Kepentingan Yang Tejejas Punca Kepada Krisis Mesir


Latar Belakang Isu 

Pada 4 Julai 2013, kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Dr. Mursi, yang dilantik secara demokrasi pada 24 Jun 2013 telah pun dirampas oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Jeneral Abbas al-Sisi. Ekoran dari rampasan ini, penyokong Mursi telah mengadakan bantahan dan berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Mursi di seluruh negara terutamanya di dua tempat penting di Cairo iaitu di Medan Rabaah dan Dataran Nahdah. Bantahan aman itu berjaya mengumpulkan sehingga lebih dari 5 juta rakyat dan sebagai tanda sokongan mereka terhadap Mursi, mereka telah terus berada secara berterusan di kedua tempat itu sehingga berlaku trajedi 15 Ogos apabila pihak tentera telah berusaha menyuraikan himpunan itu secara kekerasan. Pada pagi 15 Ogos, operasi yang bermula 6 pagi hingga ke malam, tentera telah membunuh lebih dari 2,000 orang dan mencederakan lebih dari 10,000 orang. Angka kematian setakat 17 Ogos meningkat kepada 5,000 orang. 


Punca (tidak sebenar)


Rampasan kuasa ini berpunca dari ketidakpuasan hati pihak pembangkangterhadap pemerintahan Mursi dengan dakwaan ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Mereka mendakwa Mursi gagal membawa perubahan sebagai mana yang diharapkan oleh Revolusi rakyat Mesir pada 2011 setelah 6 bulan menjadi presiden untuk menjaga kebajikan rakyat miskin dan mengawal tekanan taraf hidup rakyat miskin di Mesir. Ekoran tidak puas hati ini, pihak pembangkang telah mempengaruhi dan menghasut rakyat membenci kerajaan Mursi dengan membesar-besarkan isu yang sengaja mereka bangkitkan. Sekurang-kurangnya 6 Channel TV Mesir yang dikuasai oleh pembangkang dan media antarabangsa termasuk media cetak telah menyiarkan berita-berita yang memburukkan Mursi dan memperkecilkan usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Mursi.

Soalnya, adakah dakwaan kegagalan itu boleh diterima akal, sedangkan
Dalam tempoh 6 bulan, apakah perubahan ekonomi yang boleh dilakukan oleh Mursi? Takkanlah kesan pemernitahan Hosni Mubarak selama 30 tahun dapat diubah dalam masa 6 bulan sahaja.
Mesir mengalami krisis perlembagaan yang menyebabkan usaha pembaharuan Mursi terbantut.
Penyokong Mubarak melakukkan sabotaj untuk menaikkan kemarahan rakyat. Contohnya, para pengusaha kedai minyak tidak menjual minyak kerana mendakwa kehabisan minyak sehingga berlaku krisis minyak yang sangat meruncing. 
Mereka mengupah samseng untuk melakukan kekacauan. Tujuannya ialah untuk memastikan keadaan politik di Mesir sentiasa tegang dan kerajaan Mursi tidak stabil.


Punca sebenar


Rampasan kuasa berpunca dari kepentingan kalangan ramai pihak yang tejejas ekoran kejatuhan Mubarak. Berikut adalah beberapa kepentingan beberapa pihak-pihak yang terjejas dengan pelantikan Mursi sebagai Presiden Mesir. 
Kepentingan Israel
Kepentingan politik antarabangsa US
Kepentingan negara Arab
Kepentingan tentera
Kepentingan Majlis Tertinggi Kehakiman


Kepentingan Israel


Mursi mengamalkan dasar luar yang menentang Israel
Membuka sempadan Mesir Palestine yang ditutup semasa pemerintahan Mubarak bagi membenarkan bantuan dan aktiviti ekonomi rakyat Palestine. 
Berdiri teguh dibelakang kerajaan Palestine pimpinan Hamas dan bukan sebagai perantara antara Palestine dan Israel. Ini kerana Hamas adalah saudara kembar Ikhwan Muslimin. 
Menghentikan pembekalan gas asli ke Israel yang telah berjalan di bawah pemerintahan Mubarak selama 20 tahun (1991-2011).
Memanggil duta Mesir di Israel balik apabila Israel membuat serangan udara ke Palestine pada hujung 2012.
Memanggil campur tangan Arab dan antarabangsa bagi menghentikan keganasan Israel.


Kepentingan politik antarabangsa US


Ikhwan muslimin mempunyai cita-cita untuk menegakkan Islam bermula dari individu Islam, rumah tangga Islam, masyarakat Islam, Negara Islam dan perluasan Islam ke seluruh dunia. Cita-cita ini sangat berbahaya kepada kuasa besar dunia, khasnya US dan sekutunya. Dalam satu kajian perisikan US yang ditulis oleh Cheryl Bernard (2004), beliau telah menjelaskan mana-mana pihak yang berpegang dengan idea politik Islam dan Negara Islam akan ditentang oleh US khasnya yang membawa pendekatan keganasan. Beliau menamakan gerakan Hamas. Sungguhpun Mursi sebagai Presiden dan melucutkan dirinya sebagai ahli Ikhwan, tetapi bagi US, Mursi tetap membawa aspirasi Ikhwan yang tidak boleh dipisahkan dari usaha untuk menegakkan kerajaan yang melaksanakan perundangan Islam. Ini tidak digemari oleh US kerana bertentangan dengan kepentingan mereka kerana mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita menubuhkan Negara Islam semua tidak akan mesra dengan US.


Kepentingan tentera 


Ada pandangan yang mengatakan bahawa kejayaan Arab Spring di Mesir pada 2011 turut disokong oleh tentera kerana bagi mereka Mubarak perlu ditukar dan orang baru diperlukan. Walaupun pada zahirnya adalah rakyat tetapi dibelakangnya adalah kuasa tentera. Setelah Mursi menjawat sebagai presiden, kepentingan tentera tidak dijaga oleh Mursi kerana usaha Mursi untuk mengurangkan kuasa tentera. Menurut satu analisis, kepentingan 40% penguasaan ekonomi Mesir dan bantuan tahunan US 1.3 Bilion yang disalurkan terus kepada tentera sukar untuk dilepaskan oleh kuasa tentera. US pula memerlukan tentera untuk melaksanakan dasar mesra dengan Israel. Usaha rampasan ini dipercayai ada kaitan dengan mainan US yang tentunya tidak akan merelakan tentera berada dibawah mana-mana pihak termasuk presiden. Hakikatnya, sejak dari zaman presiden Gamal Abd Nasir, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak, semua kerusi presiden dan dasar-dasar negara dipengaruhi atau paling tidak, dibayangi oleh tentera. Ramai yang percaya bahawa kerajaan atau pemerintah yang naik selepas ini mesti menjadi boneka kepada tentera.


Kepentingan Negara Arab 


Mursi yang dibayangi dengan Ikhwan Muslimin telah memberi seribu macam sangka buruk terhadap kerajaan Mesir di kalangan negara Arab. Hampir semua negara Arab mempunyai pengalaman buruk berhadapan kumpulan Islam yang membawa ideologi Ikhwan yang menyeru ke arah penubuhan sebuah Negara Islam. Kemenangan Mursi sebagai presiden menerusi sistem pilihanraya yang demokratik menakutkan negara Arab yang rata-ratanya mengamalkan sistem monarki dan rata-ratanya mereka bersikap keras dengan golongan Islamis di dalam negara mereka. Mereka terpaksa bertindak sedemikian kerana tidak mahu kepentinan politik dan ekonomi mereka terjejas kerana mereka merupakan sekutu atau sekurang-kurangnya mesra dengan barat. Hal ini nampak jelas apabila Amir Emirate (UAE) dan Raja Saudi mengucapkan tahniah kepada tentera yang telah menjayakan misi menjatuhkan Mursi. Malah setiap mereka berjanji menghulurkan bantuan sebanyak 3 dan 5 Billion USD kepada Mesir. 


Kepentingan Majlis Tertinggi Kehakiman (Sumber -Sinar harian)


Mursi dilihat cuba memonopoli kuasa setelah beliau mengumumkan dekri presiden pada November 2012. Majlis Tertinggi Kehakiman menyifatkannya sebagai satu serangan tidak pernah berlaku ke atas badan kehakiman di negara tersebut. Pada awal Disember 2012, Mursi membuat keputusan untuk membatalkan dekri itu selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang beliau. Menjelang pungutan suara draf Perlembagaan pada 15 Disember 2012 yang dirangka sepenuhnya oleh parti Islam, Mesir sekali lagi dicemari protes ganas. Di sebalik kekacauan dan protes itu, sebanyak 64 peratus penduduk Mesir menyokong draf Perlembagaan tersebut. Antara kandungan draf Perlembagaan itu menjadikan undang-undang Syariah kekal sebagai sumber utama perundangan manakala penganut lain seperti Kristian dan Yahudi akan menggunakan agama masing- masing sebagai sumber perundangan mereka serta tempoh jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal selama lapan tahun. Keputusan tersebut membuktikan sekali lagi kemenangan Ikhwanul Muslimin selepas Mursi meluluskan Perlembagaan baru itu pada 26 Disember lalu. Mursi kini berhadapan cabaran untuk mendapatkan persetujuan bagi melaksanakan langkah penjimatan. Beliau juga akan memperkenalkan insentif yang akan menarik semula minat pelabur untuk menjalankan urus niaga di negara itu.


Kesimpulan


Beberapa pihak yang terjejas dengan pelantikan Mursi telah berusaha menghasut rakyat bagi membenci Mursi dan kerajaannya bagi mencapai cita-cita politik mereka. Setelah dilihat rakyat benar-benar menunjukkan kemarahan mereka, pihak tentera telah mengambil tindakan merampas kuasa dari Mursi yang seterusnya melantik orang baru sebagai pemerintah Mesir.


Penulis ialah Dr. Faisal (UKM) beliau merupakan ahli jawatankuasa ILMAM MALAYSIA.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

AMALAN DUNIAWI VS AMALAN UKHRAWI

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden