Minda Pimpinan | Raih Kejayaan Dalam Taqwa





السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَنُصَلِّيْ وَنُسَلِّمُ عَلَى خَيْرِ اْلأَنَامِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ

Segala puji bagi Allah yang telah memberi sebaik-baik nikmat berupa iman dan islam. Salawat dan doa keselamatanku terlimpahkan selalu kepada Nabi Agung Muhammad S.A.W. berserta keluarga dan para sahabat-sahabat Nabi semuanya.

Pada bulan Ramadhan yang suci ini, tidak dinafikan bahawa kebanyakan umat Islam sedang berlumba-lumba mengejarkan amal ibadah kepada Allah. Hal ini demikian kerana, selain dari meraih keredhaan-Nya, bulan yang penuh mulia ini juga mempunyai banyak fadilatnya. Sebagai seorang pelajar juga tidak terlepas dalam  mendekatkan diri  kepada Allah, juga dalam meraih ketaqwaan-Nya.  Ketaqwaan adalah bekal dalam menghadapi  segala bentuk mehnah dan tribulasi dalam dunia belajar pada masa kini.

Memetik ayat kedua Surah Al-Anfal, yang menceritakan perihal sifat orang-orang yang beriman, dan antara ciri orang yang beriman adalah ketinggian taqwanya kepada Allah S.W.T.

Ketinggian taqwa ini akan melahirkan sikap sentiasa bermuhasabah diri serta semangat membangunkan diri dalam diri pelajar Muslim yang menjadi teras kepada kejayaan seseorang pelajar tersebut. Kejayaan bagi seorang pelajar khususnya Muslim adalah terus menerus berada dalam dakwah (menyeru kepada kebaikan, mencegah dari kemungkaran) dan tarbiyah (pemantapan keimanan dan peribadi). 

Sepanjang bulan Ramadhan ini, proses berpuasa dan amalan-amalan di dalamnya dapat membekalkan kekuatan kepada seseorang pelajar tersebut untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Terbukti bahawa seluruh pelajar Al-Azhar sendiri sedang berusaha keras dalam menghadapi peperiksaan di sepanjang bulan Ramadhan juga diikuti selepas hari raya Aidilfitri. Ramadhan sebenarnya mengajar diri seseorang itu lebih bersungguh dan bersabar dalam setiap tindak laku.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." (Surah Al Baqarah : 183)

Taqwa amat dituntut dalam Islam walau dalam keadaan berperang sekalipun. Peperangan Badar adalah medan ujian kepada umat Islam yang hanya 313 orang berbanding orang kafir Quraisy 1000 orang. Kelihatan seperti tidak seimbang di antara mereka ini tetapi kenapakah umat Islam telah menang?

Jawapan kepada soalan ini ialah taqwa.

Puasa dapat meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T. dan mengelakkan daripada perlakuan maksiat.

Rahsia kemenangan umat Islam ialah bertaqwa kepada Allah dan menahan diri daripada melakukan maksiat. Rezeki dan maksiat saling berkaitan. Rezeki lulus peperiksaan terhalang kerana maksiat yang dilakukan. Rezeki lulus peperiksaan juga akan datang kerana taqwa. Taqwa adalah pembuka pintu rezeki.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At Tholaq : 2-3)

Pengembaraan dalam mencari ilmu itu bukanlah terhenti apabila ijazah sudah berjaya digenggam. Sebaliknya, pegembaraan ini tidak akan pernah terhenti.Tidak akan ada noktah dan garis penamatnya. Ujian dan cabaran sudah tentu akan mengiringi tiap langkah yang diambil. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang memegang gelaran Azhari dan Azhariah, cabaran sebenar hanya akan bermula ketika kita sudah kembali ke Tanah Air. Cabaran untuk memulakan misi dakwah, tarbiyyah, taalim dan berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Oleh itu, persiapkanlah diri sebaiknya untuk menghadapi hari-hari mendatang. Semoga pengembaraan ini akan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt, kerana melaluinya, kita akan sedar bahawa sesungguhnya kita hanya hamba-Nya yang lemah. Semakin banyak yang kita tahu, sebenarnya semakin banyak ilmu-Nya yang masih belum kita terokai.

Allah berfirman di dalam Kitabnya: "Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan menjadi tinta, ditambahkan lagi tujuh lautan setelah keringnya nescaya tidak akan habis-habisnya kalimat Allah (ilmuNya dan hikmahNya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Luqman : 27)

Wallahua'lam.


Hafuza Huda Binti Hamidi
Timbalan Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPPPM Sesi 2018/19

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Bersama Bersatu"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah dan Thaqafah Islamiah" 

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL