FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA


Sesebuah negara dikatakan mempunyai pertumbuhan yang baik jika kadar penganggurannya rendah. Sebaliknya jika kadar pengangguran tinggi, bermakna berlakunya pembaziran sumber manusia.

Masalah pengangguran terus merupakan satu daripada masalah ekonomi yang sangat penting dan harus ditangani dalam pasaran buruh. Sebab berlakunya pengangguran adalah pelbagai dan kompleks.

Bagi sesetengah individu, pengangguran hanya berlaku dalam jangka masa yang pendek yang mana ianya merupakan satu proses semulajadi bagi individu-individu yang bergerak di antara satu pekerjaan ke pekerjaan yang lain atau pergerakan daripada alam persekolahan ke pasaran kerja.

Bagi sesetengah individu yang lain pula beranggapan, pengangguran yang mengambil masa beberapa bulan mungkin disebabkan kesukaran mencari pekerjaan. Kenyataannya, kadar pengangguran merupakan petunjuk yang penting kepada prestasi kitaran ekonomi.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan, kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.3 peratus.

Sikap terlalu memilih pekerjaan merupakan faktor utama meningkatnya bilangan pengangguran di negara ini. Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagaimanapun jika pencari pekerjaan itu masih meletakkan beberapa syarat maka peluang pekerjaan seolah-olah tertutup buat mereka.

Menurut sumber kaji selidik mendapati rata-rata daripada mereka memilih untuk tinggal bersama keluarga dan bekerja di dalam pejabat sahaja. Ramai juga pencari kerja berminat bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin daripada bekerja di ladang.

Selain itu masalah utama yang menyebabkan kegagalan mereka mendapatkan pekerjaan ialah prestasi calon berkenaan yang terlalu tinggi daripada jawatan ditawarkan. Sebagai contoh, jawatan juruteknik hanya memerlukan kelulusan sijil tetapi kebanyakan calon yang hadir adalah di kalangan pemegang diploma dan ijazah. Jika mereka diterima bekerja akan menimbulkan masalah dari aspek skim gaji yang tidak sesuai dengan kelulusan.

Meskipun ekonomi berasaskan pembuatan sejak setahun lalu menampakkan sedikit pertumbuhan, namun kadar pengangguran ini masih tidak dapat dielakkan. Dengan pemulihan ekonomi dan peluang pekerjaan buruh kasar yang agak murah, banyak negara pelabur asing mula memandang negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Kemboja dan China untuk dijadikan tempat melabur.

Kemasukan pelaburan terus asing atau FDI ke dalam negara-negara ini sejak ekonomi sedunia mulai nampak pulih setahun lepas melenyapkan beberapa harapan penggerak dana serantau negara kita di dalam memperolehi modal baru antarabangsa.

Para pelabur luar berasa bimbang dengan situasi dan melabelkan Malaysia sebagai negara tidak selamat memandangkan iklim politiknya tidak stabil dan isu-isu seperti hak sosial, hak maklumat dan kelambatan transformasi proses demokrasi di dalam negara.

Meskipun begitu, keadaan huru-hara politik di Thailand kurang memberi impak kepada para pelabur asing untuk membuka perdagangan mereka di sana. Ini adalah kerana kos perniagaan dan kos buruh adalah jauh lebih rendah daripada di Malaysia.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat dari Malaysia pula semakin banyak menceburi usahasama perdagangan dengan negara luar. Syarikat-syarikat Malaysia sanggup menghabiskan lebih banyak wang syarikat untuk melabur di luar negara dengan alasan yang sama iaitu kos buruh yang rendah.

Mungkin kerajaan perlu berbuat sesuatu supaya mereka ini pulang membuka kilang-kilang di Malaysia dengan insentif tempatan yang lebih baik bagi mengisi kilang-kilang yang ditinggalkan pelabur asing. Walaupun Malaysia memberikan infrastruktur dan pelepasan duti-duti yang agak menarik, namun keadaan sosial dan politik semasa menggerunkan para pelabur.

Setelah berlakunya keadaan ini, dengan jumlah kadar pengangguran yang hanya mengambil kira sejumlah pekerja yang diberhentikan kerja kerana kemelesetan perniagaan, ia tidak menampakkan betapa lebih meruncingnya keadaan yang berlaku.

Kadar berkenaan tidak mengambil kira jumlah graduan yang dikatakan sejak 2 tahun lepas yang masih gagal memperolehi pekerjaan dan juga tidak mencerminkan sejumlah golongan bekerja yang berhenti kerja secara sukarela tetapi gagal mendapat pekerjaan baru.

Antara punca utama mengapa ramai graduan yang menganggur adalah kerana percambahan pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan program sijil, diploma dan ijazah sama ada kerajaan dan swasta.

Dengan pengambilan kemasukan pelajar yang nampak mudah tidak seperti 15 tahun lalu, ramai mereka yang sekadar lulus SPM tidak menghadapi masalah untuk memperolehi diploma atau pun sijil. Yang membezakan mereka hanyalah samaada mereka adalah graduan universiti awam ataupun swasta.

Jika 12 tahun lalu, untuk insitusi pengajian tinggi kerajaan, negara hanya mempunyai 10 universiti awam tetapi hanya dengan sekelip mata dan 3 tahun berikutnya, jumlah itu bertambah lebih sekali ganda. Bukan itu sahaja, jumlah pengambilan setiap tahun semakin bertambah.

Kesan daripada kehadiran graduan-graduan ini tidak nampak pada pertengahan tahun 2000an. Ini adalah kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta mampu menerima graduan-graduan ini.

Tetapi pada tahun 2007, apabila ekonomi negara dan serantau mengalami kemelesetan, kesan ini mula ternampak dan diakui apabila ramai graduan terbaru sukar mendapat pekerjaan di saat industri sedang memberhentikan pekerja kerana tiada sumber dan peluang perniagaan.

Ada yang menganggap segalanya bermula apabila geraf kelulusan pelajar di dalam keputusan SPM dipermudahkan atau direndahkan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa saban tahun tahap lulus SPM meningkat. Hasilnya lebih ramai pelajar yang diciptakan "pintar" boleh mengisi ruang kosong kemasukan ke dalam IPT terutamanya IPT-IPT swasta.

Sungguhpun begitu, mungkin kerajaan menyedari akan masalah ini. Semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, banyak peluang berniaga ataupun program keusahawanan diperkenalkan kepada para graduan dan pengganggur terutamanya di dalam bidang pertanian moden dan biotek.

Malah, menggalakkan graduan ijazah sarjana muda untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan profesional dengan insentif-insentif yang menarik. Namun, pengenalan ransangan-ransangan berkenaan kurang berhasil kerana golongan graduan muda negara lebih suka memperolehi pengalaman bekerja dan kurang berminat berniaga sendiri.

Lebih memburukkan lagi apabila lebih banyak IPT swasta diluluskan untuk menawarkan pelbagai program. Jumlah graduan hasil daripada IPT swasta saban tahun meningkat dengan banyak dan ramai beranggapan universiti-universiti dan kolej-kolej swasta dalam tempoh 10 tahun ini laksana industri kilang menghasilkan tenaga kerja yang melebihi daripada permintaan industri pekerjaan.

Bagi mereka yang berhenti kerja dan cuba mendapat pekerjaan baru juga turut mengalami masalah ini. Ada penganggur yang berhenti kerja pada 3 tahun lepas tetapi masih gagal sehingga hari ini mendapat pekerjaan tetap meskipun mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bekerja. Malah ada yang mempunyai ijazah sarjana atau Master.

Disebabkan kerana pihak majikan tidak mampu membayar permintaan gaji yang tinggi dari golongan-golongan ini, majikan melihat bahawa lebih baik mengambil graduan yang lebih muda dan yang pentingnya dengan gaji yang lebih rendah semata-mata untuk mengurangkan kos operasi.

Nasib baiklah situasi berkenaan masih boleh membantu pengangguran di kalangan graduan tetapi golongan pekerja berpengalaman atau mahir terus dipinggirkan semata-mata isu gaji meskipun mereka ini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada industri dengan pengetahuan dan pengalamannya.

Sewajarnya, pihak majikan perlu nampak mereka tidak memerlukan banyak wang untuk melatih graduan-graduan muda yang diambil bekerja jika mereka mengrekrut pekerja-pekerja mahir ini.

Walaubagaimanapun, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu menumpukan lebih perhatian untuk mengurangkan kadar pengangguran tidak rasmi yang dihuraikan di atas.

Disebabkan para graduan muda ini adalah antara yang terbabit, pastinya usaha kerajaan untuk mendapatkan mereka pekerjaan adalah satu benda penanda aras atau KPI. Mereka tidak mahu kerajaan terus menyalahkan mereka kerana terlalu memilih pekerjaan. Bagi mereka, mereka tidak memilih tetapi mahukan pekerjaan yang sesuai dengan ilmu yang mereka perolehi.

Jika keadaan ini tidak ditangani dengan segera serta tindakan sewajarnya diambil, kadar pengangguran dijangka meningkat sehingga 6% menjelang 2020. Usaha komprehensif dan menyeluruh diperlukan dari semua pihak iaitu masyarakat, majikan dan juga kerajaan agar masalah ini dapat ditangani.

Disediakan oleh,
Unit Penerangan & Penerangan Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir 15'16

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

AMALAN DUNIAWI VS AMALAN UKHRAWI

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden