Minda Pimpinan | Salah Faham Konsep Tawakal Sempena Imtihan






السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

   الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام وعلى أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، قالوا سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم، رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي. أما بعد


 Segala puji bagi Allah S.W.T Tuhan sekalian alam yang mengajar manusia dengan pena dan mengajar manusia erti perjuangan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga, dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka hingga hari akhirat. Selawat kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih lagi diberi kesempatan merasai nikmat iman dan Islam dan masih diberi peluang untuk bertaubat kepada-Nya.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 159 :

فَاِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى اللّٰهِ‌ؕ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الۡمُتَوَكِّلِيۡنَ
Maksudnya :
“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Dalam potongan ayat ini, kita fahami bahawa tawakal merupakan perkara yang ketiga selepas usaha dan berdoa kepada Allah S.W.T memohon apa yang kita hajati. Namun masyarakat Islam kini terdapat salah faham terhadap konsep tawakal iaitu hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T tanpa dimulai dengan usaha apatah lagi doa.

Fenomena ini telah pun berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, terdapat seorang Arab Badawi datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat, kemudian terus masuk ke masjid dan menganggap tindakannya itu bertawakal kepada Allah. Nabi Muhammad S.A.W melihat kejadian itu dan terus menuju ke arah Arab Badawi tersebut seraya bersabda : “Ikatlah unta itu dan bertawakal kepada Allah S.W.T. Melihat kepada situasi ini, Nabi Muhammad S.A.W mengajar kita betapa perlunya usaha sebelum bertawakal kepada Allah S.W.T.

Ibn Rajab RH ada menghuraikan makna tawakal ini:-
“Hakikat tawakal adalah hati yang benar-benar bergantung kepada Allah SWT dalam usahanya memperolehi hal-hal yang baik dan menolak hal-hal yang buruk dalam urusan dunia dan akhirat.”

Persoalannya disini, bagaimana cara untuk kita berusaha ??
Langkah pertama : Perbaiki niat kita dalam tindakan.
Langkah kedua : Perancangan rancangan yang teliti dan perlu kepada penilaian pro dan kontra.
Langkah ketiga : Pengurusan yang sistematik dengan bahasa mudahnya, membuat jadual.
Langkah keempat : Membuat tindakan terhadap perancangan yang telah dibuat.
Langkah kelima : Laksanakan denda jika gagal melaksanakan perancangan yang telah dirangka.

Setelah selesai berusaha, kita mestilah selarikan dengan doa dan tawakal kepada Allah S.W.T kerana doa merupakan nadi utama umat Islam setelah bersusah payah dalam usahanya. Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
“Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi.”
(Hadith Riwayat Hakim)

Kesimpulannya, pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud “Siapa yang berusaha (insya-Allah) akan mendapat apa yang diusahakan”. Islam adalah agama yang praktikal, menyarankan agar umatnya bertindak dan bukannya sekadar teori semata-mata. Namun, harus kita ingat pula, yang usaha ini ada gandingannya iaitu doa dan tawakal.
Wallahua’lam
Salam Imtihan dan selamat maju jaya.





Muhamad Syamim Bin Daud
Setiausaha Agung BKPPPM Sesi 2018/2019

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“Bersatu Berbakti”
“Biah Berkualiti”
“Fikrah dan Thaqafah Islamiah”


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL