PESTA PONGAL : HUKUM MUSLIM MERAYAKANNYA




APA ITU PESTA PONGAL?

Pesta Pongal adalah festival yang diraikan di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut tempat, sebagai menghormati Dewa Matahari iaitu Surya. Antara nama-nama lain bagi Pesta Pongal adalah:
  1. Pongal (Tamil Nadu)
  2. Maghi (Lahore)
  3. Bihu / Bohaggiyo Bhishu (Assam)
  4. Sankrat (Rajasthan)
  5. Makara Sankranti (Maharashtra)
  6. Uttarayan (Gujarat)
  7. Magha Saaji (Shimla)
  8. Poush Sankranti (Bengal Barat)
Surya adalah Dewa Matahari dalam kepercayaan agama Hindu dan penjaga bagi sudut selatan dan barat. Bapanya adalah Dewa Langit iaitu Dyaus. Terdapat satu mitos menyebut bahawa dia dijadikan daripada mata Purusha iaitu makhluk kosmos. Rambutnya dan kedua-dua lengannya berwarna emas. Dewa Surya menaiki kereta kuda yang dikenderai oleh 4 atau 7 ekor kuda dan ditangannya terdapat bunga teratai dan juga cakera. (Lihat The Routledge Dictionary of God, Goddesses, Devils & Demons, m. 178)

Secara khususnya, Pongal adalah satu festival yang diraikan oleh masyarakat di Selatan India terutamanya Tamil. Festival Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai (pada 14 Januari setiap tahun) bagi meraikan Dewa Surya yang merupakan sumber tenaga dan penyumbang utama bagi pertanian.

Pelbagai cerita dibawakan berkenaan Dewa Surya yang mempunyai kesan terhadap sambutan Pesta Pongal ini. Dewa Surya mempunyai ramai anak, antaranya Dewa Shani yang dinisbahkan dengan Planet Saturn. Semasa Shanti lahir, dikatakan berlaku gerhana matahari. Dewa Shani dan Dewa Surya dikatakan sering berbeza pandangan namun pada hari pertama dalam bulan Thai, Dewa Surya akan menziarahi Dewa Shani. Makanan terutamanya manisan disediakan dengan menggunakan minyak bijan kerana kelikatan dan kepekatannya. Oleh itu, manisan yang diberikan adalah sebagai simbol tautan dan hubungan yang erat walaupun apa jua perbezaan yang ada.

Pesta Pongal juga adalah meraikan fasa-fasa awal kitaran pertanian. Ia adalah masa bagi mendoakan musim menanam padi yang produktif dan musim menuai yang baik di masa hadapan. Kebiasaannya, lembu-lembu juga dimandikan pada hari ini begitu juga meraikan aspek-aspek lain berkaitan produktiviti pertanian. (Lihat Religious Celebrations: An Encyclopedia of Holidays, Festivals, Solemn Observances, and Spiritual Commemorations, m. 547).



SOALAN: APAKAH HUKUM MUSLIM MENYERTAI PESTA PONGAL?

JAWAPAN

Para ulama’ sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan Muslim adalah haram. Berikut adalah pandangan-pandangan daripada setiap mazhab:
Mazhab Syafie: Menurut Imam Al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam Al-Nawawi dalam Al-Minhaj, dihukum ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata kepada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji". " (Lihat Al-Najm Al-Wahhaj, 9/244)
Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam Al-Ramli dalam Hasyiah Al-Ramli ‘ala Asna Al-Matalib, Al-Khatib Al-Syarbini dalam Mughni Al-Muhtaj, 4/255 dan Al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat Al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar Al-Haitami dalam Tuhfah Al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria Al-Ansari dalam Asna Al-Mathalib, 4/162 dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.
Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs Al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr Al-Ra’iq Syarh Kanz Al-Daqa’iq, 8/555).
Mazhab Maliki: Ibn Al-Haj Al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat Al-Madkhal, 2/46-48).
Mazhab Hanbali: Imam Al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)

HUKUM DAN GARIS PANDUAN MERAIKAN PESTA PONGAL

Tanpa menafikan Pesta Pongal kini sudah dianggap sebagai tradisi yang merentas agama di sesetengah tempat di dunia, kami lebih cenderung bahawa ianya masih mempunyai unsur-unsur keagamaan sebagaimana sambutannya di Malaysia. Kesimpulannya, kami menjelaskan bahawa secara asasnya orang Islam adalah dilarang menghadiri dan menyertai Pesta Pongal yang disambut dalam kalangan masyarakat beragama Hindu kerana ia adalah perayaan keagamaan. Ini selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2017 pada 18-19 April 2017 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 1/2011 telah bersidang pada 15 – 17 Mei 2011M.

Namun, dengan meraikan semangat Fiqh Al-ta’ayush (fiqh co-existence), kami juga memahami keperluan bagi sesetengah golongan masyarakat seperti mereka yang mempunyai ahli keluarga beragama Hindu, pemimpin, jiran tetangga dan lain-lain untuk menghadiri perayaan ini. Oleh itu, kami berpandangan bahawa:

  1. Dalam memimpin masyarakat yang berbilang kaum dan agama, adalah lebih baik bagi para pemimpin Muslim untuk menghantar wakil bukan Muslim yang seagama dengan pihak yang menganjurkan bagi menghadiri sebarang upacara yang dilakukan di tempat ibadat atau perayaan keagamaan mereka. Sekiranya ada keperluan, pemimpin Muslm boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan.  Dalam konteks Malaysia yang majmuk, pemimpin yang dipilih sewajarnya meraikan kepelbagaian dan perbezaan kaum dan agama yang ada. Sifat toleransi serta bertolak-ansur antara pemimpin dan rakyat ini akan menjadi satu simbol penyatuan yang utuh dalam menghasilkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Namun begitu, batas-batas agama tidak boleh dilangkaui. Satu kaedah fiqh yang masyhur menyebut:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”

Kaedah di atas menunjukkan kemestian ke atas pemimpin untuk sentiasa memikirkan maslahat-maslahat yang timbul dalam kalangan masyarakat awam yang diwakilinya.
  1. Bagi mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan, kejiranan, sambutan di sekolah atau rakan sekerja yang beragama Hindu dan menerima jemputan untuk hadir, dibolehkan untuk hadir dengan syarat seperti tertera di (i)
  1. Dibolehkan untuk makan Nasi Susu (Sakkarai Pongal) dengan mengikut syarat sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam Al-Kafi #564: Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Non-Muslim (Bukan Ahli Kitab). Namun, orang Islam dilarang untuk terlibat dalam program memasak Nasi Susu berkenaan kerana ia masih dalam ruang lingkup upacara keagamaan kerana asalnya, ia adalah makanan yang dipersembahkan untuk Dewa Surya. 

Kami telah menghuraikan garis panduan bagi umat Islam menghadiri perayaan agama lain dengan panjang lebar dalam Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia. Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.

Rujukan: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal




Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL