OPTIMIS KITA YANG HILANG?

 Imam Abu Muhammad Al-Juwaini dari Syafi’iyyah iaitu bapa Imam Al-Haramain antara ulamak-ulamak terawal yang pernah menulis tentang kewaspadaan terhadap sikap was-was. Demikian walaupun mazhab Syafi’i dianggap sebagai mazhab yang paling keras dalam soal bersuci dan najis jika dibandingkan dengan tiga mazhab yang lain. Didapati, para Syafi’iyyah tetap juga menyelar sikap was-was ini yang dianggap sebagai pelampauan dalam beragama serta berusaha mengembalikan golongan yang dimusibahi sikap ini ke daerah kesederhanaan.

Imam Nawawi ada memetik tulisan beliau,

“Dalam kitabnya, At-Tabsirah, Syeikh Abu Muhammad menyelar keras sikap sesetengah orang yang enggan memakai pakaian yang baru kecuali setelah ia dicuci. Demikian kononnya ditakuti pengusaha pakaian tersebut tidak cermat dalam kerja-kerja menyiapkannya. Lalu diandaikanlah pakaian tersebut telah dilempar dalam keadaan lembap ke tempat-tempat yang najis atau telah dikenai perkara-perkara yang dianggap najis tanpa dibasuh sepanjang ketidakcermatan ini."

Komen beliau, “Ini sebenarnya sikap golongan Haruriyyah Khawarij yang berlampau-lampau pada bukan tempatnya. Sesiapa yang bersikap sedemikian, seumpama ia telah berkonfrantasi dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat, tabi’in serta lainnya. Mereka tidak merasakan masalah mengenakan pakaian baru tanpa dibasuh terlebih dahulu sedangkan situasi kerja menyiapkan pakaian pada masa itu adalah seperti situasi kita sekarang ini!”.

Seterusnya beliau membuat persoalan, “Adakah anda fikir ada perintah dari syariat supaya membasuhnya? Adakah anda mampu tenteram dengan membasuhnya demi menghindari najis yang diandaikan ini? Jika anda menjawab, “Ya, kerana saya membasuhnya sendiri,”, maka pernahkah anda mendengar perintah itu datang dari Rasulullah atau mana-mana sahabat Baginda yang mengarahkan supaya dibasuhnya semua tadi dengan tangan sendiri demi menghindari semua tadi samada perintah tadi bersifat wajib atau sunat atau waspada?!”.

Berkata lagi Abu Muhammad, “Muncul sekumpulan manusia yang membasuh mulutnya selepasi makan roti. Alasan mereka, “Gandum itu selalunya dipijak lembu di ladang. Lembu-lembu pula sering berkumuh dan mengencingi tempat-tempat yang pernah dipijaknya. Sudah pasti tepung gandum yang seterusnya dijadikan roti tidak lekang dari najis,”.

Komen Abu Muhammad, “Ini sikap orang berlampau-lampau beragama serta jauh dari pengamalan Salaf! Sedangkan kita sangat maklum bahawa situasi kerja pembajakan pada zaman Salaf tidak jauh berbezanya dengan situasi sekarang ini. Tidak pernah pula diriwayatkan bahawa Rasulullah, para sahabat, tabi’in ada membasuh mulut disebabkan alasan tadi!”.

Syeikh Abu Muhammad memetik kenyataan Syeikh Abu Amru iaitu Ibnu Solah, “Penelitian yang dilakukan terhadap masalah ini adalah bahawa nisbah gandum yang dikenai najis adalah terlalu sedikit berbanding nisbah gandum yang selamat dari najis. Jadi, kes bercampurnya gandum sedikit yang terkena najis ini dengan gandum suci yang tak terkira banyaknya, tiada halangan untuk kita menggunakannya. Bahkan boleh saja kita mengautnya dari mana-mana sudut yang dimahukan. Demikian seumpama seorang lelaki yang tidak dapat membezakan saudari perempuannya yang lesap di dalam kalangan wanita yang tidak terkira ramainya. Lelaki tadi boleh sahaja menikahi sesiapa daripada kalangan mereka itu. Sedangkan kes gandum ini tidaklah setenat kes wanita tadi."

Dalam kenyataan Al-Ustaz Abu Mansur Al-Baghdadi dalam komentarnya ke atas Al-Miftah, beliau ada mengisyaratkan bahawa sekalipun benar gandum tadi dikencingi ketika kerja pembajakan namun ia dimaafkan kerana kesukaran bagi mengelak kejadian tersebut,”.

Berkata Syeikh Abu Muhammad, “Jika lelehan mulut atau peluh kuda, keldai, baghal mengenai pakaian seseorang itu sah saja bersembahyang dengannya walaupun binatang-binatang tadi selalu berkubang di tempat-tempat yang najis dan selalu mengikis-ngikis kakinya yang tidak lekang dari najis dengan mulutnya. Ini kerana kita masih belum dapat memastikan dengan yakin akan ternajisnya lelehan mulut dan peluhnya lantaran binatang tadi juga banyak kali berendam di dalam kawasan air yang banyak. Oleh itu, kita beratkan sudut kesucian peluh dan lelehan mulutnya.

Begitulah juga keadaan Rasulullah, para sahabat dan muslimin selepas mereka. Mereka menunggang kuda, baghal, himar ketika berjihad dan permusafiran dan pasti tidak berupaya mengelak situasi seperti tadi. Mereka tetap saja bersembahyang dengan pakaian ketika menunggang tadi. Tidak pula ada menyediakan pakaian khusus untuk menunggang dan pakaian khusus untuk bersembahyang!”.

“Ditanya Syeikh Abu Amru tentang uncang kegunaan orang Arab. Dikhabarkan bahawa pembuat-pembuatnya iaitu orang kafir ada menyapukannya lemak khinzir. Lantas, tersebarlah khabar angin itu tanpa kepastian. Jawab beliau, “Selagi belum dipastikan kenajisannya, ia tidak dihukum sebagai najis,”.

“Ditanya lagi tentang sayuran yang tumbuh di atas tanah yang bernajis lalu dibasuh oleh pengusahanya dengan basuhan yang tidak dapat dipastikan untuk dianggap sebagai suci, adakah dikira benda-benda yang mengenai sayuran yang berkeadaan basah tersebut dikira najis? Jawab beliau, “Selagi belum dapat dipastikan benda-benda itu sebagai najis -dengan masih wujudnya kemungkinan sayuran tersebut diambil dari ketinggian yang tidak mencecah tanah yang bernajis itu-, ia tidak dihukum sebagai najis kerana situasi berpihak kepada sudut kesuciannya.

Ditanya juga tentang kertas yang berkeadaan lembap yang tertampal pada dinding yang dibuat sekali dengan debu-debu najis. Lalu pakaian mengenai tulisan berdakwat pada kertas tadi dalam situasi yang tidak dapat dielakkan. Jawab beliau, “Tidak dihukum sebagai najis,”.

Ditanya tentang sedikit gandum yang berbaki di dasar stor makanan dan tahi tikus pula tidak dapat dielakkan untuk situasi tersebut. Jawab beliau, “Tidak dihukumkan sebagai najis kecuali diketahui sudut-sudut tertentu yang memang dinajisi,”.

Imam Haramain dan selain beliau membawa dua pandangan ulamak dalam soal lumpur di jalanan yang disangka kuat kenajisannya; pertama, dihukumkan sebagai najis. Kedua; dihukumkan sebagai suci kerana alasan berlaku percanggahan polisi asal dengan realiti. Beliau membawakan jawapan gurunya bahawa sekalipun diyakini kenajisan lumpur jalanan tersebut, pakaian pejalan-pejalan kaki yang terkena lumpur yang sedikit adalah dimaafkan.

Demikian kerana orang ramai akan tetap juga melaluinya untuk tujuan-tujuan yang dikehendaki. Kalaulah kita terus-menerus mengarah mereka supaya membasuhnya, keadaan akan menjadi sukar. Sebab itulah darah pepijat dan bisul dimaafkan. Guru beliau ini menetapkan bahawa kadar yang dimaafkan itu ialah selagi seseorang itu tidak dipandang kotor seolah-olah tersandung atau tergelincir ke dalam lumpur atau cuai menjaga pakaiannya dari lumpur.

Air dari saluran yang disangka kuat kenajisannya, tidak diyakini pula kesucian dan kenajisannya. Jawapan dari Al-Mutawalli dan Ar-Ruyani dalam kes ini ialah bahawa sama keadaannya seperi kes lumpur di jalanan. Tetapi yang terbaik, menganggapnya sebagai suci kerana jika ada padanya najis, ia pasti sudah terbasuh dengan sendirinya.

Imam Syafi’i telah menaskan bahawa sucinya pakaian kanak-kanak dalam banyak kes. Beliau mendasarkan semua itu dengan perbuatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda bersembahyang sambil mendukung Umaimah, seorang bayi kecil sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Begitu juga perbuatan Baginda yang bersekedudukan makan bersama mereka dengan bekas yang sama dan makannya Baginda akan sisa-sisa tinggalan makanan kanak-kanak yang berbentuk cairan selagi belum jelas kenajisan tangan mereka.
Lagipun telah disebutkan bahawa Rasulullah pernah makan makanan berbentuk pepejal yang ditinggalkan kanak-kanak dan tidak pula para sahabat, tabi’in serta manusia selepas mereka menyelarnya. Begitulah juga lelehan dari mulut kanak-kanak walaupun banyak kali juga mulut mereka dihinggapi najis. Ia tetap juga dihukumkan sebagai suci selagi tidak diyakini kenajisannya.

**Dipetik dan dikelola semula dari Fiqh Taharah Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan Al-Majmu’ Imam Nawawi.

wallahu a'lam

Disediakan oleh :

Mohd Fadhlan Mohd Fadzil
Felo MANHAL PMRAM 2012

Sumber : MANHAL

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL