THE BEST FROM LEGACY OF FAMILY BKPPPM.


KAHERAH, 1 April 2013: Bermula pada hari Jumaat, 22 Mac 2013 yang lalu, Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) telah membuka tirai program mega tahunan dengan mengadakan majlis perasmian Sambutan Hari Keluarga, LESTARY’13 (Legacy Of Family). Majlis tersebut yang telah dirasmikan oleh penasihat BKPPPM sendiri iaitu Saudara Faqrurrozi bin Abdullah diakhiri dengan diskusi kitab sebagai pengisian usrah gabungan pada malam tersebut.

Keesokan harinya, LESTARY’13 diteruskan lagi dengan acara permainan outdoor bagi semua ikhwah dan akhawat di dua lokasi yang berbeza. Pelbagai permainan yang menarik dan mencuit hati telah dijayakan melibatkan kumpulan-kumpulan yang telah dibahagikan. Konsep retro yang dipilih oleh barisan jawatankuasa pelaksana pada kali ini menjadikan suasana dan keadaan Sambutan Hari Keluarga pada kali ini tampak lebih meriah. Antara kumpulan yang sengit bertanding di peringkat ikhwah adalah Laksamana Do Re Mi, Labu Labi, Bujang Lapok dan 3Abdul manakala di peringkat akhawat pula ialah Dayang Senandung, Tun Teja, Seri Kemboja dan Puteri Mahsuri. Program pada hari itu diteruskan lagi pada malam hari dengan pengisian menarik daripada Unit Bait Muslim (UBM) di bawah tajuk Mencari Cinta Adam dan Hawa yang menampilkan pasangan suami isteri berpengalaman sebagai pengisi iaitu Ustaz Hakimi dan Ustazah Umi Salwa.

Persaingan sengit antara semua kumpulan terus berlanjutan sehingga hari yang terakhir melalui permainan indoor yang diadakan pada pagi hari Ahad. Slot tengahari pada hari itu disajikan dengan teori dan praktikal kursus jenazah yang disampaikan oleh Ustaz Fadhli dan Ustazah Dayang Siti Nuraini. Acara kemuncak Sambutan Hari Keluarga BKPPPM pada kali ini diakhiri dengan majlis penutupan LESTARY’13. Dalam ucapan perasmian penutup yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua BKPPPM sendiri, saudara Azwan bin Azman, beliau mengharapkan agar pelaksanaan program ini dapat melestarikan ukhuwah yang lebih utuh dalam kalangan ahli BKPPPM akan datang. Majlis kemudiannya dihiasi dan diwarnai dengan persembahan menarik daripada semua kumpulan ikhwah serta tayangan video kreatif daripada peringkat kumpulan akhawat.

Selepas selesai upacara penyampaian hadiah yang dimenangi oleh kumpulan Laksamana Do Re Mi bagi ikhwah dan Tun Teja di peringkat akhawat, majlis bertukar sayu dan sepi apabila para hadirin ditayangkan video sekilas kenangan bersama arwah Ustaz Redzuan bin Abdul Wahab yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga pelaksanaan LESTARY’13 pada kali ini membuahkan bibit-bibit ukhuwah yang lebih manis dalam kalangan ahli BKPPPM. 

35 Tahun Meniti Usia, BKPPPM Milik Kita.

Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL