan namun laluan
yang kamu lalui langsung tidak menunjuk kearah tersebut. Ada pepatah arab
mengatakan : ‘Sampan tidak akan bergerak di atas daratan’. Kita tidak pernah
tahu takdir apa yang akan terjadi untuk kita. Oleh sebab itu, perlu adanya
usaha yang kuat dan jitu untuk menjemput rezeki Allah SWT. Sebagai hamba, janganlah
kita merasa putus asa ketika mengalami kesulitan atau kesusahan kerana Allah
SWT selalu memberikan jalan bagi hambaNya yang berusaha dan pasrah kepadaNya.
Tentang masalah ini, jangankan kita, sahabat Rasulullah pun
menanyakan hal yang sama, buat apa berusaha dan bersusah payah jika sudah
ditakdirkan buruk?
“Wahai Rasulullah! Kalau begitu
apakah tidak sebaiknya kita berserah diri kepada takdir kita dan meninggalkan
amal-usaha? Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang telah ditentukan
sebagai orang yang berbahagia, maka dia akan mengarah kepada perbuatan
orang-orang yang berbahagia. Dan barangsiapa yang telah ditentukan sebagai
orang yang sengsara, maka dia akan mengarah kepada perbuatan orang-orang yang
sengsara. Kemudian beliau melanjutkan sabdanya: Beramallah! Kerana setiap orang
akan dipermudah! Adapun orang-orang yang ditentukan sebagai orang berbahagia,
maka mereka akan dimudahkan untuk melakukan amalan orang-orang bahagia. Adapun
orang-orang yang ditentukan sebagai orang sengsara, maka mereka juga akan
dimudahkan untuk melakukan amalan orang-orang sengsara. Kemudian beliau
membacakan ayat berikut ini: “Adapun orang yang memberikan hartanya di jalan
Allah dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka
Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang yang
bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka
kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar.”
(Hadis Sahih Muslim : 4786)
Natijah setelah berusaha pastinya Allah akan berikan
kejayaan kepada kita. Namun, apabila Allah telah berikan kejayaan atau rezeki
yang melimpah ruah, janganlah pula kita kufur atau lupa diri. Hendaklah kita
memanifestasikan kejayaan itu dengan rasa syukur.
Rukun syukur terbahagi kepada tiga :
- Mengakui dalam hati semua nikmat itu daripada Allah SWT.
- Menyebut-nyebut semua nikmat secara memuji Allah.
- Menggunakan nikmat ke jalan yang diredhai Allah .
Akhir kalam ,
ENGKAU MENGHARAPKAN KEJAYAAN YANG TINGGI DENGAN HARGA YANG
MURAH (SAMBIL LEWA), SEDANGKAN ORANG YANG INGIN MEMPEROLEH MADU MESTI BERTARUNG
DENGAN SENGATAN LEBAH .
Bittaufiq wan najah .
Wallahua’lam .
Ain Zubaidah binti Harun
Kuliah Usuluddin Jabatan Tafsir
Penasihat Hewi BKPPPM sesi 2023/2024
Comments