AMALAN YANG DIGALAKKAN UNTUK 10 HARI PERTAMA DALAM BULAN ZULHIJJAH
AMALAN YANG DIGALAKKAN UNTUK 10 HARI PERTAMA DALAM BULAN ZULHIJJAH
Sedar tak sedar kita telah sampai di Bulan Islam yang terakhir, iaitu BULAN ZULHIJJAH . Banyak keistimewaan dan fadhilat kita boleh perolehi berserta ganjaran yang sangat lumayan oleh Maha Pencipta yang Esa. Alhamdulillah, kita diberi ruang dan peluang untuk membaca sedikit perkongsian di blog pada kali ini. Semoga apa yang ditulis ini dapat membantu kita menghargai masa lapang kita. Jom kita teruskan bacaan dari penulisan ini. Semoga ianya bermanfaat buat semua.
Sebelum kita terlalu jauh,marilah kita mendalami amalan yang amat digalakkan bagi kita, mari kita ketahui definisi ZULHIJJAH ?
Zulhijjah merupakan bulan terakhir menurut kalendar Takwim Hijrah.
➢ Ibadat Haji dilakukan di bulan ini juga dan Hari Raya Korban (HARI EIDULADHA) yang disambut pada 10 zulhijjah
➢ Hari Tasyrik iaitu pada 11, 12,dan 13 zulhijjah adalah hari yang diharamkan berpuasa kerana hari–hari tersebut merupakan ‘HARI MAKAN & MINUM’ untuk umat Islam. Bagi mereka yang sedang berwukuf di Arafah
➢ Hari ke-9 zulhijjah pula adalah diharuskan melakukan ibadah berpuasa. Namun bagi yang berada dalam ihram , mereka disunatkan berpuasa pada Hari Wukuf
(Dirujuk : JAKIM,MALAYSIA)
Seterusnya , marilah kita fahami dalil-dalil yang menceritakan tentang 10 hari pertama Zulhijjah. Kita sudah lama tahu, tapi penulisan ini untuk kita sama-sama ingat-mengingati sesamaumat Islam. Jom kita sambung baca.
Dari Sabda Rasulullah SAW :
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِى أَيَّامَالْعَشْرِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلاَ الْجِهَادُ فِىسَبِيلِ اللَّهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَىْءٍ
Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini yaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah tidak juga jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun.
(HR Tirmidzi No: 757) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya “Hari-hari yang sepuluh” iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر
“Demi fajar, Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil”.
Imam At Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir.
(rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)
Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh).Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).
2. Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)
3. Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah
4. Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Pelbagai amal kebajikan boleh di lakukan. Kita boleh mulakan dengan amalan puasa sunat palingtidak Isnin atau Khamis, bersedekah, menghadiri majlis ilmu, meringankan kesusahan orang lain di samping perbanyakkan membaca al-quran, berzikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir.
5. Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat Arafah, perbanyakkan doa semasa di Arafah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.
Mari kita lanjutkan lagi bacaan kita, seperti yang semua dah tahu, banyak amalan yang digalakkan bagi kita untuk laksanakan. Mari kita ulangkaji semula amalan-amalan yang kita boleh laksanakan pada 10 hari pertama Bulan Zulhijjah.
Antaranya:
1) Al – Quran.
Kita perlulah selalu membaca al – Quran, janganlah kita meninggalkannya. Walau sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia, jangan kita abaikan akhirat. Bacalah al-Quran walaupun 1 muka surat ataupun setengah muka surat ,tetapi jangan sampai kita terleka untuk membaca al–Quran. Selain itu, apabila ada rasa kesunyian dan kesepian, kita boleh mendengar alunan al-Quran daripada pelbagai Qari dan Qariah. Pada waktu itu juga, kita selalulah merujuk terjemahan dan tafsir-tafsir agar kita lebih memahami isi kandungannya. Kita dapat muhasabahkan diri apabila kita memahami ayat-ayat yang kita baca.
2) Solat
Solat adalah tiang agama Islam. Dalam solat kita akan membaca ayat suci al-Quran. Solat ialah mengerjakan solat di awal waktu dengan penuh rasa rendah diri dan khusyuk. Tambahan lagi, kita boleh mengerjakan solat-solat sunat (qiamulail ). Bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dihafal boleh dilaksanakan dalam solat kita, lalu secara tidak langsung kita haruslah menghafal, mengulangkaji dan mempercantikkan bacaan kita agar solat kita lebih yakin dan khusyuk .
3) Berpuasa
• 9 hari pertama adalah yang dibolehkan berpuasa dan terutamanya pada 9 zulhijjah (hari Arafah )
• Qada’ puasa bagi puasa yang tinggal (jika ada)
4) Hari EidulAdha ibadah korban
• Tidak memotong kuku dan rambut sehingga selesai penyembelihan binatang korban
• Mengikuti semua amalan sunnah EidulAdha
• Mengerjakan solat EidhulAdha dengan penuh rasa semangat
• Mengerjakan ibadah korban dengan hati yang ikhlas
• Makan daging korban dan memberi makan daging korban kepada orang islam yang lain
• Menziarahi saudara mara dan rakan tauladan
5) Zikir & doa
• Memperbanyakkan bacaan zikir seperti :
Tahlil, takbir, dan tahmid
• Membaca zikir pagi, petang dan doa-doa mengikut sunnah
• Membaca selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW
• Memperbanyakkan doa ketika waktu mustajab doa terutamanya pada Hari Arafah
Di samping itu, terdapat banyak lagi amalan yang digalakkan bagi kita, seperti amalan kebajikan, menjaga hubungan kemasyarakatan bagi memupuk sikap perpaduan antara jiran tetangga dan pelbagai amalan yang lain lagi.
Kemudian, kita lanjutkan bacaan kita dengan mengetahui keistimewaan dan fadhilat 10 pertama zulhijjah, mari kita lakukan amal kebaikan dengan sebaiknya.
PERTAMA : Kelebihan beramal soleh pada 10 hari tersebut.
Hadis menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian.Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisi-Nya.
➢ Hadis ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz,
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ أفضل من أيام العَشْر
Maksudnya : "Tiada hari-hari amalan yang dilakukan padanya menjadi afdal berbanding 10 hari awal Zulhijjah."
Hadis ini juga diriwayatkan dengan terdapat keraguan disisi perawi pada lafaz: Paling disukai atau afdal. Apabila sesuatu amalan dalam 10 hari ini dan lebih disukai oleh Allah berbanding amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain dalam setahun, maka jadilah amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam 10 hari ini afdal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya.Sebab itulah, para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah,walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya ?", Baginda bersabda, "Walaupun jihad, ia tidak menandinginya."Kemudian, Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad kerana baginda juga pernah ditanya, "Manakah jihad yang afdal?",Baginda menjawab, "Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid[1]."Orang demikian mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa,
اللَّهُمَّ اعْطِني أَفْضَلُ ما تُعطِيْ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya : "Ya Allah, Berikanlah kepadaku sebaik-baik pemberian yang engkau berikan kepada hamba-Mu yang soleh."
Lalu baginda bersabda kepadanya,
إِذَنْ يُعْقَرُ جَوَادُكَ ، وَتَسْتَشْهِدُ
Maksudnya : "Oleh itu, pastikan (Kamu berjihad sehingga) kudamu mati ditikam dan kamu mati syahid."
Riwayat Ibnu Hibban (4639), al-Hakim (2/74) di dalam al-Mustadrak
Secara khususnya, Jihad sebegini lebih baik daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah.
Manakala jihad yang lain, amalan dalam 10 hari terawal Zulhijjah menjadi afdal dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, malah termasuk semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahwa amalan yang kurang utama, yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan seperti amalan yang lebih utama yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan yang pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda.
KEDUA: KELEBIHAN 10 HARI AWAL ZULHIJJAH BERBANDING 10 HARI DALAM BULAN LAIN
➢ Hadis marfu’ riwayat Ibn Umar sebelum ini menyatakan:
ما من أيامٍ أعظم عند اللهِ ولا أحبّ إليه العملُ فيهن من أيامِ العشرِ
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini.”
Riwayat Imam Ahmad (5446) di dalam Musnad,al-Baihaqi (3751) di dalam Syu’ab al-Iman.
➢ Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Musa al-Madini melalui jalan Abu Nu’aim al-Hafiz dengan sanad yang turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Al-Bazzar dan ulama selainnya meriwayatkan hadith daripada Jabir juga, baginda bersabda:
أفضلُ أيامِ الدنيا أيامُ العشرِ قالوا يا رسولَ اللهِ ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِقال ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِ إلا مَن عفَّر وجهَه في الترابِ
Maksudnya: “Sebaik-baik hari di dunia ialah 10 hari (bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya? Baginda menjawab, “jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya melainkan sesiapa yang wajahnya dilumuri dengan tanah (mati syahid).”
Riwayat Ibnu Hibban (3853) dan al-Bazzar (1128)
Hadith ini diriwayatkan secara mursal dan ada ulama mengatakan riwayat mursal lebih sahih. Sebelum ini dinyatakan satu riwayat daripada Ibn Umar yang berkata: “Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT berbanding hari Jumaat, tidak termasuk 10 hari awal Zulhijjah.” Ucapan ini menunjukkan bahawa 10 hari tersebut lebih utama daripada sebaik-baik hari iaitu Jumaat.
Kelebihan lain bagi 10 hari bulan Zulhijjah selain yang telah disebutkan. Antara kelebihannya ialah:
1. Allah Taala bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Firman Allah Taala,
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢
Ertinya: ''Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta) hari dalam bulan Zulhijjah).”
(Surah al-Fajr : 1-2)
Berkenaan maksud fajar, ada ulama mengatakan ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang; yang semua ini adalah khilaf dalam kalangan mufassirin. Selain itu, ada juga pandangan yang memilih maksudnya ialah: waktu fajar tertentu, fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, atau fajar pada hari terakhirnya, iaitu hari raya korban. Berdasarkan semua pandangan ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah.
Sementara itu, maksud 10 malam ialah 10 hari terawal Zulhijjah.Inilah pandangan yang sahih yang dipegang oleh jumhur mufassirin dari kalangan salaf dan selainnya. Ia juga adalah pandangan yang sahih daripada Ibnu Abbas, serta diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. Manakala suatu riwayat daripadanya yang menyebutkan, ''Ia adalah 10 hari dalam bulan Ramadhan,'' sanadnya lemah.
Pandangan tadi disandarkan kepada sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa'i dalam al-Tafsir, daripada Zaid bin al-Hubab, Khair bin Nu'aim menceritakan kepada kami , daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda,
إِنَّ الْعَشْرَ عَشْرُ الْأَضْحَى وَالْوَتْرَ يَوْمُ عَرَفَةَ وَالشَّفْعَ يَوْمُ النَّحْرِ
Ertinya: "Maksud sepuluh ialah 10 hari dalam bulan korban (Zulhijjah), yang ganjil ialah hari Arafah, dan yang genap ialah hari raya korban.''
Sanad Hadis Ini Hasan.
Maksud kalimah ''genap'' dan ''ganjil'' tersebut juga ditafsirkan oleh Ibnu Abbas menerusi riwayat daripada Ikrimah dan lain-lain, dan Ikrimah, al-Dhahhak, serta ramai ulama lagi turut mentafsirkan maksud yang sama. Terdapat banyak pandangan yang disebutkan pada maksud kalimah ''genap'' dan ''ganjil'' kebanyakannya tidak terkeluar daripada menyatakan bahawa 10 hari terawal Zulhijjah atau sebahagiannya sudah merangkumi maksud ''genap'' dan ''ganjil'', atau salah satunya. Contohnya:
A: Baginda bersabda,
Ertinya: ''Ia adalah solat, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.''
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi, daripada 'Imran bin Hushain, daripada Nabi SAW.
B: Pandangan yang menyebutkan, ''Ia adalah makhluk, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.'' Hari yang 10 ini termasuk dalam kategori makhluk.
C: Pandangan yang menyebutkan, ''Genap itu seluruh makhluk, manakala ganjil pula ialah Allah.'' Maka, 10 hari tersebut termasuk dalam kalangan makhluk.
2. 10 hari ini adalah termasuk daripada tempoh 40 hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa alaihissalam. Firman Allah Taala,
وَوَاعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَلَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْسَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ ﴿١٤٢﴾
Ertinya: ''Kami telah menjanjikan tempoh kepada Musa (untuk diberikan kitab Taurat) selama 30 malam, dan Kami sempurnakan jumlahnya dengan 10 lagi, lalu cukuplah waktu yang ditentukan oleh Tuhannya selama 40 malam. Musa berkata kepada saudaranya, Harun (semasa hendak keluar dalam tempoh 40 hari ini), 'Gantikanlahaku dalam urusan memimpin kaumku, perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah turuti jalan golongan yang melakukan kerosakan.'''
(Surah al-A'raf : 142)
Tetapi, adakah 10 hari dalam bulan Zulhijjah itu adalah penutup bagi 40 malam tersebut, dan jadilah ia sebagai tempoh yang menyempurnakan 30 malam sebelumnya; atau adakah ia 10 hari pertama daripada 40 malam, lalu ia termasuk daripada 30 malam yang disempurnakan dengan 10 malam lagi? Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat antara mufassirin.
Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ma'mar, daripada Yazid bin Abu Ziyad, daripada Mujahid, katanya,'' Tidak ada amalan pada seluruh hari dalam setahun yang afdal daripada 10 hari terawal Zulhijjah. Ia adalah 10 hari yang disempurnakan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam.
3. Ia adalah penutup bagi bulan-bulan yang dimaklumi, iaitu bulan-bulan Haji yang disebutkan oleh Allah.
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ
Maksudnya: ''Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi.''
(Surah al-Baqarah : 197)
Bulan-bulan tersebut ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Umar, anaknya Abdullah, Ali, Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabiin, mazhab Syafi'i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi'i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulama memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akhbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu.
Terdapat juga sekumpulan ulama berkata,''Seluruh hari dalam Zulhijjah termasuk dalam bulan-bulan haji.''
Ini adalah pandangan Malik dan al-Syafi'i menurut mazhab qadimnya. Hal ini turut diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan sekumpulan salaf. Sandarannya ialah sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, namun tidak sahih. Perbahasan mengenai isu ini begitu panjang, dan di sini bukanlah tempatnya.
4. Ia adalah hari-hari yang dimaklumi yang disebutkan Allah sebagai tempoh pengurniaan rezeki berupa binatang ternakan.
Firman Allah Taala,
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّعَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍعَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ﴿٢٨﴾
Maksudnya: ''Serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari pelbagai jalan yang jauh. Hal tersebut agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat buat mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang dimaklumi atas kurniaan-Nya kepada mereka berupa binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).''
(Surah al-Hajj: 27-28)
Jumhur ulama berpendapat bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Antaranya ialah Ibnu Umar, Ibnu Abbas, al-Hasan, 'Atha', Mujahid, Ikrimah, Qatadah, al-Nakha'i, serta pandangan Abu Hanifah, al-Syafi;i, dan Ahmad pada satu riwayatnya yang masyhur.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyari bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 9 Zulhijjah, tidak termasuk hari raya korban. Beliau berkata,''Doa pada hari tersebut tidak akan ditolak.'' Hadis ini diriwayatkan oleh Ja'far al-Firyabi dan lain-lain.
Sekumpulan ulama berkata, ''Hari-hari itu ialah hari sembelihan binatang korban,'' dan perkara ini diriwayatkan daripada sekumpulan salaf, yang merupakan pandangan Malik dan Abu Yusuf. Mereka menjadikan zikir kepada Allah pada hari-hari ini disebut ketika menyembelih binatang korban. Ibnu Umar R.anhuma turut berpandangan sedemikian. Al-Maruzzi menukilkan daripada Ahmad bahawa beliau mengatakan pandangan ini adalah lebih baik. Namun, pandangan pertama lebih kuat.
Alhamdulillah, selesai pembacaan kita kali ini, semoga penulisan ini member manfaat pada kita. In shaa Allah !! Sebelum tutup penulisan ini, bacalah sedikit kata-kata:
Bulan Zulhijjah Bulan Ibadat,
Bulan Zulhijjah juga Bulan Berkat,
Banyak keistimewaan dan fadhilat,
Melakukan korban dengan penuh taat.
Di Bulan Zulhijjah banyak amalan,
Dengan mentadarus dan mentadabbur al-Quran,
Solat-solat sunat juga dilaksanakan,
Agar pahala & ganjaran terus berkekalan.
Akhir kalam, jadikan Bulan Zulhijjah sebagai ladang kebun untuk kita bercucuk tanam selepas tempoh bulan Ramadhan yang lalu.Janganlah kita bersikap leka dan lalai lagi kerana kita takkan tahu sampai bila perjalanan hidup kita, sempatkah kita bertemu takwim Islam yang baru lagi ? Ayuh, sama-sama kita renungkan…
Harapannya agar setiap pembaca dapat mengambil istifadah dan kebaikan dari perkongsian kali ini. Semoga kehidupan kita dibawah perlindungan dan kerahmatan Allah SWT… In shaa Allah ,Aamiin…
Kredit Penulis :
Nur Syuhada Binti Abdul razak
Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar As-Syarif
....................................................
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“BKPPPM_KeluargaKita”
“Bersama_Bersatu”
Comments