Minda Pimpinan | Ikhtilat Jalan Dosa




السلام عليكم ورحمة الله


إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنِ اهْتَدَى بِهُدَاهُ 
إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya dan meminta pertolongan, pengampunan, dan petunjuk-Nya. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan keburukan amal kita. Barang siapa mendapat dari petunjuk Allah maka tidak akan ada yang menyesatkannya, dan barang siapa yang sesat maka tidak ada pemberi petunjuknya baginya. Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, semoga doa dan keselamatan tercurah pada Muhammad dan keluarganya, dan sahabat dan siapa saja yang mendapat petunjuk hingga hari kiamat


Allah SWT telah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 30-31 :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُون

Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
(Surah An-Nur : 30)

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

(An-Nur : 31)

Berdasarkan potongan ayat dari Surah An-Nur di atas, Allah SWT memerintahkan ke atas golongan lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan serta kemaluan. Sudah menjadi fitrah bagi lelaki dan perempuan itu sendiri yang sentiasa tertarik antara satu sama lain, maka Islam datang untuk menguruskan fitrah tersebut dengan sebaiknya. Ikhtilat yang tidak dijaga juga boleh membawa kepada zina yang diharamkan dan menjurus kepada dosa.

Al-IKHTILAT MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

Maksud Pergaulan ( al-Ikhtilat ) :

Ikhtilat dari segi bahasa bererti menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi istilah syarak pula ikhtilat bermaksud percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan.

HUKUM ASAL PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Hukum asal pergaulan diantara lelaki dan perempuan adalah HARAM (Abd al-Karim az-Zaidan, al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah: 3/422).

Ikhtilat adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah dan termasuk perkara yang sangat berbahaya yang Allah SWT telah memperingatkan kaum muslimin.

Antara dalil pengharaman ikhtilat ialah:

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, telah bersabda : “Ditulis ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti dia akan lakukannya tidak mustahil, kedua biji mata zinanya melihat (pada yang haram, atau asyik dengan kejelitaan dan kekacakan seseorang) kedua telinga zinanya ialah mendengar (suara yang mengasyikkan dan penuh dengan syahwat), lidah zinanya bercakap (berkata-kata dengan kata-kata yang mengghairahkan), tangan zinanya sentuh, kaki zinanya berjalan (ke tempat yang membawa kepada syahwat), hati pula memasang keinginan dan cita-cita, dan kemaluanlah yang mengiyakan atau menidakkan.” (Sahih Muslim)

Oleh kerana itu Islam menyekat semua ruang dan jalan kearah penzinaan, kerana ia bermula dengan lihat, kemudian asyik dengan kata-kata manis dan akhirnya akan membawa kepada penzinaan. Situasi seperti ini acapkali berlaku dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Islam itu sendiri .

Misalnya, chatting tanpa tujuan, keluar makan berdua-duaan, berbalas komen di media sosial, memuat naik gambar yang kurang sopan, dan seumpamanya. Hal tersebut berlaku disebabkan kurangnya kefahaman dalam memahami konsep dan hukum asal ikhtilat.
Namun sejauh mana usaha kita untuk memberi kefahaman kepada mahasiswa-mahasiswi Islam berkenaan ikhtilat? Dan sejauh mana usaha kita untuk menjauhi ikhtilat ini?


Seterusnya Allah SWT berfirman lagi :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya :
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Al-Isra' :32)

Dalam surah tersebut telah menerangkan lafaz “Jangan menghampiri zina” yang bermaksud semua jalan yang boleh  membawa kepada perbuatan zina adalah haram termasuk pergaulan bebas atau ikhtilat yang tidak dijaga seperti yang telah disebutkan.

Merujuk surah An-Nur yang telah dinyatakan, Allah SWT menjelaskan secara keseluruhan bahawa pergaulan (ikhtilat) itu dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan beberapa adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan perempuan. 

Perkara-perkara inilah yang akan menjadi benteng serta memelihara pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi agar tidak menyumbang ke arah kancah kemaksiatan.

Antara adab dan disiplin dalam pergaulan adalah:

•Memastikan niat kita kerana Allah bukan sekadar untuk sembang-sembang kosong.

•Memastikan matlamat pergaulan pada perkara yang sepatutnya seperti yang dijelaskan di atas sama ada dalam keadaan yang memaksa atau keperluan sahaja.

•Menundukkan pandangan sama ada lelaki mahupun perempuan.

•Sentiasa menutup dan menjaga aurat.

Ikhtilat dalam Islam begitu penting bagi menjaga batas-batas antara lelaki dan perempuan. Insya-Allah diri kita akan berada dalam keadaan selamat sekiranya kita mengamalkan adab-adab ikhtilat dalam Islam. Sayangi serta cintailah diri kita. Hal ini demikian, semua umat Islam wajib menjaganya serta membatasinya. Ikhtilat tidak tertumpu kepada mereka yang remaja sahaja, malah kepada semua golongan yang telah pun baligh sama ada yang dewasa ataupun yang sudah berusia.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dalam berurusan sesama berlainan jantina. Boleh jadi urusan itu mendapat keredhaan Ilahi atau mendapat yang sebaliknya yakni kemurkaan-Nya. Oleh hal yang demikian, janganlah kita memandang enteng berkaitan hal ikhtilat ini. Katakan tidak pada pergaulan bebas sama ada yang bersederhana ataupun yang melampaui batasan syarak. Sesungguhnya setiap undang-undang dan hukum-hakam yang diperintahkan terletak pada diri kita dan merupakan kebaikan untuk diri kita . Jadi, sama- sama kita fahami maksudnya dan ketahui keburukannya .

Hidup ini amat indah jika Allah swt menjadi tujuan utama .

Wallahua’lam



Siti Nor Husnina Binti Anuar
Timbalan Lajnah Dakwah BKPPPM Sesi 2018/2019


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“Bersama Bersatu”
“Biah Berkualiti”
“Fikrah dan Thaqafah Islamiah”


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL