Minda Pimpinan | Jatuh Dalam Pertempuran








بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله على نعمته في شهر رجب الذي جعلنا من المسلمين الكالفين وأمرنا باتباع سبيل المؤمنين وأشهد أن لا اله الله وحده لا شريك له الحق المبين وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله الصادق الأمين اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى أله وصحيه أجمعين وسلم تسليما كثيرا. 


Sabda Nabi Muhammad S.A.W : “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawabkan atas yang dipimpin, penguasa yang memimpin manusia dia akan dimintai pertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya, seorang lelaki (kepala keluarga) adalah pemimpin keluarganya dan dia dimintai pertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya, dan seorang perempuan (isteri) adalah pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya dan juga anak-anaknya dan dia akan diminta untuk dipertanggungjawabkan atas kepemimpinannya, dan budak juga pemimpin terhadap harta tuannya dan akan diminta untuk dipertanggungjawabkan terhadapnya. Ketahuilah, setiap kalian adalah bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari no. 7138)

Berdasarkan daripada hadis di atas, kita dapat mengetahui dan mengenali diri kita dengan lebih jelas, menyedari siapakah diri kita yang sebenarnya dan apakah peranan kita sebagai seorang pemimpin dan hamba Allah S.W.T secara umumnya.

Tidaklah disebut perkataan 'pemimpin' atau 'pimpinan' melainkan pasti terlintas di dalam hati kita sesuatu yang hebat, gah dan besar. Akan tetapi kita terlupa bahawa sesuatu yang hebat, gah dan besar itu tidak dapat dipisahkan dengan sesuatu yang berat, besar dan pedih, kerana lazimnya bagi seseorang pemimpin itu, menghadapi asam garam di dalam perjuangan.

Menjadi suatu kebiasaan di dalam perjuangan, seorang pejuang itu berjuang dan menghadapi jalan yang penuh onak duri. Tidak semua yang mampu untuk terus berjuang dan kuat menempuh jalan-jalan perjuang penuh dengan duri ini, ada kala ramai yang tidak tahan sakit, dek kepedihan yang dihadapinya seketika terpijak duri. Dengan sebab itu maka ramainya para pejuang dan pemimpin berasa lemah dan futur.

Apa itu futur?
Secara ringkasnya futur ialah rasa enggan, malas dan berputus asa dalam melakukan sesuatu gerak kerja dalam amal kebajikan.

Firman Allah S.W.T:

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

(Surat Yusuf : 87)

Allah S.W.T menjelaskan bahawa sifat berputus asa itu adalah sifat kaum yang kafir, maka sewajibnya bagi kita sebagai seorang muslim yang sejati, untuk mempunyai jiwa yang kental dan tidak mudah berputus asa.

Antara puncanya penyakit futur ini ialah sebab kurangnya keikhlasan kepada Allah S.W.T dalam melakukan gerak kerja, lemah penghayatan ilmu agama, tidak menjiwai dan menghayati kisah kesusahkan, keperitan dan kepayahan para Nabi-Nabi dalam menegakkan syariat Allah S.W.T.

Sudah tentu dan pastinya tidaklah Allah S.W.T mentakdirkan adanya penyakit futur tanpa menghadirkan solusi atau penawarnya.

Terdapat beberapa solusi dan penawar yang wajib diambil oleh setiap hamba Allah, pimpinan khususnya, antaranya ikhlaskan niat kerana Allah S.W.T, bergaul dengan orang yang tinggi semangatnya dan membaca serta menghayati sirah para Nabi, ini bertepatan dengan pembawaan Unit Biah Solehah di bawah Lajnah Dakwah, pada item yang ke-5 iaitu mengkaji dan mendalami sejarah Islam. Dengan mengkaji dan mendalami sejarah Islam, kita dapat belajar banyak nilai-nilai perjuangan yang ada pada para Nabi dan Sahabat.

Penutup kalam, marilah kita saling berpesan-pesan supaya kita semua kuat, thabat dan istiqamah di dalam perjuangan, kerana setiap titik peluh dan penat kita tidak pernah sia-sia disisi Allah S.W.T semuanya dinilai oleh-NYA, seperti firman-NYA:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ *وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

 (Surat Az-Zalzalah : 7 – 8)

Semoga Allah S.W.T menerima segala amal kebaikan kita,
Wassalamua'laikum W.B.T.



Muhammad Syahir Bin Abd.Rahman
 Ketua Lajnah Dakwah BKPPPM Sesi 2018/2019

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“Bersatu Berbakti”
“Biah Berkualiti”
“Fikrah dan Thaqafah Islamiah”

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL