Sihaq dan Hukumnya




Pengertian Sihaq atau Musahaqah
Ia berasal daripada “السحاق والمساحقة” yang memberi makna dan maksud perlakuan seorang wanita terhadap wanita yang lain seumpama gambaran yang dilakukan dengannya oleh lelaki. (Lihat Lisan al-Arab dan Qamus al-Muhit pada perkataan ‘سحق’. Lihat juga al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (24/251)
Perkataan lesbian dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, perempuan homoseksual. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Hukum Taklifi
Hukumnya adalah haram kerana ia merupakan perbuatan bersedap-sedapan (istimta’) dengan cara yang diharamkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A yang menyebut:
السِّحَاقُ زِنَى النِّسَاءِ بَيْنَهُنَّ
Maksudnya“Sihaq merupakan zina perempuan antara mereka.
Riwayat Ibn Hibban (2/182), al-Aajurri dalam Dzamm al-Liwath (23) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (6/269)
Daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَتِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَهُمَا زَانِيَتَانِ
Maksudnya“Apabila perempuan mendatangi perempuan (sihaq), maka keduanya dianggap sebagai penzina.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17490)

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾
MaksudnyaDan mereka yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
(Surah al-Mu’minun: 5-7)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)
Beliau juga menerangkan makna kalimah al-‘adiin (العادين) dalam ayat “فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ” adalah sebagaimana amalan kaum Lut dalam firman Allah SWT:
أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ ﴿١٦٦﴾
Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”
(Surah al-Syua’ra’: 165-166)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah Rahimahullah berkata: “Isyarat kepada mereka yang mencari selain daripada halal dan isyarat kepada sifat padanya adalah keterangan bahawa ini merupakan illah hukum dan hukumnya adalah mereka yang melampau, zalim dan melebihi had sempadan halal kepada yang haram. Justeru, dia dianggap zalim kerana melakukan yang haram, zalim terhadap keturunannya, zalim terhadap masyarakat dan lain-lain. (Lihat Zahratu al-Tafasir, 10/5048)
Justeru, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah telah menyatakan bahawa hukum sihaq adalah termasuk dalam dosa besar. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kaba’ir, 2/119)
Kami nyatakan di sini ibarat nas fuqaha’ berkenaan dengan pengharaman sihaq:
  • Imam al-Syirazi Rahimahullah berkata: “Haram perempuan mendatangi perempuan berdasarkan hadis  riwayat Abu Musa al-Asy’ari. Dan wajib padanya ta’zir tanpa hukuman hadd atau hudud. Ini kerana perlakuan tersebut tidak membawa dukhul (kemasukan alat sulit). Justeru, yang wajib hanya ta’zir. Sama seperti perlakuan lelaki kepada perempuan selain daripada faraj.” (Lihat al-Muhazzab, 5/385. Tahqiq oleh Syaikhuna Dr. Muhammad al-Zuhaili)
  • Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu’ menyatakan: “Apabila wanita melakukan sihaq sesama wanita maka tidak wajib ke atasnya hukuman hudud.” (Lihat al-Majmu’, 22/ 64)
  • Imam al-Nawawi berkata: “Mendatangi perempuan kepada perempuan atau sihaq tiada hukuman hudud padanya. Tetapi wajib ta’zir.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/310)


Hukuman Sihaq
Sepakat di kalangan ulama dan fuqaha bahawa tiada hukuman had atau hudud kepada perlakuan sihaq kerana ia bukanlah maksud zina yang sebenar tetapi wajib padanya dikenakan ta’zir kerana ia maksiat. (Lihat Fath al-Qadir, 5/42; Hasyiah al-Dusuqi, 4/316; Raudhah al-Talibin, 7/310; Syarh Raudh al-Talib, 4/126; Kassyaf al-Qina’, 6/95)
Mufti Iraq, Syeikh Dr. Mahdi al-Samaida’i berkata: “Demikianlah para ulama telah bersepakat untuk menghukum sebat pasangan wanita yang terlibat dalam perbuatan lesbian berdasarkan apa yang dipertimbangkan oleh hakim. Diadili yang demikian dengan hukuman berat atau ringan bergantung kepada apa yang terlihat kepadanya daripada bukti-bukti sekeliling dan penularan perkara keji tersebut dalam masyarakat. Demikian itu memadai untuk mencapai maksud pencegahan dan memberi ancaman yang bersesuaian demi memelihara masyarakat.”[7]
Ini bererti hukuman bagi pesalah lesbian bukan hudud, tetapi sepakat ulama bahawa ia adalah ta`zir, termasuklah dengan sebatan.


Hukum Wanita Lesbian Melihat Wanita Muslimah
Para fuqaha’ Syafi’iyyah telah khilaf berkenaan dengan hukum melihat seperti di atas.
  • Mengikut al-‘Izz bin Abd al-Salam, Ibn Hajar al-Haitami dan Umairah al-Barlisi, hukumnya ditegah dan haram membuka aurat kepada mereka kerana ia dianggap fasiq dan kemungkinan perempuan tersebut menceritakan apa yang dia lihat (khususnya aurat).
  • Sedangkan Syeikh al-Bulqini, Syeikh Ramli dan al-Khatib al-Syarbini memberi pendapat hukumnya adalah harus kerana wanita tersebut masih dikira orang yang beriman sedangkan perbuatan fasiq tidak mengeluarkannya daripada daerah keimanan.
Sebahagian ulama Syafieyyah hanya membenarkan membuka aurat yang zahir ketika bekerja sahaja yakni kepala, leher dan tengkuk, tangan hingga bahu dan kaki sehingga lutut. Wanita yang fasik dikategorikan bersama dengan wanita bukan Islam yang tidak aman wanita muslimah apabila bersama dengan mereka.
(Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 5/238; Hasyiah al-Dusuqi, 1/213; Nihayah al-Muhtaj, 6/194; Tuhfah al-Muhtaj, 7/200; Mughni al;-Muhtaj, 3/132; al-Qalyubi wa Umairah, 3/211; Hasyiah al-Jamal, 4/124; Syarah Raudh al-Talib, 3/111; dan Kassyaf al-Qina’, 5/15)

Rujukan : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2616-bayan-linnas-148-polemik-sebatan-syariah-di-terengganu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL