TA'ZIR DAN SEBATAN




Pengertian Ta’zir dan Hukumannya
Kami nyatakan di sini berkenaan dengan hukum ta’zir dari segi pengertian dan hal berkaitan dengannya.
Ta’zir daripada perkataan “عزَّرَ يعزِّر تعزيرًا” merupakan masdar. Ia memberi maksud menolak atau menghalang. Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna).
Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.
Pada istilahnya pula, ta’zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh Syarak yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina’, 4/72; Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; Qalyubi, 4/205. Berkata al-Qalyubi, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)

Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta'zir.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:

لَيْسَ عَلَى الَّذِى يَأْتِى الْبَهِيمَةَ حَدٌّ
Maksudnya: “Tiada hukuman hudud bagi orang yang menyetubuhi haiwan.”
Riwayat al-Tirmizi (1455) dan Abu Daud (4465)
Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207)

Maksiat yang Disyariatkan Ta’zir
Perkataan maksiat memberi maksud perlakuan yang diharamkan atau meninggalkan yang difardukan. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ bahawa meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram adalah maksiat yang dikenakan ta’zir selama mana tiada di sana hukuman hadd yang telah ditetapkan. (Lihat Tabsiratul Hukkam, 2/366-367; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 55; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 10)
Contoh kesalahan yang dikenakan ta’zir seperti:
  • Enggan menunaikan zakat.
  • Meninggalkan bayaran hutang ketika berkemampuan.
  • Tidak menunaikan amanah.
  • Tidak mahu memulangkan harta rampasan.
  • Penjual menyembunyikan perkara yang wajib diberitahu seperti berbohong pada barang jualan yang ada aib yang tersembunyi. (Lihat Tabsiratul Hukkam, 2/366; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 210)

Pemerintah Berhak Melakukan Ta’zir
Ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi.
Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah. Adapun meraikan kesan jenayah, para fuqaha’ telah menyebut dalam nas yang banyak. Antaranya:
  • Al-Astrusyani daripada Hanafiyyah berkata: “Sayugia qadhi atau hakim melihat kepada sebabnya. Jika sekiranya daripada jenis yang diwajibkan hadd dan tidak wajib dengan sebab terhalang, maka perlu ta’zir dilakukan pada tahap yang tertinggi. Sebaliknya jika bukan daripada jenis yang tiada wajib hadd, maka tidaklah perlu kepada tahap maksimum. tetapi diberi keputusan oleh pendapat imam atau pemerintah. (Lihat Fusul al-Astrusyani, hlm. 14)
Adapun meraikan keadaan penjenayah atau pesalah maka kata al-Zaila’ie, ia perlu dilihat kepada keadaan pesalah tersebut.
    1. Ada di kalangan mereka yang boleh dihukum dengan kadar minimum.
    2. Ada di kalangan mereka tidak mungkin dihukum kecuali dengan maksimum.
Justeru, Ibn Abidin berkata, ta’zir adalah khilaf berdasarkan keadaan manusia. Makanya, tiada makna dalam memberi penentuan sedangkan terhasil maksud selain daripadanya. Hukuman yang diserahkan kepada qadhi atau hakim hendaklah dilaksanakan berdasarkan kepada kefahaman tentang maslahat yang terdapat padanya. (Lihat Hasyiyah Ibnu ‘Abidin, 3/183)

  • Al-Sindi berkata: “Seminimum ta’zir adalah mengikut apa yang diijtihadkan oleh pemerintah pada penjenayah dengan qadar diketahui bahawa pelaku jenayah akan takut dan tidak melakukan jenayah lagi kerana inilah asal maksud ta’zir. Justeru, keadaan manusia berbeza antara satu sama lain dalam mencegah jenayah. Ada di kalangan mereka akan menghentikan kesalahan dengan hanya beberapa beberapa sebatan dan dia berubah. Tetapi ada yang tidak endah dan meneruskan perlakuan maksiat kecuali dengan sebatan yang banyak. Justeru, kenyataan daripada Abu Yusuf: sesungguhnya ta’zir berlainan mengikut qadar kemampuan orang yang kena sebat. (Lihat Matalib al-Anwar oleh al-Sindi, 7/605; dan al-Fusul oleh al-Astrusyani, hlm. 18)

Ta’zir dengan Sebatan
Sebatan pada ta’zir adalah disyariatkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
لاَ يُجْلَدُ أَحَدٌ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلاَّ فِى حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ
Maksudnya: “Seseorang tidak boleh disebat lebih dari sepuluh kali sebatan, kecuali pada hukuman hudud.”
Riwayat Muslim (4557)
Pelaksanaan hukuman ta’zir telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan mereka yang datang selepasnya serta tiada seorang pun yang mengingkari. (Lihat Al-Mughni, 10/348; Tabsirah al-Hukkam, 2/200; dan al-Hisbah, hlm. 39)
Sebenarnya, isu kadar bilangan sebatan dalam kes ta’zir telah menjadi khilaf ulama’ berdasarkan jenayah dan kesalahan yang dilakukan. (Sila rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/265)


Definisi Sebat
Perkataan sebatan ini atau dalam Bahasa Arabnya al-jald diambil daripada perkataan al-jild yang membawa maksud kulit. Menurut Ibn Manzur Rahimahullah, perkataan al-jald adalah kata terbitan daripada perkataan asalnya yang membawa maksud pukulan atau deraan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/25).
Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menjelaskan bahawa al-jald boleh difahami sebagai memukul dengan cemeti (al-sawt) (Lihat al-Mughni wa Yalihi Sharh al-Kabir, 10/28)
Kami sendiri pernah menyaksikan bentuk sebatan dan caranya seperti yang dijelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya di negara luar. Justeru, kami menyimpul bahawa terdapat perbezaan ketara antara sebatan syarak dan sebatan sivil. Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan.

Kriteria Alat Sebat
Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.[8]

Kaedah Sebatan
Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah  menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)
Secara ringkasnya, dinyatakan beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560):
  • Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
  • Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
  • Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
  • Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  • Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
  • Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
  • Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
  • Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
  • Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.
Selain itu, sebatan ditekankan agar tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara sengaja tidak melukakan pesalah. Melihat kepada huraian di atas, dapat kita fahami bahawa sebatan dalam Islam adalah pukulan menggunakan alat yang tertentu dan dikhususkan tanpa menembusi isi serta tulang dengan menggunakan tenaga secara sederhana.
Ia sama sekali berbeza dengan sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit.[9]

Kehadiran Menyaksikan Pelaksanaan Sebat
Di dalam al-Quran Allah SWT apabila menceritakan hukuman had ke atas pelaku zina iaitu sebatan sebanyak 100 kali, turut memerintahkan kepada kelompok kaum muslimin untuk sama-sama menghadiri proses perlaksanaan hukuman tersebut. Ini dapat dilihat di dalam firman-Nya yang menyebut:
وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: "...maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan)."
(Surah al-Nur: 2)
Kata Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Rahimahullah (w.1393H) dalam tafsirnya:
“Allah SWT memerintahkan kelompok kaum muslimin untuk menghadiri perlaksanaan had zina sebagai tahqiq akan telah tertegaknya hukum had, juga sebagai ancaman ke atas sikap bermudah-mudahan dalam melakukannya. Ini kerana, sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi adalah merupakan jalan untuk ia dilupakan. Sekiranya umat islam tidak menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut, boleh jadi mereka akan tertanya-tanya ke atas ketiadaan perlaksanaan tersebut.
... Pada arahan ini juga terdapatnya faedah lain iaitu, di antara maqasid hudud bersama-sama dengan hukuman ke atas penjenayah adalah supaya menimbulkan ketakutan ke atas orang lain. Dan dengan kehadiran sekumpulan orang beriman, maka yang hadir dapat mengambil peringatan serta menjauhinya (jenayah) serta akan tersebarlah bicara mengenainya apabila yang hadir menyampaikannya kepada yang tidak hadir.
Kelompok yang dimaksudkan di dalam ayat adalah:  sekelompok manusia. Namun para ulama berbeza pendapat tentang kadar bilangan manusia yang hadir tersebut. Pada zahirnya, ia adalah bilangan yang begitu ramai sehingga boleh menyebabkan maklumat tersebar dengan meluas dan ini berbeza berdasarkan tempat. Pendapat yang masyhur di sisi Imam Malik, jumlah khalayak yang hadir adalah dua orang ke atas. Pendapat lain pula mengatakan: 10 orang.”
Rujuk Al-Tahrir wa Al-Tanwir (19/252).
Imam Mujahid bin Jabr Rahimahullah (w.104H) berpendapat bahawa yang dituntut untuk hadir adalah seorang lelaki dan lebih dari itu sehingga ke jumlah seribu orang. Manakala Syeikh Ibn Zaid Rahimahullah pula berpendapat bahawa jumlah yang hadir menyaksikan perlaksanaan had itu mestilah seramai empat orang sebagai qiyas kepada saksi zina. Inilah juga pendapat Imam Malik dan Imam Al-Syafie Rahimahumallah. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 12/148).
Para fuqaha berbeza pendapat tentang perintah ke atas orang beriman untuk hadir ke perlaksanaan hudud daripada ayat tersebut, adakah ia membawa hukum wajib ataupun sunat. Berikut merupakan perincian terhadap isu tersebut: Zahir perintah dalam ayat tersebut menunjukkan akan kewajipan hadir.
Jumlah Kehadiran Saksi Hukuman Mengikut Mazhab
Para ulama’ telah khilaf dalam isu ini.
  • Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa wajib dilaksanakan hukuman semua hukum had di tengah khalayak manusia berdasarkan zahir ayat Surah al-Nur di atas. Ini kerana tujuan hukuman had adalah mencegah manusia daripada melanggar hukum.
  • Manakala mazhab Syafie dan Maliki mengatakan hukum hadirnya jamaah adalah mustahab dan paling kurang adalah empat orang yang menyaksikan. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 5391/7)

Kenyataan Ulama Tentang Kewajaran Hukuman Sebat
Berikut kami nyatakan kenyataan para cendekiawan tentang kewajaran hukuman sebat:
  • Pakar Undang-Undang, Almarhum Tan Sri Dato' Prof. Ahmad bin Mohamed Ibrahim
“Kita harus menyedari bahawa hukuman sebat (sivil) seperti yang dijalankan di penjara-penjara di Malaysia dan Singapura tidak mengikut undang-undang Islam dan mungkin tidak sesuai dengan kehendak undang-undang Islam. Tujuan undang-undang Islam bukan semata-mata hendak menyakitkan dan mencederakan seseorang akan tetapi tujuannya ialah memberi ajaran dan amaran kepada orang-orang yang melakukan jenayah dan juga orang ramai.”
Lihat kertas kerja Hukuman Sebat di dalam Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Awam di Malaysia (hlm. 28)
  • Ketua Majlis Fatwa Dan Penyelidikan Eropah/Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia
 “Kebanyakan pemerintah cuba menggagalkan perlaksanaan hukuman syarak terhadap penzina, peminum arak, pencuri dan penuduh zina atas dakwaan ianya kejam dan keras. Tindakan mereka ini pantas seperti mana usaha mereka menghalalkan sebatan ke atas tubuh dengan cemeti sehingga darah bercampur dengan daging.”
Rujuk Halal dan Haram dalam Islam (hlm. 512)
  • Bekas Hakim Republik Mesir, Almarhum Syeikh Prof. Dr. Abdul Qadir Audah
“Tidak boleh pukulan tersebut tertumpu pada satu tempat sahaja. Ini kerana ianya boleh membawa kepada luka dan koyaknya kulit…. Hukuman sebat tidak membawa kepada kebinasaan. Ini kerana ia adalah hukuman untuk mencegah bukan hukuman untuk membunuh… Apakah menjadi aib ketika mana ada individu yang mahu tunduk kepada undang-undang dan juga taat pada syarak? Siapa yang suka untuk mengkritik hukuman ini, maka katakanlah bahawa dunia ini salah (ketika mengaplikasikan hukuman ini) dan dia sahaja yang betul. Bahkan katakanlah apa yang dia mahu. Sesungguhnya tidak tidak mampu untuk membuktikan bahawa hukuman ini tidak diperlukan.”
Rujuk al-Tasyri` al-Jinai’i al-Islami (1/550 & 2/398-399

Diharap agar mahasiswa/wi Azhari dapat mengambil istifadah serta mangambil cakna isu yang berlaku. 

Rujukan: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2616-bayan-linnas-148-polemik-sebatan-syariah-di-terengganu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL