MINDA PIMPINAN | PENGORBANAN YANG DIGANJARI





PENGORBANAN YANG DIGANJARI


    Pengorbanan adalah merelakan sesuatu yang berharga sama ada harta, tenaga bahkan nyawa untuk diberikan kepada sesuatu yang kita cintai. Bagi orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT seharusnya perlu menyelami hakikat sebenar erti pengorbanan. Sikap ingin berkorban itu tidak sepatutnya hanya wujud ketika tiba musim perayaan, sebaliknya perlu berterusan sepanjang masa. Islam menyarankan umatnya melakukan korban bukan sekadar penyembelihan haiwan ketika sambutan Aidiladha tetapi pengorbanan membantu sesama ahli keluarga, rakan-rakan, jiran dari apa jua sudut sekalipun seperti tenaga, harta dan sebagainya.


Firman Allah SWT :  

قُلۡ إِنَّ رَبِّی یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَیَقۡدِرُ لَهُۥۚ وَمَاۤ أَنفَقۡتُم مِّن شَیۡءࣲ فَهُوَ یُخۡلِفُهُۥۖ 

وَهُوَ خَیۡرُ ٱلرَّ ٰ⁠زِقِینَ 


Maksudnya : "Katakanlah, sungguh Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yg dia kehendaki diantara hamba-hambanya. Dan apa sahaja yg kamu infakkan, Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yg terbaik ". 

[ Saba' ; 39 ]


    Apabila tibanya bulan Zulhijah, kita akan diingatkan kepada kisah Nabi Ibrahim AS dimana baginda Nabi menerima perintah daripada Allah SWT untuk menyembelih anak kesayanganya Nabi Ismail. Perintah ini hakikatnya adalah bentuk ujian ketaatan Nabi Ibrahim kepada Allah SWT. Sebelum kita huraikan beberapa hikmah penting dari kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ,  mari kita telusuri semula kisah mereka yang menjadi salah satu ujian mulia dari Allah SWT.


    Dikisahkan, dahulu Nabi Ibrahim menginginkan kelahiran seorang anak yang soleh dan taat kepada Allah. Namun sayangnya, hingga bertahun-tahun lamanya Nabi Ibrahim beserta istri belum juga dikurniakan seorang anak dari Allah. Ternyata isteri Nabi Ibrahim menderita kemandulan. Dengan ikhlas, istri Nabi Ibrahim memilih seorang perempuan yang boleh menjadi isteri kedua Nabi Ibrahim, untuk memberi mereka seorang anak. Nabi Ibrahim pun berkahwin dengan seorang perempuan bernama Siti Hajar. Setelah perkahwinan itu, Nabi Ibrahim pun terus berdoa kepada Allah untuk berikan anak yang soleh dan taat.


    Akhirnya, Allah SWT mengabulkan doa yang terus menerus dipanjatkan Nabi Ibrahim, dengan kelahiran seorang anak yang cerdas dinamakan Ismail. Nabi Ibrahim sangat menyayangi Nabi Ismail, dan bersama-sama dengan isteri mendidik Ismail menjadi anak yang baik, cerdas, dan taat kepada Allah. Setelah Ismail membesar dan dewasa, Nabi Ibrahim bermimpi dan merupakan petunjuk dari Allah SWT, di dalam mimpi tersebut, Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Ismail. Nabi Ibrahim pun menyampaikan mimpi tersebut kepada anaknya.


    Ternyata dengan ikhlas, Nabi Ismail meminta Ayahnya untuk mematuhi dan melaksanakan perintah Allah tersebut. Kemudian, keesokan harinya Nabi Ibrahim dan Ismail berjalan menuju suatu tempat yang kosong. Lalu, Nabi Ismail membaringkan tubuhnya dengan posisi pelipis di atas tanah, dan Nabi Ibrahim bersedia menyembelih. Namun tidak lama kemudian, turun keajaiban dari Allah iaitu seekor kambing yang menjadi pengganti Nabi Ismail untuk disembelih. 


Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu) ‘Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim’. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.”


Dari kisah Nabi Ibrahim dan Ismail tersebut, mengandung hikmah berkorban yang patut diteladani. Antaranya :


1. Seruan untuk sentiasa patuh dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

    Allah SWT mengingatkan seluruh manusia bahawa segala sesuatu yang diberikan oleh-Nya adalah sebuah pinjaman. Meskipun sesuatu itu sangat berharga, namun tujuan utama hanyalah rasa cinta dan ketaatan kepada Allah. Melalui kisah Nabi Ibrahim, diketahui bahawa baginda telah berjaya dari ujian berat yang sangat menguji keimanan dan ketaatan seorang hamba terhadap Allah . Di mana, Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail ikhlas mematuhi dan menjalankan perintah Allah, meskipun itu tidak diinginkan. Ternyata dengan ketulusan hati, takdir Allah itu adalah yang terbaik bagi setiap hamba-Nya yang taat kepada-Nya.


2. Kemuliaan Manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT.

    Dalam hal ini, seluruh umat muslim dianjurkan untuk menghargai dan tidak meremehkan pengorbanan nyawa dan darah manusia. Di mana tradisi masyarakat zaman dahulu, mereka sering melakukan pengorbanan nyawa manusia. Hal inilah yang harus dihindari, karena merupakan suatu tindakan yang haram dilakukan dan bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, Allah juga menunjukkan kepada setiap hambanya untuk saling mengasihi antara satu dengan yang lain kerana Allah menciptakan setiap makhluk hidup dalam kemuliaan. Kerana itu, membunuh dan menyakiti seorang manusia sama sahaja seperti membunuh dan menyakiti manusia secara keseluruhan. Untuk itu, setiap manusia harus saling menghormati hak satu sama lain dan hidup berdampingan dengan hukum-hukum Islam.


3. Hakikat pengorbanan.


    Seperti diketahui, ibadah korbanban merupakan salah satu sikap menginfakkan sebagian harta untuk dikongsi bersama manusia yang lain. Daging korban yang disembelih hanya sebagai simbol dari makna pengorbanan dalam skop yang luas. Di mana setiap umat Islam sebaiknya dapat menginfakkan sebahagian harta benda, tenaga, pikiran, waktu, dan lain sebagainya untuk saling menolong dan membantu antara satu sama lain.


Hadis yg diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda : 

" Apabila manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga: iaitu sedekah jariah, ilmu yg bermanfaat, dan doa anak soleh pd ibu bapanya ".


Oleh itu, sungguh beruntung orang-orang yg menginfakkan hartanya pada jalan Allah seperti mewakafkan buku atau mewakafkan tanah kerana pahalanya akan tetap mengalir meskipun kita sudah berpindah ke alam yang kekal abadi.


Kesimpulannya, sebagai seorang hamba yang taat kepada Allah SWT, kita mestilah menghayati dan mengambil ibrah bagi setiap ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kerana disebalik setiap ibadah itu terselit berjuta hikmah yang boleh dimanfaatkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian seterusnya semoga apa yang kita lakukan kerana Allah mendapat ganjaran yang manis dari-Nya.


.............................................................................

Iqbal Mustaqim Bin Hamdanni

(Lajnah Pendidikan BKPPPM 20/21)


" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

" Ukhuwah Berkualiti Wehdah Dirahmati "

#BKPPPM_KeluargaKita

#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL